Laos : Catatan Terakhir Dari Vientiane..

That Dam..
Kalau ke Vientiane, tak lengkap kalau tidak ke That Dam – baca Dat Dam. Mengikut cerita, That Dam adalah ‘stupa hitam’ atau Black Stupa. Orang Laos mempercayai adanya naga kepala tujuh yang akan menyelamatkan bumi itu dari serangan Siam sekitar tahun 1827. Sejauh mana kebenaran kisah ini sukar untuk dipastikan.
Hari hampir senja, perut mulai lapar. Apa sangat yang jadi tenaga aku pada hari ini selain telur hamcur dan sisipan air teh perasa gandum. Terus kami meminta pemandu tuk-tuk memberhentikan kenderaannya berhampiran dengan sebuah kedai halal, Fathima Restaurant. Di sini turut terdapat cawangan Restoran Nazim dan satu kedai yang baru kami jumpa iaitu Restoran Noor. Kami melepak agak lama kerana aku mula kesemputan. Sempat kami menggunakan wifi percuma dan berkongsi beberapa gambar di Instagram dan Facebook.
Fathima Restaurant
Masih setia dengan kopi Lao

 

Hari semakin gelap. Kami meneruskan perjalanan untuk mencari masjid di sini. Tapi suasana di luar masjid ini agak seram kerana beberapa pemuda pekerja binaan memerhatikan kami dengan penuh sangsi. Jadi, ambil gambar dari jauh sahajalah.

Masjid Jamek, Vientiane

 

Misi terakhir di Vientiane ialah singgah di tugu Raja Sisavang. Berhadapan tugu ini ialah sebuah sungai yang memisahkan antara Thailand dan Laos.

Tugu Raja Sisavang
Ohai, Thailand!

 

Sebelum balik ke hotel, kami mencuci mata di pasar malam yang terletak betul-betul di hadapan Inner City Hotel – tempat kami menginap. Aku hanya membeli 2 fridge magnet. Seperti yang aku nyatakan dahulu, poskad di sini tidak menarik, cenderamatanya juga sama atau kurang indah sikit dari Thailand. Satu yang aku pelik, makcik-makcik Malaysia gemar benar membeli tudung saji. Apa di rumah tak cukup-cukup lagi ke tudung saji?

Laos antara negara yang termiskin, tapi ia indah. Aku gembira dapat ke sini. Rasanya aku tak akan ke sini lagi, kecuali dihantar oleh jabatan. Sekian.

Laos : Dari Vang Vieng ke Vientiane..

Bas ini membawa aku dari Vang Vieng ke Vientiane

 

Pengalaman separa ngeri menaiki bas dari Vientiane ke Vang Vieng yang lepas membuatkan aku lebih berhati-hati untuk memilih bas. Kami membeli tiket di rumah tamu sahaja kerana mereka ada menjadi orang tengah menjual tiket bas. Kali ini kami memilih bas mini. Harapan sangat tinggi…semoga yang naik bersama kami kali ini biarlah tidak membawa ayam dan membeli baguette!

Selepas sarapan dan memulangkan motorsikal sewa, kami menanti van perantara yang akan membawa kami ke stesyen bas berhampiran. Janjinya jam 8.30 pagi. Hampir jam 10.00 pagi van tak sampai-sampai. Muka aku memang dah baran. Aku dapat rasa pemilik rumah tamu itu sendiri seram sejuk dengan reaksi aku yang menunggu masa nak meletup. Bukannya apa, aku takut tertinggal atau ditinggalkan atas kesilapan orang lain. Rupa-rupanya bas mini yang kami naiki masih dalam perjalanan ke stesyen bas, belum sampai pun lagi.

Apapun aku lega kerana bas mini ini selesa dan bersifat bas persiaran. Harganya masih sama dengan bas lompat yang aku naik dulu. Perjalanan tidak banyak kali berhenti dan pemandu bas memberhentikan bas di restoran untuk penumpang melepas hajat. Ia dibawa laju, dan kami sampai di Vientiane tepat pada masa yang dijadualkan. Cumanya bas tidak berhenti di stesyen bas, ia berhenti di stadium. Apalah punya sengal!

Kali ini kami menanti tuk-tuk, tapi tak ada satu pun yang berpemandu. Pelik..! Hari ini hari terakhir di Laos dan jadual sangat padat. Sebolehnya kami cuba untuk sampai ke tempat-tempat menarik yang ada di sini. Oleh kerana malas nak menunggu, kami mengambil keputusan untuk berjalan mencari Inner City Hotel, tempat untuk berlabuh malam ini. Mujur tak jauh sangat..Daftar masuk – kemaskan diri – dan terus keluar balik!

