Selamat Hari Guru,Cikgu!

Hari Guru disambut serentak diseluruh negara semalam. Semua orang menggunakan laman media sosial untuk menyampaikan penghargaan kepada guru-guru yang pernah mengajar mereka. Tak kurang menggunakan Twitter untuk menulis trivia ringkas guru-guru yang pernah mengusik hati mereka.

Aku juga begitu. Yang mana aku ada nombornya, aku layangkan SMS tanda ingatan dan hormat. Sejak tahun lepas, selepas reunion SKLK aku sering berutus khabar dengan Cikgu Misel Khan Umbrass Khan. Namanya unik, seunik orangnya dan seunik tinggi dan beratnya. Menurut Cikgu Misel, hanya aku yang mengutus ucapan selamat. Tapi aku yakini sebenarnya bukan pelajar lain tak ingat, mereka cuma tiada nombor telefon. Durhaka jika anak murid tak ingat cikgu. Cikgu tak ingat anak murid itu lumrah. Beribu-ribu diajar saban tahun bersilih ganti, mana nak ingat semua. Kecuali korang ada rekod yang epik, barulah ingatan cikgu itu akan lestari pada seseorang individu. Yup, riwayat hidup zaman sekolah aku sangat epik. Hampir semua orang kenal – deal with it 🙂

Guru adalah satu pekerjaan yang mulia, semulia jasa dan bakti yang dicurahkan. Jika ada keikhlasan dalam berkerja, semua tampak indah dan langit juga semakin biru terangnya. Guru dulu dan sekarang, jauh bezanya. Dulu guru darjatnya sangat tinggi, kini guru tak ubah kerja makan gaji terutama di bandar besar bila mana anak murid lebih berkuasa dari kuasa guru itu sendiri.

Kerja apapun kena ikhlas..Aku pernah pohon menjadi guru tapi gagal. Tiada rezeki di situ. Menjadi penerbit rancangan juga tak kurang hebatnya. Jadi aku teruskan apa yang tersurat dalam hidup aku. Cuma aku kesalkan mereka yang menjadi guru semata-mata untuk mendapat kerja tetap. Kerja memang susah nak dapat. Guru seolah pilihan terakhir. Yang mana sempat menyemai rasa sayang atas kerjaya ini memang kudos aku ucapkan. Tapi buat yang masih melantak-lantak, membentak-bentak dan asal dapat gaji, semoga Allah merahmati anda semua.

Buat cikgu-cikgu yang pernah mengajar aku sama ada di bilik darjah atau di lapangan sukan, hanya Allah SWT sahaja dapat membalas jasa kalian. Buat cikgu-cikgu yang memandai-mandai menjadi nujum kepada masa depan aku yang banyak sisi negatif – maaf, cikgu salah 🙂 Buat cikgu yang piat telinga aku, tarik rambut dan membentak-bentak, mungkin kerana itu aku berjaya dalam pelajaran.  Aku bersekolah rendah di SK Lembah Keramat dan SMK Lembah Keramat. Jika ada pembaca yang menggoogle info sekolah dan terjumpa artikel ini, khabarkan pada cikgu-cikgu itu semua – aku tidak pernah lupakan jasa mereka.

Selamat Hari Guru, Cikgu…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...