Cambodia:Muzium Tuol Sleng aka Penjara S-21

Pengalaman di The Killing Field pagi itu seolah-olah memberi bayangan tentang apa yang bakal aku rasa di muzium ini. Penjara S-21, dahulunya merupakan sekolah 4 bangunan yang digunakan sebagai penjara oleh rejim Pol Pot. Bangunan ini kemas terpelihara, namun ribuan kisah derita terpahat didalamnya.

Di sini, semua tawanan diseksa, dipasung dan dipaksa mengaku atas semua pertuduhan yang dihadapkan –  walaupun tuduhan itu tidak benar. Mudah cerita, seiapa yang di tahan di sini penghujungnya adalah mati. Jujur cerita, aku hanya masuk di 2 blok sahaja. Yang lagi dua, aku masuk sekejap dan keluar balik. Minta maaf…aku sangat depressed di sini. Aku tak dapat bayangkan betapa seksanya mangsa diperlakukan begitu oleh kader rejim Pol Pot. Setiap kali aku pandang gambar mangsa-mangsa yang penuh disetiap blok, setiap kali itu jugalah aku harap ini semua hanya cerita palsu tetapi hakikat sisa temulang dan tengkorak yang bersusun di sini menidakkan semua harapan itu.

***

Ini adalah “The Gallows”.. Tiang ini dahulunya digunakan oleh pelajar sekolah untuk aktiviti senaman. Sekarang, perhatikan 3 tajau besar itu. Dizaman rejim Pol Pot, tiang ini digunakan untuk menyeksa tahanan dengan cara menggantung mereka secara terbalik – kaki di atas dan kepala dibawah. Tahanan akan disebat dan dipaksa mengaku salah. Sekiranya mereka enggan, mereka akan diseksa sehingga pengsan. Ketika itu, kepala tahanan akan dimasukkan ke dalam tajau yang berisi air limbah sehingga mereka sedar. Setelah itu, mereka akan diseksa dengan cara yang sama sampailah pengakuan bersalah dicatatkan. Babi babi babi kejam!

Semalam, Duch – orang kuat Pol Pot dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Jenayah Perang Kemboja. Berita ini aku ambil dari Utusan.

PHNOM PENH 3 Feb. – Bekas ketua penjara ketika era Khmer Rouge, Kaing Guek Eav (gambar) dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dalam satu kes rayuan di mahkamah jenayah perang Kemboja, tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Mangsa yang terselamat daripada pemerintahan rejim, menyambut baik keputusan mahkamah itu, yang meningkatkan hukuman penjara daripada 30 tahun yang diputuskan pada 2010 kepada penjara seumur hidup atas kesalahan jenayah perang dan kemanusiaan.

Menurut hakim, hukuman sebelum ini terhadap bekas ketua penjara S-21 yang bertanggungjawab di atas kematian 15,000 tahanan di penjara itu tidak ‘berpatutan dengan jenayah yang telah lakukannya pada lewat 1970-an’.

“Jenayah yang dilakukannya jelas merupakan antara rekod kekejaman kemanusiaan terburuk dalam sejarah.

“Dia seharusnya menerima hukuman paling berat,” kata Presiden badan rayuan tertinggi mahkamah itu.

Dengan memakai baju putih dan jaket kuning, Duch, 69, yang duduk di kandang tertuduh kelihatan tidak memberikan sebarang reaksi ketika keputusan dibacakan.

Dia sebelum ini merayu dibebaskan kerana kesalahan yang dilakukannya itu adalah atas arahan pihak atasan, tetapi pendakwa raya turut mengemukakan rayuan dengan menyatakan hukuman sebelum ini tidak memadai.

Keputusan kali ini disambut baik oleh beratus-ratus rakyat Kemboja, termasuk sami-sami dan warga emas yang terselamat daripada kekejaman rejim Khmer Rouge dari 1975-1979, yang berhimpun di galeri awam di mahkamah itu.

Duch adalah kader Khmer Rouge pertama yang dihadapkan ke tribunal PBB itu. – AFP

Cambodia:The Killing Field..

Stupa..

Killing Field dahulunya ialah tapak perkuburan cina yang digunakan oleh rejim Pol Pot sebagai tempat terakhir bagi tawanan penjara S-21 sebelum riwayat mereka dihabiskan di sini. Ia juga tempat di mana lubang digali dan ratusan ditanam beramai-ramai sama ada hidup-hidup atau sudah dipenggal kepalanya. Bayangkan..rejim sialan ini menggunakan cangkul,sabit,parang,kapak dan senjata lain sebagai alat seksaan..

Sekitar 8.30 pagi aku mampir di sini. Aku dan Hadi adalah pengunjung pertama hari itu. Tiket masuk berharga USD 2 kerana kami tidak menggunakan audio guide. Topi Blackberry putih yang sering aku pakai tersimpan dibeg sandang, sebagai tanda hormat buat mangsa-mangsa di Killing Field ini. Fedora Hadi juga begitu.. Aku juga tidak berseluar pendek atas alasan di atas. Kerana itu aku rasa jijik dengan seorang pengunjung yang berseluar pendek macam nak terkeluar ci**p dan bersinglet spaghetti. Malulah..orang barat pun tahu adab pergi kubur.

Menara atau stupa tersergam indah. Namun didalamnya diisi timbunan temulang,tengkorak,gigi dan pakaian terakhir mangsa pembunuhan kejam tanpa perikemanusiaan. Tenggorak diasingkan mengikut jantina dan umur. Aku bertafakur seketika dan Al-fatehah aku sedekahkan buat mangsa yang beragama islam..

Di sini ada wifi. Kerana itu aku kerap updates apa yang aku nampak dan rasa, sebab kalau boleh aku mahu kawan-kawan semua rasa apa yang aku rasa. Bulu roma aku sentiasa meremang dikawasan ini. Lagi pula,aku boleh merasa adanya entiti lain walaupun tiada kelebihan untuk melihatnya.

Bashing Tree..

Ini pokok di mana bayi dihempas ke sini. Ya,begitulah cara bayi dibunuh. Ia bukan propaganda kerana ada saksi yang menyaksi dan mengesahkan cerita ini. Tentu ada yang tertanya, takkan tergamak mereka buat begitu pada bayi yang tidak tahu apa. Ada satu quote oleh Pol Pot yang kurang lebih berbunyi begini – hidup pun takde guna, kalau mati pun tak beri kesan apa..

Jangan ingat rejim yang melakukan seksaan di sini orang dewasa sahaja. Ada remaja dari usia 13 tahun telah direkrut dan didoktrin pemikiran mereka hingga tergamak membunuh ibubapa sendiri.

Magic Tree

Ini pula ialah “Magic Tree”. Pokok besar ini punya ceritanya sendiri. Untuk mengelakkan tahanan lain mendengar jeritan terakhir mangsa-mangsa sebelum menemui ajal,speaker dipasang dipokok ini bagi menenggelamkan bunyi itu. Pokok ini masih teguh berdiri..

Perasaan aku di sini sangat kusut. Aku hiba..aku hampir menangis,aku menangis dan aku dilanda sayu sepanjang masa. Terutama bila aku sampai di satu mass grave. Ditemui 150 mayat di sini – wanita dan kanak-kanak yang kesemuanya tanpa pakaian! Mass grave terbesar mencatatkan penemuan 450 mayat dalam satu lubang.

Sangat kejam!

Sebelum kembara di sini berakhir, kami menyaksikan dokumentari The Killing Field. Sangat sedih..Semoga kekejaman dan kegilaan sebegini tidak akan berulang lagi.

Antara Mass Grave di sini..

Cambodia : Hari Ketiga..

Membaca sambil menunggu bas..

Pagi itu kami bangun awal. Terus bersiap untuk checkout dari Ta Phrom Hotel. Jam 8.00 pagi nanti kami akan menaiki bas untuk balik ke Phnom Penh. 6 jam lagi perjalanan tu..Tiket sudah kami beli siap-siap di Phnom Penh untuk mengelakkan kehabisan tiket. Sesudah urusan selesai, kami menikmati sarapan dan bas pick-up datang tepat pada waktunya.

Sepanjang perjalanan, buku The Pol Pot Regime menjadi meneman setia. Tapi kerana tatabahasa Inggerisnya agak berbelit, ada beberapa perenggan aku ulang baca berkali-kali. Mata pula seakan-akan layu – mungkin kerana keletihan aktiviti semalam. Beberapa kali aku lelap dan sambung balik pembacaan. Ketika bas berhenti di Kampong Thom, kami tidak makan di situ. Hanya beli semangkuk aiskrim vanilla dan dikongsi berdua. Terasa romantika pula.. 🙂

Hadi gembira menikmati Kafta..

Bas meneruskan perjalanan dan kami tiba di Phnom Penh sekitar jam 3.00 petang. Berebut-rebut tuk tuk menawarkan servis mereka. Tapi aku lapar. Jadi kami singgah disebuah kedai Lebanon dan menikmati Kafta (ala-ala kebab). Selepas itu, kami pergi ke jeti yang kebetulan berhampiran dengan kedai makan tadi. Kononnya mahu cruising sekali lagi. Di sinilah rupanya cruising yang murah iaitu USD 5 seorang, tetapi naik ramai-ramai. Memandangkan kami sudah ada pengalaman cruising di Tasik Tonle Sap di Siem Reap, cruising di Tasik Tonle Sap Phnom Penh ini kami abaikan. Terus kami menaiki tuk tuk dan check in di Hotel Asia. Ok la hotel ini…Tapi tak sehebat hotel Ta Phrom di Siem Reap.

Menjelang malam, kami berjalan-jalan ke riverfront yang bernama Sisowath Quay. Ramai juga orang menebeng di situ. Tiba-tiba aku terdengar lagu Noraniza Idris, Dikir Puteri. Eh, mana datangnya? Rupa-rupanya di tengah dataran ada sekumpulan warga sedang melakukan poco-poco! Kebanyakannya pakcik dan makcik juga beberapa pelancong yang sporting. Di sebelah kumpulan poco-poco ini, ada sekumpulan anak-anak muda menari K-Pop! Berlawan-lawanlah dua kumpulan ini. Sebagai pelancong, aku rasa ini tarikan yang menarik..

Perut mulai berbunyi. Pantas kami berjalan dan mencari restoran halal. Kami makan di satu restoran halal bertajuk Restoran Asmak 81. Hadi mencuba makanan Khmer dan aku memesan Nasi Goreng Seafood. “Sini halal..tak mahu makan ayam ke?” tanya Hadi. Entah..aku tak terasa nak makan ayam di sini.

Selepas makan kami terus balik hotel. Esok hari yang panjang dan penuh tekanan. Itu yang dinyatakan oleh Soraya bilakala aku memberitahu aku akan ke The Killing Field dan Tuol Sleng Genocide Museum. Itu di catatan yang lain…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...