Lao National Cultural Hall..
Grand Canyon!

 

Kami menyewa tuk-tuk untuk membawa pusing bandar dengan harga 150,000 kip (RM 60). Itu pun kami terpaksa membatalkan hasrat ke Buddha Park kerana ia agak jauh, 45 minit perjalanan. Dalam keadaan orang balik kerja dan mengejar masa, kami hanya memilih beberapa tempat yang menarik sahaja. Apapun, misi pertama ialah ke “pasainee” – pejabat pos. Jujur aku katakan kalau aku menetap lama di sini aku boleh bertutur dalam bahasa mereka kerana bahasa Lao mudah untuk difahami. Tulisan aje aku gagal teruk. Agak mengujakan bila aku terjumpa Restoran Grand Canyon, restoran kegemaran aku. Sayangnya tak halal.

Pilih saja nak pergi mana..
Pejabat pos..

 

Urusan di pejabat pos sangat lancar. Tak perlu beratur di kaunter kerana setem boleh dibeli di kaunter pertanyaan. Setem ke Malaysia berharga 9000 kip (+-RM3.60). ¬†Aku tak hantar poskad kepada sesiapa, hatta diri aku sendiri. Satu kerana poskad di sini sangat tak menarik. Dua, aku tiada perasaan ūüôĀ

Misi pertama, kami ke Pha That Luang. Sekadar bergambar di luar. Memang kami agak terkejar-kejar hari ini. Pha That Luang ataupun Great Stupa adalah monumen nasional dan juga simbol negara Laos yang bersalutkan emas. Untuk bacaan lanjut, sila baca di sini.

Pha That Luang..

 

Kemudia kami terus ke Phatuxai. Ia juga dikenali sebagai Victory Gate atau Gate of Triumph. Menurut Hadi, US memberi sejumlah dana untuk Laos membuat lapangan terbang. Namun ia digunakan untuk membuat Phatuxai. Phatuxai ini adalah bagi menghormati pejuang Lao yang mati dalam beberapa siri peperangan. Memang bijak.. Agak semput juga aku menaiki tangga untuk ke puncak, tapi berbaloi. Di beberapa tingkat ada kedai cenderamata untuk sesiapa yang berminat. Apapun, sila tawar-menawar. Untuk bacaan lanjut tentang Phatuxai, sila baca di sini.

Phatuxai..
Pemandangan dari atas bumbung Phatuxai
Ruang legar dalam Phatuxai

 

Di luar Phatuxai, terletaknya Phatuxay Park. Apa yang menarik di sini ialah adanya sebuah ‘gong perdamaian’ yang diberikan oleh kerajaan Indonesia sebagai tanda persahabatan barangkali. Cukuplah dulu…aku agak mengantuk kala ini.

Gong Perdamaian

Laos : Bas Oh, Bas!

Nothern Bas Station, Vientiane

 

Bas ke Vang Vieng paling awal akan bertolak jam 11.00 pagi. Melihatkan kondisi bas, ia seperti Bas Ekspress Jebat di Melaka. Tidaklah menyedihkan sangat dan tidaklah hina sangat. Rasanya hanya aku dan Hadi sahaja pelancong luar. Satu muka pelancong Eropah pun aku tak nampak.

Di sini, kita kena rebut dahulu tempat duduk. 5 minit sebelum bas gerak baharulah konduktor bas akan menjual tiket. Lebih haru, ini adalah bas lompat dari Vientiane ke Lau Phrabang. Vang Vieng adalah salah satu destinasi bas berhenti sebelum meneruskan perjalanan ke Lau Phrabang. Sebagai bekalan, aku membeli air teh perasa gandum dan Hadi pula membeli teh perasa lemon. Bila bas bergerak,saat itulah pengalaman baru tercipta.

Vang Vieng adalah salah satu tempat pelancongan tepi gunung yang sangat santai dan menenangkan. Ia terletak kira-kira 155km dari Vientiane. Selalunya pelancong akan ke sini untuk ke Blue Lagoon atau ‘tubing’. Tubing ialah melepek dalam tayar dan membiarkan diri menyusur sungai. Tapi aku tidak berhasrat melakukan itu kerana aku tidak tahu berenang dan aku datang bulan. Backpackers biasanya memilih untuk berehat semalam di sini sebelum menyambung perjalanan lebih kurang 4-5 jam ke Lau Phrabang.

Jalanraya di sini sangat menyedihkan. Tidak banyak yang berturap dan tiada perhentian rehat untuk melepaskan hajat. Mujur aku berhati-hati dengan kadar air yang aku minum supaya tidak gelisah dalam perjalanan. Berbalik kisah bas…5 minit keluar sahaja dari perhentian bas ini singgah dideretan kedai di bahu jalan. Berdasarkan ramai yang turun membeli bekalan,aku andaikan mereka bersedia dengan bekalan makanan sebelum perjalanan yang panjang itu diteruskan. Kami hanya duduk memerhati dari dalam bas.

Hampir semua membawa naik “baguette” – sejenis roti panjang yang pada aku keras dan tak sedap. Bas bergerak beberapa minit selepas itu dan tak sampai 5 minit berhenti mengisi minyak. Pada pengamatan aku, jika pemandu mengisi minyak dengan kuantiti yang agak banyak, mereka akan diberikan baucer saguhati berupa segelas ice-blended percuma. Bas ini mempunyai seorang pemandu dengan dibantu 2 orang co-pilot. Riak muka salah seorang co-pilot mendapat kupon dan menebus air itu sangat epik! Dia sangat gembira dengan air percuma itu sambil diperhatikan dengan perasaan biasa-biasa dua rakannya yang lain.

Bas bergerak kembali..Aku mencuci mata dengan suasana kehidupan di Laos yang tidak sibuk dan masih tradisional. Hadi sudah berlayar ke alam mimpi. Tak sampai 30 minit bas berhenti sekali lagi. Juga di bahu jalan deretan kedai. Masih ada yang turun beli baguette dan air minuman. Ia berhenti agak lama. Ada beras berkampit-kampit diisi diruang barang. Mungkin bas ini medium penghantar bekalan dikawasan pedalaman. Setelah semua itu selesai, bas bergerak dan berhenti kira-kira 100 meter dari lokasi tadi.

Aku mulalah berperasaan tidak mengerti dan takat amarah mula menaik.

“Silap-silap ada yang bawak ayam dengan kambing ni” kata Hadi.

Aku ingatkan dia berseloroh. Elok habis cakap seorang warganya masuk dan membawa “sekotak” ayam. Mahu ada 3 ekor dalam itu berdasarkan bunyi-bunyian yang terhasil. Muka hotlink aku tidak dapat disembunyikan lagi. Seorang gadis Lao memandang dan hanya melemparkan kuntuman senyum pada aku. Mungkin reaksi aku terhadap situasi itu pandangan biasa padanya. Bas meneruskan perjalanan. Aku mulai berpinar-pinar mata kemengantukan. Satu yang menarik, semua orang dibekalkan satu beg plastik kecil.

“Untuk siapa nak muntah tu..” kata aku pada Hadi yang terkujat bila disuakan beg plastik itu oleh seorang co-pilot.

Sekali lagi bas berhenti,kali ini dikawasan jualan-jualan makanan yang agak besar dan ramai. Di sini tiada siapa yang turun, tapi ada stok lain yang diisi diruangan barang. Uniknya, sampai 4 orang makcik peniaga naik bas dan menjual makanan dalam bas! Seorang jual air,seorang jual buah-buahan potong, seorang jual kueh-mueh dan telur yang dicucuk dengan lidi manakala seorang lagi menjual BAGUETTE!!. Ada lagi manusia yang beli. Kebulur sangat agaknya.

Selepas melintasi kawasan ini, bas mula memasuki zon pergunungan. Di kiri kanan jalan bukit dan gunung-ganang. Jalannya sangat menduga dan menyedihkan. Buat kedua kalinya aku bersyukur dengan jalanraya di Malaysia. Kali pertama ialah pengalaman aku di Padang,Indonesia. Ohai, bas berhenti lagi. Kali ini kiri kanan semua semak samun. Apapun tak ada!

“Kalau tak silap I, diorang berhenti nak kencing nie”kata Hadi.

“Hah,serius!? Semak samun semua nie nak tala kat mana?” Ambik kau..yang perempuan mula masuk semak. Yang lelaki selamba membuka zip. Aku alihkan pandangan aku ke arah paling indah – muka Hadi. Mujur tak berhenti lama. Bontot dah mula kematu. Bas agak sempit. Aku nak gerakkan kaki pun terbatas. Sudah hampir 3 jam perjalanan, satu papan tanda menunjukkan kilometer pun aku tak nampak. Agak-agak aku mulai selesa dan hampir lena,bas berhenti lagi!!!

