Ulang Tahun Perkahwinan Yang Ke-7

IMG-20131113-WA0007

18 November lalu, genap 7 tahun aku dan Hadi melayari hubungan jiwa dalam satu ikatan rasmi. Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, tahun ini sambutannya sungguh sederhana. Tiada percutian di luar negara, tiada makan malam istimewa dengan alunan muzik di kelab malam dan tiada hadiah yang direncana. Yang sempat hanya 2 malam di Cameron Highlands, itupun sedikit terkejar-kejar. Bulan November tahun ini kami lalui dengan penuh kesibukan. Kehadiran Eskandar Dzulkarnain, itulah hadiah paling nyata pada tahun ini.

Semenjak mula berkerja, masa amat terhad. Mesyuarat sehari suntuk boleh dikatakan memenuhi kalender kerja seminggu. Balik penuh dengan keletihan minda. Malamnya kami hanya tapau makan malam dan mengadap TV sambil bersembang seadanya. Pada Jumaat malam pula sudah bergegas balik ke Taman Permata untuk menghabiskan masa dengan ED.

18 November tetap kami raikan – seadanya. Makan malam yang istimewa di Marche disusuli mengopi dan sepotong kek. Hajat hati mahu membelikan sesuatu untuk Hadi. Sayangnya kewangan agak mendesak bulan ini. Aku perlu berjimat sementelah kami akan berpindah akhir bulan ini.

IMG-20131113-WA0001

Semalam, Hadi mengajak makan malam di luar. Aku dibenarkan memilih menu dan lokasi. Oleh kerana lama tak pekena sushi, cadangan itu dilontarkan dan Hadi bersetuju. Sebaik habis makan, selayaknya kami bersembang-sembang kecil. Tidak sangat aku curiga apabila dia melontarkan kata sayang dan cinta kerana itu memang mengisi perbualan kami sehari-hari. Hari-hari kami ungkapkan perkataan itu dan ia sedikit tidak menjadi janggal. Cuma bila mana dia berkata ‘ I amat menghargai kehadiran you dalam hidup I’ sambil mengeluarkan surat yang aku tulis lewat kursus di Bukit Merah minggu lepas, aku jadi terkejut besar.

Hadi, saya benar-benar maksudkan setiap ayat yang saya tulis dari hati. Sejak zaman kita berutus surat di UiTM yang berjumlah 28 pucuk semuanya sehinggalah kiriman poskad yang terakhir, tidak pernah tidak saya nyatakan betapa bertuahnya saya ini kerana mendapat ruang kecil dihati kamu. Semoga cinta sentiasa memekari hidup kita sekeluarga. Sayang untuk selamanya 🙂

ady

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *