Laos : Percutian Yang Tertunda

Wattay International Airport

Tahun 2012,satu percutian yang epik aku dan Hadi jalani adalah ke Phnom Penh. Itupun pada awal Januari lalu. Selepas itu kami sama-sama sibuk. Aku dengan alam seorang pelajar dan dia sibuk dengan kerjaya. Ditambah keadaan aku yang hamil dulu menyebabkan percutian,hatta walaupun dalam negara asyik tertunda dari minggu ke minggu,hinggalah bulan ke bulan.

Kemudian, aku keguguran dan berpantang. Itu banyak mengubah hidup kami. Mungkin percutian boleh melenyapkan sedikit kesedihan. Maka kami kemudiannya merancang ke Laos.Ada yang bertanya,kenapa kami tidak memilih percutiaan yang ringkas. Maksudnya, bercuti,rehat,tenang dan tidak sarat dengan agenda. Jawabnya – kami bukan jenis sebegitu. Alang-alang ke negara orang,selagi boleh selongkar keajaiban dunia orang kami akan pergi. Setakat duduk,mengenang masa lampau dan rehat,baik kami buat di Malaysia sahaja. Itupun rancangan itu selalu gagal sebab kos bercuti di Malaysia sangat mahal. Lebih baik kos yang sama, mungkin lebih murah kami gunakan untuk melihat negara orang.

Jadi, hari raya ke-6 lalu, seawal 5.30 pagi kami bertolak ke LCCT. Penerbangan dijadualkan jam 7.30 pagi. Keadaan di situ sangat sesak. Mungkin kerana ramai orang balik ke tempat asal masing-masing. Proses daftar masuk lancar. Terus kami uruskan satu bagasi ke bahagian kargo. Semasa proses itu, tanpa diduga di hadapan aku betul-betul berdiri seorang manusia yang sangat rapat dengan aku satu masa dahulu. Dia dan anaknya sibuk mengambil beg dan agak terkocoh-kocoh. Mujur mata kami tidak bertemu.

“B,I know him..” aku beritahu Hadi.

Secara ringkas aku ceritakan dia siapa dan signifikasi dirinya pada aku satu masa dahulu.Hmmm..abaikan kisah lampau itu. Aku lebih teruja memikirkan apa yang bakal kami tempuh di Laos nanti. Mujur penerbangan Airasia hanya lewat 10 minit. Perjalanan 2 jam 35 minit tidak dirasakan sangat kerana sepanjang malam sebelum itu aku tidak tidur. 3 suku penerbangan aku lena..Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay sekitar 9.00 pagi waktu tempatan. Proses imigresen agak perlahan walaupun orang tak ramai.

Cadangnya mahu membeli talian prabayar tempatan. Tetapi ditangguhkan kerana kami berkejar ke perhentian bas terdekat untuk mendapatkan tiket seawal mungkin ke Vang Vieng.Keluar sahaja dari lapangan terbang,ramai pemandu tuk-tuk menawarkan perkhidmatan mereka. Menurut bacaan dan kajian Hadi,harga yang diminta mahal. Pelancong digalakkan keluar dari situ dan berjalan kira-kira 100 meter. Banyak tuk-tuk boleh dinaiki dan harga lebih murah. Tuk-tuk yang kami naiki meminta 30,000 kip seorang,kira-kira RM 12 untuk ke perhentian bas. Aku tak tahu mahal ke murah sebab tiket bas ke Vang Vieng sendiri bernilai 60,000 kip.  Sudahnya kami abaikan membeli talian prabayar sebab rumah tamu yang kami sewa menyediakan wifi percuma.

Perjalanan pula hampir 5 jam dan itu akan aku ceritakan kemudian.Aku hanya halal dan anggap sedekah sahajalah jika kena kelentong (sebenarnya 50,000 kip pun kira ok.). Laos antara negara termiskin di dunia. Pemandu tuk-tuk itu sendiri warga tua yang masih gigih mencari rezeki. Aku tak mahu berkira sangat.

Tuk-Tuk yang tidak berapa laju..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...