Mujur dikawasan kampung yang penuh menjual ikan bilis dan belacan. Aku tak boleh tahan. Alang-alang ada tempat buang air yang semenggah,baik aku selesakan diri. Itupun kena bayar 2000 kip (dalam 40 sen). Perjalanan diteruskan…Hadi berkali-kali meminta aku tidak mengeluh. Aku tak salahkan dia pun. Ketidakselesaan itu mungkin membuatkan dia juga merasa tak senang dengan reaksi aku. Kami rasa,kami salah ambil bas. Bas yang semenggah mungkin bertolak lebih lambat. Ini yang terbaik..lalu sahajalah walaupun tidak selesa. Rasanya perjalanan dari Siem Reap ke Phnom Penh 15 kali tidak seteruk ini. Akhirnya,setelah hampir 5 jam perjalanan kami diberhentikan di sisi jalan. Ini Vang Vien katanya..

Aku dan Hadi dalam bas..

Laos : Percutian Yang Tertunda

Wattay International Airport

Tahun 2012,satu percutian yang epik aku dan Hadi jalani adalah ke Phnom Penh. Itupun pada awal Januari lalu. Selepas itu kami sama-sama sibuk. Aku dengan alam seorang pelajar dan dia sibuk dengan kerjaya. Ditambah keadaan aku yang hamil dulu menyebabkan percutian,hatta walaupun dalam negara asyik tertunda dari minggu ke minggu,hinggalah bulan ke bulan.

Kemudian, aku keguguran dan berpantang. Itu banyak mengubah hidup kami. Mungkin percutian boleh melenyapkan sedikit kesedihan. Maka kami kemudiannya merancang ke Laos.Ada yang bertanya,kenapa kami tidak memilih percutiaan yang ringkas. Maksudnya, bercuti,rehat,tenang dan tidak sarat dengan agenda. Jawabnya – kami bukan jenis sebegitu. Alang-alang ke negara orang,selagi boleh selongkar keajaiban dunia orang kami akan pergi. Setakat duduk,mengenang masa lampau dan rehat,baik kami buat di Malaysia sahaja. Itupun rancangan itu selalu gagal sebab kos bercuti di Malaysia sangat mahal. Lebih baik kos yang sama, mungkin lebih murah kami gunakan untuk melihat negara orang.

Jadi, hari raya ke-6 lalu, seawal 5.30 pagi kami bertolak ke LCCT. Penerbangan dijadualkan jam 7.30 pagi. Keadaan di situ sangat sesak. Mungkin kerana ramai orang balik ke tempat asal masing-masing. Proses daftar masuk lancar. Terus kami uruskan satu bagasi ke bahagian kargo. Semasa proses itu, tanpa diduga di hadapan aku betul-betul berdiri seorang manusia yang sangat rapat dengan aku satu masa dahulu. Dia dan anaknya sibuk mengambil beg dan agak terkocoh-kocoh. Mujur mata kami tidak bertemu.

“B,I know him..” aku beritahu Hadi.

Secara ringkas aku ceritakan dia siapa dan signifikasi dirinya pada aku satu masa dahulu.Hmmm..abaikan kisah lampau itu. Aku lebih teruja memikirkan apa yang bakal kami tempuh di Laos nanti. Mujur penerbangan Airasia hanya lewat 10 minit. Perjalanan 2 jam 35 minit tidak dirasakan sangat kerana sepanjang malam sebelum itu aku tidak tidur. 3 suku penerbangan aku lena..Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay sekitar 9.00 pagi waktu tempatan. Proses imigresen agak perlahan walaupun orang tak ramai.

Cadangnya mahu membeli talian prabayar tempatan. Tetapi ditangguhkan kerana kami berkejar ke perhentian bas terdekat untuk mendapatkan tiket seawal mungkin ke Vang Vieng.Keluar sahaja dari lapangan terbang,ramai pemandu tuk-tuk menawarkan perkhidmatan mereka. Menurut bacaan dan kajian Hadi,harga yang diminta mahal. Pelancong digalakkan keluar dari situ dan berjalan kira-kira 100 meter. Banyak tuk-tuk boleh dinaiki dan harga lebih murah. Tuk-tuk yang kami naiki meminta 30,000 kip seorang,kira-kira RM 12 untuk ke perhentian bas. Aku tak tahu mahal ke murah sebab tiket bas ke Vang Vieng sendiri bernilai 60,000 kip.  Sudahnya kami abaikan membeli talian prabayar sebab rumah tamu yang kami sewa menyediakan wifi percuma.

Perjalanan pula hampir 5 jam dan itu akan aku ceritakan kemudian.Aku hanya halal dan anggap sedekah sahajalah jika kena kelentong (sebenarnya 50,000 kip pun kira ok.). Laos antara negara termiskin di dunia. Pemandu tuk-tuk itu sendiri warga tua yang masih gigih mencari rezeki. Aku tak mahu berkira sangat.

Tuk-Tuk yang tidak berapa laju..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...