Kamu Yang Bawaku Terbang

image
Aku sudah beritahu. Aku tidak suka dalam keramaian. Aku serabut dan rasa sendiri. Aku tidak tahu mahu menumpukan perhatian kepada siapa sebab semua orang seolah gila perhatian. Kerana itu aku cenderung bersendiri dan menanti kamu dengan melayan diri sendiri.

Aku meneroka daripada satu ruang hibur ke ruang hibur yang lain. Bukan jenis itu yang aku suka. Bukan jenis itu yang aku mahu. Aku tidak suka muzik hiruk-pikuk macam nak pecah gegendang telinga. Juga lelaki yang kecenderungannya boleh dipertikai mengutus salam kenal dengan niat terselindung. Apatah lagi dalam satu ruang seolah akuarium yang aku perlu berbasahan untuk ke seberang sana.

Aku bosan! Aku rasa asing..

Aku nanti akan dikau di luar pintu masuk. Selepas semua khalayak bangun bertepuk sorak terkhayal dengan persembahanmu memainkan imaginasi mereka. Kamu akhirnya muncul di situ.

Aku ingat jelas. Warna baju itu Royal Blue, ada Ace Club di depannya. Kamu pantas mendapatkanku. “Adakah kamu gembira melihatku?” Masakan tidak. Dadaku berombak kencang tanda keterujaan yang teramat. Sumpah aku sukakan apa yang aku lihat di depan mata ini. Sumpah cantik! Entah berapa kali aku katakan padanya. Dia hanya ketawa kecil. Kalau tidak disebabkan keadaan, mahu sahaja aku mendakap dia di situ juga!
image

“Okay, sekarang kamu mahu apa? Mintalah apa sahaja.”
Seriously?
Boleh bawaku terbang?

Serentak tanganku ditarik dan betul…dia bawaku terbang. Tidak terbang ke langit. Kami terbang menembus setiap jalan utama. Semua manusia yang ada dikeliling jalan bersorak tatkala kami berdua melintasinya khalayak dengan bergaya dalam bersahaja. Aku perhatikan riak-riak dengki mata yang melihat. Tentu mereka tertanya mengapa aku yang dipilih, bukannya mereka yang berhabis beratusan ringgit semata-mata mahu melihat persembahan dia.

Jauh aku dibawa mengembara. Daripada satu jalan ke jalan..daripada satu lorong ke lorong sampaikan aku jadi kagum dan simpati padanya. Dia membawaku terbang dengan penuh kudrat yang ada. Sampai aku katakan peluh yang mengalir itu lebih meriah berbanding peluh yang terhasil apabila dia beraksi. Aku akui..aku jatuh sayang padanya.

Makin lama, kami menghampiri satu kawasan perumahan. Kelihatan sekumpulan manusia seperti sedang berkumpul seolah sesuatu yang tragis telah berlaku. Aku perhatikan keliling. Tiada muka yang aku kenali. Adakah ini perhimpunan satu bangsa sahaja? Serentak itu kelihatan satu kakak bertudung – anak mami barangkali dan terus kami merapati dia.

Kamu maklum sahajalah..dengan nama yang dikenali dan baju persembahan yang masih tersarung membuatkan kamu terus dikerumuni gadis-gadis cantik yang pantas mengambil peluang untuk bersembang. Perlahan-lahan aku kebelakang dan kemudian aku terus terasa dipinggirkan. Sudah aku katakan…aku tidak selesa dalam keramaian manusia.

Tidak lama aku menyendiri. Dia menghampiriku dan membisikkan mengapa dia perlu masa untuk bersama gadis-gadis itu. Salah seorang daripada mereka telah berjanji untuk menyelesaikan satu masalah yang membebaninya.

“Kamu perlu faham itu..kamu perlu faham itu. Aku akan mendapatkanmu selepas semuanya selesai.” Dalam pada rancak dia bersembang dengan mereka, adakalanya matanya tetap mencuri memerhatikan aku yang setia menanti.

Tidak lama untuk otakku memberitahu kebenaran hujung pangkal cerita ini. Dia akan datang bila dia perlukan aku sementara aku sentiasa memerlukan dan menghargai dia. Cuma dia perlu tahu…dia yang bawaku terbang.

Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *