Poskad Cambodia!

image

Hampir sebulan aku kembali dari percutian di Cambodia, akhirnya poskad yang dinanti tiba jua. Ini adalah kiriman paling lama, makan masa 3 minggu baru sampai ke penerima. Aku lakukan kiriman yang sama dari Phuket dan Bali pun tidaklah selama ini.

Apapun, aku bersyukur ia sampai. Jika ada rezeki, aku pasti kembali šŸ™‚

Cambodia Epiphany : Bou Meng Book

Akhirnya aku berjaya menghabiskan membaca buku Bou Meng. Ini semua gara-gara terasa sentap dengan Farah yang mengatakan dia sudah habis membaca buku tersebut. Aku sebenarnya tak punya masa yang sesuai untuk membaca bahan bacaan serius seperti buku Bou Meng ini.

Akhirnya detik itu tiba jua. Beberapa hari lepas, dengan penuh kegigihan aku membacanya. Sebelum itu, aku mengambil mood dengan melihat kembali gambar-gambar di Cambodia, terutamanya gambar di Killing Field, Muzium Tuol Sleng dan gambar aku bersama Bou Meng. Bila mood sudah ada, tanpa lengah aku memulakan pembacaan, ditemani Adeq yang sedang sibuk menonton Charmed Season 8.

Cerita bermula dengan riwayat Bou Meng dari zaman kanak-kanak di mana dia mendapat mendidikan awal di pagoda. Dari situ, bakan melukis yang ada pada dirinya dibentuk sampailah dia di alam remaja dia belajar melukis dengan seorang pelukis terkenal (di zaman beliau) di Cambodia. Bou Meng gemar melukis gambar hitam putih. Dia akhirnya mendirikan rumah tangga dengan Ma Yoeun dan menyara hidup keluarga dengan menjadi pelukis poster filem. Di zaman itu, kesedaran tentang politik dan pergerakan komunis tidak begitu diendahkan. Sampailah ketika satu hari dia mendengar radio, Raja Sihanaouk menyeru rakyatnya bangkit dalam satu revolusi politik. Kala itu, Bou Meng dan isterinya secara sukarela hidup dihutan dan membantu pergerakan tersebut.

Kemenangan sementara yang disangka membawa kepada penyatuan Khmer merupakan mimpi ngeri buat Bou Meng bila dia dituduh menjadi agen CIA dan dipenjarakan di S-21. Jujurnya, Bou Meng sendiri tak tahu apakah itu CIA dan dia diseksa dengan kejam oleh rejim Pol Polt. Juga dinyatakan bagaimana kebolehkan beliau melukis potret Pol Polt akhirnya berjaya menyelamatkan nyawanya dari dibunuh.

Aku tak tipu bila aku katakan, buku ini sangat tragis dan menyentuh hati. Walaupun diceritakan dengan “tidak begitu cemerlang” oleh penulis buku, tapi imaginasi dan gambar-gambar yang aku lihat di Muzium Tuol Sleng menjadikan gambaran cerita Bou Meng jelas. Aku sendiri berpeluang bertemu Bou Meng dan aku tak dapat bayangkan betapa seksanya hidup 4 tahun dalam pemerintahanĀ  Pol Polt. Aku naik darah mengenangkan semua pemimpin tertinggi menyalahkan antara satu sama lain atas kematian 1/4 populasi Cambodia. Duch yang menjadi ketua penjara S-21 juga seakan menafikan mengetahui tahanan dibunuh,diseksa dan ditanam beramai-ramai. Pol Polt mati sakit tua – itu gone case. Tapi penderitaan mangsa dan waris-waris tetap merah sampai hari ini.

Ya, menitik airmata aku bila membaca perenggan Bou Meng dibenarkan bertanya soalan pada Duch. Katanya, dia hanya ingin tahu di mana isterinya dibunuh supaya dia dapat memberikan penghormatan pada isterinya. Juga bila dia mengatakan dia bermimpi berjumpa isteri dan 2 anaknya yang memohon pembelaan atas kematian mereka.

Apapun, buku ini adalah satu bacaan yang sangat berguna dan terkesan pada jiwa yang memahami. Jika ke Cambodia, cari dan bacalah. Semoga tragedi sebegini tidak akan berulang lagi di mana juga sudut dunia.

Cambodia:Hadiah Hari Lahirku..

image

Aku manusha yang tak reti beraksesori. Gelang-rantai-cincin-subang emas perak Zhulian bagai bukan idaman pun. Cincin yang aku ada hanya cincin kahwin yang jarang pun aku pakai. Selalu bila ada cubaan pihak luar dengan kail panjang sejengkal tidak percaya yang aku ini sudah berlaki sebab tak nampak cincin katanya..

Sewaktu berjalan di Pasar Seni, Phnom Penh, banyak kedai-kedai yang menjual cincin gelang bagai ni. Seorang kawan memberitahu zamrud di sini sangat murah. Aku tak ambil pusing sebab zamrud tu rupa parasnya macam mana pun aku tak tahu. Oleh kerana kedai seperti ini terlampau banyak, aku pun usha juga kot-kot berkenan di hati. Menurut Master, aku sesuai memakai cat eye, batu turqoise atau blue sapphire.

Blue saphire yang aku cuba bukannya tak cantik…cantik amat. Tapi aku kecik ati sebab jari aku nampak gelap dengan kegelapan batu warna itu. Jadi cincin seperti di atas nampak molek dengan jari aku yang kecil. Terus aku bertanyakan harganya. Ia dibuka dengan harga USD 20.

Aku tak mahir menawar. Perasaan simpati aku sangat tinggi terutama pada penjual yang boleh aku panggil emak dan nenek. Dan aku juga tidak ada niat untuk membeli cincin batu sebenarnya. Dalam hati, kalau USDĀ  10 mungkin aku sanggup untuk beli. Aku biarkan Hadi tawar-menawar. Bila peniaga sebut harga,Hadi suruh aku geleng dan muka angkuh tanda tidak setuju. Bila sampai USD 10 aku ingatkan dia berhenti di situ. Aku memainkan peranan geleng-menggeleng kepala seperti biasa. Akhirnya, cincin itu aku miliki dengan harga USD ??

Oh,aku memang terkejut dan gembira ria. Bukan sebab cincin itu cantik atau murah. Tapi sebab ia pemberian suami yang tak pernah aku goda untuk minta hatta semayam emas pun. Kesungguhan dia mendapatkan cincin itu aku sanjung tinggi.

Cincin itu pun tak tentu aku pakai hari-hari hahaha…

Cambodia:Kisah Bou Meng & Penjara S-21

image

Masa aku post gambar aku dan Bou Meng di Facebook,separuh dari komen gambar itu ialah-aku nampak kurus. Ia langsung takde kaitan dengan tujuan gambar itu dikongsi. Tapi bagi rakan-rakan yang menegur, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak.

Bou Meng adalah mangsa penjara S-21 yang terselamat dan masih hidup. Secara peribadi,aku sifatkan dia adalah khazanah Cambodia yang tak ternilai. Banyak sejarah lisan yang disimpan dalam ingatannya tentang kekejaman Pol Pot dan neraka penjara ini. Ia kemudiannya dibukukan dan dijual di Muzium Tuol Sleng iniĀ dengan harga USD 10.

Sepanjang di Cambodia, aku tak pernah jumpa buku ini dijual secara berleluasa. Kalau ikutkan,aku tak perlu sangat pun buku ini sebab kisah Bou Meng ada dicatat di kawasan pameran muzium.Ā  Tapi kerana aku bimbang jika aku kembali ke sini dan Bou Meng mungkin sudah tiada, aku pasti menyesal. Buku itu aku beli dan ditandatangani olehnya. Tak cukup itu,aku mohon izin bergambar dengan Bou Meng dan kesempatan yang ada digunakan untuk berbual ringkas dengan menggunakan khidmat penterjemah.

Sampai hari ini buku Bou Meng belum sempat aku baca…Buku Pol Pot belum abis baca lagi…

image

Cambodia:Muzium Tuol Sleng aka Penjara S-21

Pengalaman di The Killing Field pagi itu seolah-olah memberi bayangan tentang apa yang bakal aku rasa di muzium ini. Penjara S-21, dahulunya merupakan sekolah 4 bangunan yang digunakan sebagai penjara oleh rejim Pol Pot. Bangunan ini kemas terpelihara, namun ribuan kisah derita terpahat didalamnya.

Di sini, semua tawanan diseksa, dipasung dan dipaksa mengaku atas semua pertuduhan yang dihadapkan –Ā  walaupun tuduhan itu tidak benar. Mudah cerita, seiapa yang di tahan di sini penghujungnya adalah mati. Jujur cerita, aku hanya masuk di 2 blok sahaja. Yang lagi dua, aku masuk sekejap dan keluar balik. Minta maaf…aku sangat depressed di sini. Aku tak dapat bayangkan betapa seksanya mangsa diperlakukan begitu oleh kader rejim Pol Pot. Setiap kali aku pandang gambar mangsa-mangsa yang penuh disetiap blok, setiap kali itu jugalah aku harap ini semua hanya cerita palsu tetapi hakikat sisa temulang dan tengkorak yang bersusun di sini menidakkan semua harapan itu.

