Cambodia : Hari Ketiga..

Membaca sambil menunggu bas..

Pagi itu kami bangun awal. Terus bersiap untuk checkout dari Ta Phrom Hotel. Jam 8.00 pagi nanti kami akan menaiki bas untuk balik ke Phnom Penh. 6 jam lagi perjalanan tu..Tiket sudah kami beli siap-siap di Phnom Penh untuk mengelakkan kehabisan tiket. Sesudah urusan selesai, kami menikmati sarapan dan bas pick-up datang tepat pada waktunya.

Sepanjang perjalanan, buku The Pol Pot Regime menjadi meneman setia. Tapi kerana tatabahasa Inggerisnya agak berbelit, ada beberapa perenggan aku ulang baca berkali-kali. Mata pula seakan-akan layu – mungkin kerana keletihan aktiviti semalam. Beberapa kali aku lelap dan sambung balik pembacaan. Ketika bas berhenti di Kampong Thom, kami tidak makan di situ. Hanya beli semangkuk aiskrim vanilla dan dikongsi berdua. Terasa romantika pula.. 🙂

Hadi gembira menikmati Kafta..

Bas meneruskan perjalanan dan kami tiba di Phnom Penh sekitar jam 3.00 petang. Berebut-rebut tuk tuk menawarkan servis mereka. Tapi aku lapar. Jadi kami singgah disebuah kedai Lebanon dan menikmati Kafta (ala-ala kebab). Selepas itu, kami pergi ke jeti yang kebetulan berhampiran dengan kedai makan tadi. Kononnya mahu cruising sekali lagi. Di sinilah rupanya cruising yang murah iaitu USD 5 seorang, tetapi naik ramai-ramai. Memandangkan kami sudah ada pengalaman cruising di Tasik Tonle Sap di Siem Reap, cruising di Tasik Tonle Sap Phnom Penh ini kami abaikan. Terus kami menaiki tuk tuk dan check in di Hotel Asia. Ok la hotel ini…Tapi tak sehebat hotel Ta Phrom di Siem Reap.

Menjelang malam, kami berjalan-jalan ke riverfront yang bernama Sisowath Quay. Ramai juga orang menebeng di situ. Tiba-tiba aku terdengar lagu Noraniza Idris, Dikir Puteri. Eh, mana datangnya? Rupa-rupanya di tengah dataran ada sekumpulan warga sedang melakukan poco-poco! Kebanyakannya pakcik dan makcik juga beberapa pelancong yang sporting. Di sebelah kumpulan poco-poco ini, ada sekumpulan anak-anak muda menari K-Pop! Berlawan-lawanlah dua kumpulan ini. Sebagai pelancong, aku rasa ini tarikan yang menarik..

Perut mulai berbunyi. Pantas kami berjalan dan mencari restoran halal. Kami makan di satu restoran halal bertajuk Restoran Asmak 81. Hadi mencuba makanan Khmer dan aku memesan Nasi Goreng Seafood. “Sini halal..tak mahu makan ayam ke?” tanya Hadi. Entah..aku tak terasa nak makan ayam di sini.

Selepas makan kami terus balik hotel. Esok hari yang panjang dan penuh tekanan. Itu yang dinyatakan oleh Soraya bilakala aku memberitahu aku akan ke The Killing Field dan Tuol Sleng Genocide Museum. Itu di catatan yang lain…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...