Padah Kalau Idea Untuk Program TV Macam Celaka..

Melakukan aksi gurauan dengan rakan-rakan memang hiburan sehari-hari dalam persahabatan. Kalau kawan itu sensitif, berpada-pada juga kita nak melawak dengannya. Kalau yang lurus bendul dan jadi bahan jenaka, kena bahan memang takde hal. Tapi itu kawan..orang yang kita kenal dan boleh minta maaf balik. Dan aksi itu hanya untuk anda dan dia sahaja, tidak disaksikan oleh masyarakat menerusi TV, Youtube atau media sharing yang lain.

Aku faham, kalau cerita dari luar yang kena-mengenakan orang tu memang seronok kita ketawakan. Melihat orang diperbodohkan itu lucu. Melihat keaiban orang dibuka itu bahan kutukan sesama rakan-rakan dan melihat orang bergaduh itu umpama melihat gusti.

Sebagai penerbit, mencari idea untuk program TV satu benda yang seronok kerana banyak idea mengarut-ngarut akan keluar. Dalam sesi ‘brainstorming’ tidak ada satu idea pun boleh dikategorikan idea bodoh. Semuanya harus dipertimbangkan. Cumanya kalau dapat ketua yang bodoh dan setuju dengan idea bodoh, tak dapatlah nak ditolong.

Aku memang tak gemar idea untuk mengenakan orang/hamba sahaya/rakyat jelata/marhaen. Satu, sebab kita tak tahu berapa tahap toleransi dan keterbukaan yang ada pada individu tersebut. Dua, kalau salah langkah, kena saman. Jadi, elakkan.

Ini bukan Jepun..mengenakan kanak-kanak pun lucu. Ini Malaysia. Kita ada adat, budaya, nilai murni dan tonggak-tonggak yang pelbagai yang mana hormat dan tidak membuka keaiban itu sangat dihargai. Tapi ada kecuali..kecuali sudah mendapat kebenaran individu itu, kecuali tidak melampau etc. Tidak melampau ini luas untuk dibincangkan. Jadi sebagai penerbit dan tenaga penerbitan, tolonglah bijak!

TV tempatan sendiri ada beberapa program yang bersifat seperti di atas. Sama ada rating tinggi atau tidak itu terpulang pada stesyen dan penerbitan. Khalayak tengok, dan disusuli dengan umpatan dan ngomelan mungkin itu sudah menunjukkan penonton kini lebih sensitif – dan keterbukaan pun ada batasnya.

Hari ini Kosmo! menyiarkan artikel dari luar negara, Padah Menyamar Untuk Program TV. Seorang lelaki yang menyamar dirinya sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan dan cuba untuk memasuki kawasan larangan di Lapangan Terbang Auckland di New Zealand mungkin merupakan sebahagian daripada lawak jenaka untuk satu program televisyen. Bagaimanapun, polis New Zealand mendakwa perkara itu bukannya satu gurauan. Sudahnya dia dan penerbit dihadapkan ke mahkamah ekoran idea yang kononnya lucu bagi pemikir program berkenaan.

Tiada apa yang lucu tentang melanggar peraturan melibatkan keselamatan. Tiada yang lucu berpura-pura sakit jantung dan melihat adakah masyarakat membantu orang sebegitu ditengah bandaraya. Dan tiada apa harus ditepuk bila undang-undang untuk mempertahan keselamatan negara dihapus.

Jadi penerbit atau bakal nak jadi penerbit TV, ini bukannya kerja mudah. Ia datang dengan tanggungjawab besar. Jangan dah ada yang mati baru nak macam-macam. Kamonglah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...