***

Ini adalah “The Gallows”.. Tiang ini dahulunya digunakan oleh pelajar sekolah untuk aktiviti senaman. Sekarang, perhatikan 3 tajau besar itu. Dizaman rejim Pol Pot, tiang ini digunakan untuk menyeksa tahanan dengan cara menggantung mereka secara terbalik – kaki di atas dan kepala dibawah. Tahanan akan disebat dan dipaksa mengaku salah. Sekiranya mereka enggan, mereka akan diseksa sehingga pengsan. Ketika itu, kepala tahanan akan dimasukkan ke dalam tajau yang berisi air limbah sehingga mereka sedar. Setelah itu, mereka akan diseksa dengan cara yang sama sampailah pengakuan bersalah dicatatkan. Babi babi babi kejam!

Semalam, Duch – orang kuat Pol Pot dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Jenayah Perang Kemboja. Berita ini aku ambil dari Utusan.

PHNOM PENH 3 Feb. – Bekas ketua penjara ketika era Khmer Rouge, Kaing Guek Eav (gambar) dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dalam satu kes rayuan di mahkamah jenayah perang Kemboja, tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Mangsa yang terselamat daripada pemerintahan rejim, menyambut baik keputusan mahkamah itu, yang meningkatkan hukuman penjara daripada 30 tahun yang diputuskan pada 2010 kepada penjara seumur hidup atas kesalahan jenayah perang dan kemanusiaan.

Menurut hakim, hukuman sebelum ini terhadap bekas ketua penjara S-21 yang bertanggungjawab di atas kematian 15,000 tahanan di penjara itu tidak ‘berpatutan dengan jenayah yang telah lakukannya pada lewat 1970-an’.

“Jenayah yang dilakukannya jelas merupakan antara rekod kekejaman kemanusiaan terburuk dalam sejarah.

“Dia seharusnya menerima hukuman paling berat,” kata Presiden badan rayuan tertinggi mahkamah itu.

Dengan memakai baju putih dan jaket kuning, Duch, 69, yang duduk di kandang tertuduh kelihatan tidak memberikan sebarang reaksi ketika keputusan dibacakan.

Dia sebelum ini merayu dibebaskan kerana kesalahan yang dilakukannya itu adalah atas arahan pihak atasan, tetapi pendakwa raya turut mengemukakan rayuan dengan menyatakan hukuman sebelum ini tidak memadai.

Keputusan kali ini disambut baik oleh beratus-ratus rakyat Kemboja, termasuk sami-sami dan warga emas yang terselamat daripada kekejaman rejim Khmer Rouge dari 1975-1979, yang berhimpun di galeri awam di mahkamah itu.

Duch adalah kader Khmer Rouge pertama yang dihadapkan ke tribunal PBB itu. – AFP

Cambodia:The Killing Field..

Stupa..

Killing Field dahulunya ialah tapak perkuburan cina yang digunakan oleh rejim Pol Pot sebagai tempat terakhir bagi tawanan penjara S-21 sebelum riwayat mereka dihabiskan di sini. Ia juga tempat di mana lubang digali dan ratusan ditanam beramai-ramai sama ada hidup-hidup atau sudah dipenggal kepalanya. Bayangkan..rejim sialan ini menggunakan cangkul,sabit,parang,kapak dan senjata lain sebagai alat seksaan..

Sekitar 8.30 pagi aku mampir di sini. Aku dan Hadi adalah pengunjung pertama hari itu. Tiket masuk berharga USD 2 kerana kami tidak menggunakan audio guide. Topi Blackberry putih yang sering aku pakai tersimpan dibeg sandang, sebagai tanda hormat buat mangsa-mangsa di Killing Field ini. Fedora Hadi juga begitu.. Aku juga tidak berseluar pendek atas alasan di atas. Kerana itu aku rasa jijik dengan seorang pengunjung yang berseluar pendek macam nak terkeluar ci**p dan bersinglet spaghetti. Malulah..orang barat pun tahu adab pergi kubur.

Menara atau stupa tersergam indah. Namun didalamnya diisi timbunan temulang,tengkorak,gigi dan pakaian terakhir mangsa pembunuhan kejam tanpa perikemanusiaan. Tenggorak diasingkan mengikut jantina dan umur. Aku bertafakur seketika dan Al-fatehah aku sedekahkan buat mangsa yang beragama islam..

Di sini ada wifi. Kerana itu aku kerap updates apa yang aku nampak dan rasa, sebab kalau boleh aku mahu kawan-kawan semua rasa apa yang aku rasa. Bulu roma aku sentiasa meremang dikawasan ini. Lagi pula,aku boleh merasa adanya entiti lain walaupun tiada kelebihan untuk melihatnya.

Bashing Tree..

Ini pokok di mana bayi dihempas ke sini. Ya,begitulah cara bayi dibunuh. Ia bukan propaganda kerana ada saksi yang menyaksi dan mengesahkan cerita ini. Tentu ada yang tertanya, takkan tergamak mereka buat begitu pada bayi yang tidak tahu apa. Ada satu quote oleh Pol Pot yang kurang lebih berbunyi begini – hidup pun takde guna, kalau mati pun tak beri kesan apa..

Jangan ingat rejim yang melakukan seksaan di sini orang dewasa sahaja. Ada remaja dari usia 13 tahun telah direkrut dan didoktrin pemikiran mereka hingga tergamak membunuh ibubapa sendiri.

Magic Tree

Ini pula ialah “Magic Tree”. Pokok besar ini punya ceritanya sendiri. Untuk mengelakkan tahanan lain mendengar jeritan terakhir mangsa-mangsa sebelum menemui ajal,speaker dipasang dipokok ini bagi menenggelamkan bunyi itu. Pokok ini masih teguh berdiri..

Perasaan aku di sini sangat kusut. Aku hiba..aku hampir menangis,aku menangis dan aku dilanda sayu sepanjang masa. Terutama bila aku sampai di satu mass grave. Ditemui 150 mayat di sini – wanita dan kanak-kanak yang kesemuanya tanpa pakaian! Mass grave terbesar mencatatkan penemuan 450 mayat dalam satu lubang.

Sangat kejam!

Sebelum kembara di sini berakhir, kami menyaksikan dokumentari The Killing Field. Sangat sedih..Semoga kekejaman dan kegilaan sebegini tidak akan berulang lagi.

Antara Mass Grave di sini..

Cambodia : Hari Ketiga..

Membaca sambil menunggu bas..

Pagi itu kami bangun awal. Terus bersiap untuk checkout dari Ta Phrom Hotel. Jam 8.00 pagi nanti kami akan menaiki bas untuk balik ke Phnom Penh. 6 jam lagi perjalanan tu..Tiket sudah kami beli siap-siap di Phnom Penh untuk mengelakkan kehabisan tiket. Sesudah urusan selesai, kami menikmati sarapan dan bas pick-up datang tepat pada waktunya.

Sepanjang perjalanan, buku The Pol Pot Regime menjadi meneman setia. Tapi kerana tatabahasa Inggerisnya agak berbelit, ada beberapa perenggan aku ulang baca berkali-kali. Mata pula seakan-akan layu – mungkin kerana keletihan aktiviti semalam. Beberapa kali aku lelap dan sambung balik pembacaan. Ketika bas berhenti di Kampong Thom, kami tidak makan di situ. Hanya beli semangkuk aiskrim vanilla dan dikongsi berdua. Terasa romantika pula.. šŸ™‚

Hadi gembira menikmati Kafta..

Bas meneruskan perjalanan dan kami tiba di Phnom Penh sekitar jam 3.00 petang. Berebut-rebut tuk tuk menawarkan servis mereka. Tapi aku lapar. Jadi kami singgah disebuah kedai Lebanon dan menikmati Kafta (ala-ala kebab). Selepas itu, kami pergi ke jeti yang kebetulan berhampiran dengan kedai makan tadi. Kononnya mahu cruising sekali lagi. Di sinilah rupanya cruising yang murah iaitu USD 5 seorang, tetapi naik ramai-ramai. Memandangkan kami sudah ada pengalaman cruising di Tasik Tonle Sap di Siem Reap, cruising di Tasik Tonle Sap Phnom Penh ini kami abaikan. Terus kami menaiki tuk tuk dan check in di Hotel Asia. Ok la hotel ini…Tapi tak sehebat hotel Ta Phrom di Siem Reap.

Menjelang malam, kami berjalan-jalan ke riverfront yang bernama Sisowath Quay. Ramai juga orang menebeng di situ. Tiba-tiba aku terdengar lagu Noraniza Idris, Dikir Puteri. Eh, mana datangnya? Rupa-rupanya di tengah dataran ada sekumpulan warga sedang melakukan poco-poco! Kebanyakannya pakcik dan makcik juga beberapa pelancong yang sporting. Di sebelah kumpulan poco-poco ini, ada sekumpulan anak-anak muda menari K-Pop! Berlawan-lawanlah dua kumpulan ini. Sebagai pelancong, aku rasa ini tarikan yang menarik..

Perut mulai berbunyi. Pantas kami berjalan dan mencari restoran halal. Kami makan di satu restoran halal bertajuk Restoran Asmak 81. Hadi mencuba makanan Khmer dan aku memesan Nasi Goreng Seafood. “Sini halal..tak mahu makan ayam ke?” tanya Hadi. Entah..aku tak terasa nak makan ayam di sini.

Selepas makan kami terus balik hotel. Esok hari yang panjang dan penuh tekanan. Itu yang dinyatakan oleh Soraya bilakala aku memberitahu aku akan ke The Killing Field dan Tuol Sleng Genocide Museum. Itu di catatan yang lain…

Cambodia:Hari Kedua..

Tarian Apsara

Setelah penat berjalan seharian di Angkor Archaelogical Park dan menyusur Tasik Tonle Sap, malamnya kami mahu melihat tarian Apsara. Sebenarnya, sebelum ke Angkor Archaelogical Park, Ariel Peterpan membawa kami singgah disebuah restoran untuk membeli tiket tarian Apsara yang sebenar-katanyalah. Tiket berharga USD 12 dan makan secara buffet-all you can eat. Aku sangsi dengan makanan yang ada dan tarian inipun bole dilihat secara percuma di Pub Street.

Sebelum mencari restoran, aku singgah di satu kedai buku dan membeli 2 buah buku iaitu The Ho Chi Minh Trail dan The Pol Pot Regime. Membeli buku tak pernah ada dalam agenda bercuti. Entah kenapa di sini aku seolah diseru untuk membelinya.

Kami memilih satu restoran yang menyediakan selingan tarian Apsara pada pelanggan sambil menikmati makan malam. Yang penting – percuma. Aku makan Nasi Goreng Seafood dengan harga USD 2 dan kopi ais USD 1.

Tarian bermula. Aku rasa penari-penari ini macam pelajar lepasan PMR. Errr…aku sempat main mata dengan dua orang dancer. Lepas itu aku rasa bersalah dan memandang tarian itu tanpa perasaan. Sebenarnya aku gagal mencari keindahan tarian ini. Biasa-biasa aje kot..

Lepas makan, kami sekali lagi pergi ke panggung wayang mini. Kali ini untuk menyaksikan dokumentari Angkor Wat. Tiket berharga USD 3 dan sementara menunggu waktu tayangan, kami sempat pergi massage. Massage di sini sangat gile babi murahnya.. Untuk USD 1, kita akan diurut selama 10 minit. Memandangkan ada sejam lagi sebelum wayang mula, aku ambil USD 2 punya massage untuk 30 minit. Disebabkan aku telah melihat cara mereka mengurut badan yang memerlukan tangan dikepak macam separuh azab, aku minta 30 minit itu untuk urut kaki sahaja. Hadi sempat lelap..Aku memerhatikan dokumentari di skrin besar, juga berkenaan Angkor Wat. Memandangkan aku ada membeli buku, jadi buku itu aku baca sepanjang sessi urutan berlangsung. Urutan mereka sangaaat sedap!

Kemudian kami terus ke mini panggung dalam keadaan separa nak tidur kerana kesedapan urutan tadi. Kami juga diberi masuk awal kerana tiada siapa yang membeli tiket untuk tayangan itu. Lebih kurang 10 minit tayangan bermula, kakak penjaga panggung merayu-rayu mohon maaf kerana ada 4 orang telah membeli tiket dan mohon untuk bermula semula. Tak apalah..maka tayangan dimulakan sekali lagi.

Mungkin kerana dokumentari itu agak mengarut, atau urutan yang masih tersisa menyebabkan aku sangat mengantuk. Aku tahan-tahankan juga mata supaya dapat menonton sampai habis. Akhirnya sejam berlalu..Kami balik dan tidur. Hari ini sangat penat. Mungkin kerana keletihan kembara di Angkor Archaelogical Park masih terasa..

Cambodia:Menyusur Tasik Tonle Sap..

