The Great Wall

Lama juga aku tidak ke panggung wayang. Cerita terakhir yang aku tonton kalau tak silap ialah Dr. Strange. Rasanya minggu awal pembukaan aku sudah mencuri masa untuk menontonnya.

Semalam, aku berpeluang menonton The Great Wall. Macam mana nak cerita pun aku serabut lagi, tapi beginilah..What’s not to like? Matt Damon – Check! Pedro Pascal – Check! Check! Andy Lau – Gazillions Check! Check! Check! Boifren lama akak kot…Pendek kata casting memang sudah menarik untuk menonton walaupun belum tahu ceritanya macam mana.

Jujurnya, memang langsung tidak menghampakan. Punyalah best, sampai aku tak sabar nak dapatkan satu salinan untuk simpanan peribadi. Sinopsis cerita yang semenggah, bacalah sendiri di sini.

Kalau nak diikutkan, aku tepuk dahi juga dengan jalan cerita filem ini. Tapi memang pelakon yang ada menyelamatkan cerita. Secara ringkas, The Great Wall mengisahkan tentang William (Matt Damon), Tovar (Pedro Pascal) dan beberapa lelaki lain dari barat sedang dalam pelarian dikejar oleh Puak Khitan. Mereka di China untuk mencari serbuk hitam / belerang untuk dibawa balik ke tempat mereka. Mereka kemudiannya bersembunyi di dalam gua sebelum diserang oleh seekor “raksasa” misteri. William berjaya membunuh raksasa itu dan menyimpan tangan itu kerana dia ingin tahu jenis raksasa apakah yang berjaya dibunuhnya. Raksasa tak raksasalah sangat..aku rasa macam mengkarung kena magnify beribu kali.

Dalam perjalanan mencari serbuk hitam, sekali lagi mereka dikejar Puak Khitan. Dalam usaha melarikan diri, mereka ditawan oleh askar China dan sampai di Tembok China yang penuh misteri. Mereka kemudiannya dibawa berjumpa General Shao, General Lin dan Strategist Wang (Andy Lau). (Nampak aje Strategist Wang, akak dah senyum-senyum tanpa putus dah. Tapi Andy Lau nampak kurus sangat.)

William kemudian mengeluarkan tangan raksasa yang dibunuhnya semasa di dalam gua. Raksasa itu, Tao Tei – akan menyerang Tembok Besar setiap 60 tahun. Ok aku tak kuasa nak cerita kenapa 60 tahun, kenapa Tao Tei bagai-bagai sebab ini antara sebab kedua akak tepuk dahi. Dipendekkan cerita, William dan Tovar ditawan. Malam itu, Tao Tei berjemaah datang menyerang. William dan Tovar menunjukkan kehebatan mereka berperang dan semua orang mengucapkan terima kasih atas bantuan mereka berdua. Rupa-rupanya, bukan mereka berdua sahaja orang Barat di situ. Ballard (William Dafoe) telah ditawan oleh askar China selama 25 tahun di situ. Dia mengajar bahasa Inggeris dan Latin di situ dan kerana itulah General Lin boleh berbahasa Inggeris dengan baik – ini tepuk dahi jugak kaedahnya.

Seperti William dan Tovar, Ballard juga dalam misi untuk mencari serbuk hitam. Mereka bertiga berpakat untuk melarikan diri dan mencuri serbuk hitam yang ada dalam bilik senjata dalam kawasan itu. Namun William seakan berbelah bahagi kerana mahu membantu General Lin memusnahkan raksasa yang telah mengganggu gugat keamanan di situ. Strategist Wang percaya Tao Tei yang dibunuh oleh William dahulu menjadi lemah kerana William mempunyai sebiji magnet yang diyakini merosakkan deria Tao Tei. Dengan bantuan William, mereka berusaha menangkap seekor Tao Tei untuk membuktikan teori Strategist Wang.

Saat ini, Tovar dan Ballard telah selamat melarikan diri dan mencuri stok serbuk hitam yang ada. Mana ada kejujuran pada penyamun, Tovar akhirnya disailang oleh Ballard dan kemudian dia ditangkap kembali oleh askar China. William membantu General Lin untuk membunuh ratu Tao Tei dan yang lain-lain itu korang dah boleh agak apa jadi.

Apa yang menarik dalam filem ini ialah pakaian askar mereka dibuat dengan penuh teliti, elegan dan eksklusif – lengkap dengan color coding untuk membezakan tugas masing-masing. Bila mana semua unit sedang sibuk dengan pergerakan masing-masing, aku rasa macam tengok persembahan kemerdekaan pun ada juga.

Info menarik tentang filem ini :-

  • Ini merupakan filem Hollywood pertama lakonan Andy Lau.
  • The Great Wall merupakan filem China termahal yang pernah dihasilkan – setakat ini.
  • Watak Ballard asalnya ditawarkan kepada Bryan Cranston. Kalau tak bolehlah kita tengok Walter White dalam filem ini.
  • Pedro Pascal terkenal dengan watak sebagai Oberyn Martell dalam drama popular Game of Thrones. Itu juga punca akak senyum-senyum tak berhenti apabila menonton filem ini. Oh, sekali imbas ingatkan Tavor ini Jeremy Renner. Macam nak tersama pulak muka kedua-duanya.

Kesimpulannya, cerita ini ok la..tak rugi pun tengok. Selamat menonton! 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

2 thoughts on “The Great Wall”

  1. Pada pandangan saya yang raksasa tu mungkin mereka nak gambarkan yakjud makjud tapi ikut mitos mereka.. Sebab yakjud makjudkan ganas, laju, muka buruk, mata sepet, yang paling penting tinggal kat sebalik gunung kat Timur. Semua tu ada mention salam movie tu. Wallahualam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *