Monopoli Teksi Ditamatkan..

Gambar Carian Google
Gambar Carian Google

Aku menggunakan perkhidmatan teksi sejak sekolah menengah lagi. Maklum saja, dari Taman Permata nak ke SMK Lembah Keramat dikala panas terik dan waktu hujan memang sangat menduga. Betul di zaman itu ada bas mini 20, bas Sri Jaya dan bas Intrakota, tapi nak menunggu boleh tahan azab juga. Jadi teksi pilihan terbaik. Sementelah kebanyakan pakcik teksi yang aku naiki adakalanya tidak meminta bayaran – amal jariah barangkali.

Durasi perjalanan ke sekolah tidak jauh mana. Tak sampai 5 minit sampai sekolah. Jadi perbualan dengan pakcik teksi sangat minimal. Tapi bila aku naik teksi ke Pulapol atau ke tengah nadi Kuala Lumpur, ia agak lama Jadi banyak cerita yang sempat dibualkan. Di era aku menuntut di UiTM sekitar 1999-2003, teksi memang pilihan pengangkutan utama. Oh, aku sangat tidak gemarkan teksi Shah Alam. Tiada istilah meter, tawar menawar yang ditampal di sudut kereta. Yang ada hanyalah harga tetap yang kadang-kadang aku rasa menindas aku sebagai pelajar. Tapi aku redha, sebab aku terpaksa naik juga.

Pakcik teksi seperti manusiawi lain di Malaysia, semuanya pakar politik. Seolah-olah merekalah yang bersuit hitam di parlimen membentangkan usul dan menentukan apa yang sepatutnya kerajaan lakukan. Sebagai penumpang, aku layankan saja. Tapi kalau sampai tahap mengarut tu, aku akan keluarkan buku untuk mengelakkan perbualan. Aku tidak seperti orang lain yang akan duduk belakang kalau naik teksi. Pada aku kerja bawa teksi mulia. Mereka tidak aku anggap supir, jadi aku suka duduk depan. Aku tak tahu pakcik teksi itu rasa apa, tapi aku rasa manusia.

Antara keluh-kesah yang selalu disembangkan ialah pemilikan lesen teksi yang dimonopoli, tidak bersifat persendirian. Ia menekan mereka kerana sewaan yang mahal dan kos minyak (dulu tak pakai NGV). Itu belum masuk kutukan bergantang-gantang buat DS Nazri Aziz (aku tak ingat tahun berapa, tapi aku naik hafal jalan ceritanya..). Kesimpulannya, monopoli ini mengkayakan orang kaya sahaja.

Jadi semalam PM sudah umumkan monopoli dihapuskan, aku hanya mengharapkan satu perkara. Semoga warga pemandu teksi semua tidak lagi mengenakan harga pukal untuk penumpang terutama dari stesyen komuter sekitar Shah Alam ke lokasi yang mereka tuju. Itu sahaja.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...