Tasik Tonle Sap adalah tasik terbesar di Asia Tenggara. Secara peribadi aku rasa bertuah dapat merasa bersiar-siar sambil menanti matahari terbenam di sini. Aku ke sini selepas selesai kembara di Angkor Archaelogical Park. Agak jauh sampai Hadi sempat terlelap dalam tuk tuk..

Kos menaiki bot ialah USD 20. Serius mahal pada aku..untuk 1 jam 30 minit. Tapi kerana private cruising katanya, aku ikutkan juga,sebab alang-alang dah sampai.

Sepanjang sungai menuju tasik, dapatlah kita melihat kehidupan masyarakat di situ. Rumah, sekolah, gereja malah gelanggang bola tampar pun atas air. Anak-anak kecil kebanyakannya main air dan menjerit-jerit riang.

Pemandu bot mahu singgah di sekolah dan pasar terapung. Aku tak mahu sebab tujuan naik bot hanya untuk melihat suasana bilakala matahari terbenam. Oleh kerana masa masih panjang,kami singgah di taman buaya.

Masa singgah di sini yang Hadi disergah budak dalam besen menjual ular. Bila sampai di taman ini,ada lagi budak mengusung ular. Terus aku minta budak bawa bot tu bagitau budak bawak ular jangan dekat dengan Hadi.

Dalam taman tu adalah dekat 20 ekor buaya. Itu saja..apa lagi nak buat. Sudahnya kami panjat tingkat atas dan ambil gambar dari situ.

Bila matahari makin terbenam, kami balik ke pengkalan. Kalau ada yang nak merasa cruising tasik,aku nasihatkan buat di Phnom Penh. Hanya USD 5. Tapi naik ramai-ramai…

Cambodia:Angkor Wat..

Aku mengenali Angkor Wat hanya melalui buku sejarah. Dinyatakan sebelum ini, pengetahuan terhadap tempat ini sangat minimal. Aku datang sebagai manusia jujur tanpa buat kajian dan pembacaan. Apakah sejarah yang ada di sini haram aku tak tahu, sampailah balik di Malaysia baru aku berkesempatan melihat dokumentari Megastructures. Bersedialah menjadi badak semput Jumanji kerana kembara di sini memerlukan kudrat yang padu, walaupun ia bersaiz kecil berbanding wat-wat lain yang ada dalam Archaelogical Park ini.

Aku ke sini selepas makan tengah hari. Bagus sangatlah tu…Sebab kalori cepat terbakar dan tenaga pun masih banyak. 2 bekalan air aku bawa. Satu air mineral dan satu air teh berperisa buah delima. Selepas tiket diperiksa, aku dan Hadi melangkah kagum ke arah Angkor Wat yang kira-kira 200m perjalanan ke pintu utama. Di kiri dan kanan, ada dua binaan lama yang langsung kami tak peduli. Ini tapak warisan dunia..aku mesti tengok apa yang hebat di sini. Sepanjang jalan adalah mengambil beberapa gambar. Nak terus masuk, orang ramai. Kami melenggang mak limah berjalan. Sebenarnya, kaki, betis, paha dan badan semua dah sakit. Aku rasa nak minta Hadi seret aje masuk ke sini.

Untuk tahu lebih terperinci tentang Angkor Wat, baca saja di sini. Sangat rumit untuk aku terjemahkan. Apa yang bole aku cerita secara ringkas ialah wat ini dibina pada zaman pemerintahan Suryavarman II. Suryavarman II menjadi raja pada usia 14 tahun dengan membunuh pakciknya sendiri, raja dikala itu kerana dia merasakan dia mempunyai kredibiliti sebagai raja berbanding pakciknya. Selepas menjadi raja, dia memikirkan sesuatu yang mega supaya dikenang oleh rakyatnya dan binaan itu akan membawanya ke syurga dengan cepat. Nak tahu detail, tengoklah dokumentari Megastructure itu. Sangat magnificient!

Untuk sampai ke puncak Agoda yang tertinggi, perlu menaiki tangga yang boleh tahan tingginya. Aku nie fobia tempat tinggi. Tapi aku kuatkan semangat sebab nak ambil gambar di Agoda itu. Barulah lengkap kunjungan aku ke sini. Berpusing-pusing mencari tempat yang strategik kerana wat ini sedang dalam proses pemuliharaan.

Lengkaplah kembara dalam Archaelogical Park ini. Yang lain itu aku tak peduli sangat..Kalau ada rezeki lain kali aku teroka semua. Badan memang minta simpati, tapi pengalaman aku di sini sangat priceless!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...