Aku Kini Pelajar UiTM

Secara rasminya boleh aku umumkan aku kini adalah pelajar UiTM Shah Alam. Tempat yang 12 tahun lalu aku mampir sebagai pelajar Matrikulasi UiTM, dan kemudian tamat dengan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi & Pengajian Media (Penyiaran). Kini, setelah sejenak sibuk dengan kerja dan aktiviti sosial otak aku mulai benak. Makanya kembali ke alam buku diharapkan otak aku ligat kembali macam tayar kereta F1 yang sedang beraksi.

Ahad lepas, sessi pendaftaran bermula. Masyaallah, ribuan manusia membanjiri Dewan Seri Budiman dan kebanyakannya muka suci murni macam baru lepas SPM. Setiap pelajar diberikan kertas ‘check lists’ apa yang perlu mereka buat dihari pendaftaran tersebut. Disebabkan barisan dah macam ular kena palu, kami kemudiannya dibenarkan mendaftar dibahagian lain dahulu sebelum membuat kad pelajar.

Sudahlah buat hari Ahad dibulan puasa, banyak pula pelajar-pelajar datang membawa ibubapa yang nampak sangat tak selesa, uzur dan kepanasan menunggu. Belum masuk anak-anak kecil berterabur macam pergi Disneyland. Kiri-kanan barisan mulalah mengutuk sebab rimas dengan jeritan budak yang macam nampak hantu dan disulami dengan pengumuman pak jabit yang tak boleh jumpa mikrofon. Aku sabar lagi sebab kebetulan Ona, rakan zaman sekolah di SMKLK beratur bersama aku. Cuma memikirkan masing-masing dah berbulu pun nak bawa mak bapak ke? Kalau ya diorang bangga dengan ‘kejayaan’ mendapatkan tempat untuk Sarjana dan Doktorat sekalipun tak tentu korang berjaya menamatkan kursus ini. Sejarah membuktikan banyak ‘drop out’ sebelum waktu. Jadinya bawalah ibubapa/orang gaji hatta orang kampung sekalipun masa graduasi. Lebih afdal dan masyarakat lebih memahami..

Setelah berjam-jam melalui proses yang merengsakan, akhirnya aku berjaya mendapatkan kad pelajar yang pada hemat aku menampakkan muka aku sangat pelajar dan inesen. Lepas ini aku boleh dapat diskaun untuk tengok wayang dan pembelian barang dilokasi terpilih. Ya, ada benda-benda tak menarik terjadi masa pendaftaran tapi berjaya aku selesaikan dengan bantuan Hadi. Kelas dijadualkan bermula lepas raya dan aku tak sabar menjalani kelas pertama dengan Tan Sri yang paling banyak bertanya soalan pada aku masa sessi temuduga beberapa bulan lalu.

Kad Pelajar 🙂

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...