WEH, JAGALAH ANAK KAU TU!!!

 

Aku memerhatikan sahaja perkongsian cerita tentang polemik hari raya yang memenuhi garis masa Facebook dan Twitter. Kalau ikutkan memang gatal sangat tangan untuk mencelah, tetapi memandangkan banyak hal lain yang lebih utama, aku biarkan sahaja posting itu tenggelam dipuput bayu South China Sea.

Tahun lepas, ada tuan rumah mengeluh ikan koi peliharaannya mati kerana anak-anak tetamu begitu seronok mencurah pallet makanan sampaikan ikan mati overdose. Itu belum masuk binatang peliharaan tuan “dizalimi” dalam situasi pelbagai bentuk – dipukul, ditarik ekor, mungkin dipijak tanpa sengaja dan lain-lain peristiwa. Antara yang seram, koleksi mainan tuan rumah yang disesah dan diperlakukan seperti pasaran terbuka macam pesta makanan Thailand.

Aku tidak mahu menyebelahi tuan rumah dan tidak pula cenderung menyokong ibu bapa yang membawa anak beraya ke rumah orang. Bila keluar SOT “biarlah, budak lagi” memang makan hati ajelah dan berjegil-jegil anak mata menahan amarah. Aku sendiri kalau koleksi Doctor Strange aku diperapa-apakan berpotensi terkeluar saka giler yang lama terikat.

Tahun ini ada kes TV pecah. Alah, kes TV pecah ini ada aje berlaku saban tahun tapi dulu tak kecohlah sebab takde media sosial. Dan berbalah-balahlah umat manusia dimedia sosial salahkan anak tetamu, fader mader dan sistem sosial sekali. Aku tak salahkan tuan rumah minta ganti rugi sebab itu harta benda dia yang dia beli dengan keringat dia sendiri. Aku juga tak salahkan budak yg pecahkan TV itu sebab aku yakin nawaitu dia datang beraya bukannya “nawaitu pecahkan TV LED setiap rumah syoknya syoknya..”

Bolehlah nak salahkan fader dan mader kalau itu boleh membuatkan kalian gembira dan naik jati diri. Sebab ada aje mak dan bapak sibuk melahap dan bersembang tanpa sedikitpun peduli keberadaan anak yang dalam rumah orang tu. Lebih bedebah ada aje laki biarkan bini terkonting-konting menguruskan anak sementara dia mengekek mengenang zaman kanak-kanak sambil menghisap rokok. Pastu bila anak pecahkan barang orang, bukan main dialah melantun dulu.

Sebagai seorang ibu yang ada anak istimewa, ziarah-menziarah dihari raya ni memang takde langsung dalam agenda. Aku tahu anak aku macam mana. Judin autistik…bila pergi rumah orang bukannya mudah untuk dia terus adapt. Dengan panasnya, orang ramai, tarikan banyak – susah nak handle! Aku tahu anak aku berpotensi mencetuskan perang saudara, perang fisabilillah hatta perang ketuhar raya sekalipun. Aku memang takkan lupa SOT “ehh, tengoklah anak kau tu…anak kau tak boleh diam ke…” sampai bila-bila. Nak sekolahkan orang apatah lagi orang tua yang ignorant hapah tak guna memang buang masa.

Kebiasaannya aku akan tunggu dalam kereta dengan Judin. Hadi dan Eskandar boleh pergi masuk mana-mana rumah yang mereka nak beraya. Tapi tahun ini, aku minta Hadi sahaja pergi sorang-sorang rumah saudara-mara dia. Rumah saudara-mara aku sendiripun aku tak kuasa nak pergi. Biarlah aku duduk rumah dan jaga anak. Itu lebih mudah. Dalam satu beg misteri, sudah aku standby berpuluh-puluh telur ala-ala telur puaka Kinder Joy untuk dijadikan umpan kot-kot anak syurga aku mengamuk atas pelbagai sebab.

Ya, aku akui kita lebih kenal anak kita. When people ought to blame the mader and fader i kenot blame them because this is exactly like elephant fight elephant, grass will suffer. Grass dalam kes ini sentiasalah isteri, bini, menantu perempuan dan emak. Always!

Itu sebab kalau ada jemputan kahwin, kami akan sampai paling awal sekali. Orang tengah tak ramai, jadi boleh kawal anak dengan tenang. Untuk menziarah bagai-bagai ni tak perlu tunggu raya. Sepanjang tahun boleh aje ziarah kalau mahu. Dan kalau dah tahu saudara-mara kawan-kawan semua iman tipis, mulut takde insurans, duduk dirumah kaca – tak perlulah tergedik-gedik nak pergi raya rumah diorang. Nanti disebabkan ragam anak kau tu, setiap kali lebaran hikayat peristiwa anak kau merosakkan harta benda dia akan diulang macam tengok Astro. Kau juga dikecam tak tahu jaga anak.

Ok, itu kes kalau ada anak istimewa.

Kalau anaknya normal, fader dan mader pun normal tapi anaknya buas macam loch ness monster, sambil sembang-sembang makan tu minta ajelah diorang tengok-tengokkan anak tu sebelum terjadinya insiden-insiden yang tidak diingini. Paling-paling pun diorang terasa hati aje sebab kau tegur parenting skill mereka yang tak berapa ada. Kesannya tahun depan diorang tak datang raya rumah kau lagi dan harta benda insya Allah selamat setiapkali Syawal tiba.

#apabilakakbennymenulis
#indahnyasyawal
#autismeisnotatragedyignorantis
#findthefaderandmader

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *