RSS

Tag Archives: Pahalgam

Ohai, India – Ohai, Srinagar!

17 September 2019 – Hari ini kami akan bertolak ke Srinagar dari Amritsar dengan menaiki penerbangan domestik, IndiGo. Urusan daftar keluar dari hotel setakat okay sahaja. Kami sepatutnya membayar dengan kad kredit kerana suku bayaran telah dijelaskan semasa tempahan dibuat. Tetapi kami diberitahu akan dikenakan 12% caj GST dan 2% cas kredit kad. Disebabkan malas nak bergaduh dan menyimpan tenaga, kami bayar tunai. Bajet asal lari sikit sebab semua kos-kos sudah kami asingkan yang mana bayar dengan kad dan mana bayar tunai. Untuk kembara akan datang, ini kekal menjadi nota minda! Oh, Benny jangan lupa, kadar GST yang dikenakan juga tidak konsisten – nota minda kau untuk catatan akan datang.

Mujur pagi tadi sempat bersarapan kerana perjalanan hari ini sangat panjang.

Kami ke lapangan terbang dengan menempah Uber. Mudahnya, kami cenderung menempah Uber kerana boleh agak harga tambang yang dikenakan dan kerana cara ini lebih selamat untuk mengelakkan kena kelepet. Tapi kalau nasib tak baik, kena juga sebab akal diorang ni, lain macam sikit. Kalau larat bergaduh, bergaduhlah.

Kami sampai paling awal, kaunter pun belum buka. Panik pertama terjadi kerana kami tidak boleh menggunakan mesin daftar masuk secara layan diri. Kami diminta berurusan di kaunter. Alamak…dah kenapa padahal nama kami ada dalam sistem tetapi tidak dibenarkan daftar masuk. Mujur urusan dikaunter berjalan lancar. Panik kedua, ada barang terlarang yang aku bawa dirampas. Kemudian, polis masih tak puas hati juga sebab masa imbas beg aku, dia nampak ada 2 benda lagi.

Beg aku kena imbas semula dan rupanya apa yang dia salah faham itu ialah pen! Mujurlah aku senyum aje sentiasa dan bila selesai, mereka senyum balik pada aku. Panik ketiga, dalam berbalas kuntuman senyum seindah suria itu, mereka lupa untuk tagging bag aku dan cop tanda sudah melalui pemeriksaan keselamatan. Elok-elok jadi manusia paling awal di lokasi, jadi manusia paling lambat masuk kapal terbang! Aku diminta mendapatkan cop sebelum dibenarkan naik kapal terbang. Mujur polis tadi masih ingat aku, senyuman yang berbalas-balas tadi dan beg aku yang cantik itu. Jadi beg aku itu  tidak perlu diimbas semula. Aku diberikan cop dan tagging tanpa banyak bicara. Oh, akan datang aku akan tulis tentang proses pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang yang tidak pernah sama antara satu lapangan terbang dengan lapangan terbang lain dan beg kembara aku ada jin – kisah benar!

Penerbangan ke Srinagar mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku sudah feeling-feeling mahu memesan nasi goreng. Sayangnya, mereka tidak sediakan makanan atau minuman panas dalam penerbangan itu. Kalau setakat makan chicken or vegie wrap, itu boleh pesan. Maka menahanlah kelaparan seorang Benny yang menu terakhirnya hanya 2 keping sandwich bakar pagi tadi yang sudah beberapa jam berlalu sepi.

Sesampainya di Lapangan Terbang Srinagar, kami di minta mengisi satu borang khas untuk pelancong. Inipun kalau tidak dipanggil oleh polis bertugas, memang tidak ada siapa tahu sebab tempat mengisi borang itu nampak macam kaunter pejabat pos aje. Tapi terang-terang muka tomyam aku ni muka pelancong, memang mereka akan panggil. Farah lain…dia boleh menyamar dengan jayanya. Takde apa sangat pun yang rumit. Hanya nyatakan hendak ke mana, berapa lama, nombor visa dan beberapa maklumat asas lain.

Dari Srinagar, kami menaiki teksi untuk ke hotel yang sudah ditempah secara dalam talian iaitu Kashmir Inn dan perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam. Tiket teksi kami beli di lapangan terbang sahaja. Dan biadap pertama bermula. Kami didatangi seorang lelaki yang bertanyakan tiket teksi kami dan dia terus mengambil tiket itu. Ingatkan, dialah pemandu teksi. Rupanya ulat-ulat ejen pelancongan. Sibuklah tanya where you want to go? We have boathouse etc...Kami cakaplah baik-baik, kami sudah tempah bilik. Eh, banyak pulak sembangnya… ‘We have boathouse, why you dont want to stay in boathouse?’

“We dont like water,” selamba Farah jawab. Mujur pemandu teksi sebenar ditemui dan mamat itupun berlalu. Kalau ikut kerek aku, masa dia cakap ‘we have boathouse’ tu nak aje aku jawab ‘who the hell isn’t?

Sepanjang perjalanan, askar sentiasa berada di tepi-tepi jalan. Kami difahamkan ada protes besar-besaran telah berlaku beberapa minggu lalu berkaitan salah satu akta di sana. Tetapi aku tidaklah rasa panik atau tidak selamat berbanding 44 army block yang pernah aku tempuhi di Selatan Thailand. Itu sampai zorro acukan senapang pada aku sambil minta buka dashboard kereta!

Teksi kemudiannya memberhentikan kami di tepi jalan. Memang kereta tak boleh masuk. Dia cakap, hotel kami tu ada dalam celah-celah lorong. Jalan aje masuk dalam. Tapi nasib kami baik, kami disambut oleh pekerja hotel, Arif namanya. Mula-mula aku ingatkan dia ulat juga. Sangat baik, sangat ramah dan paling best, semua yang aku tanya dia akan jawab ‘why not?’. Terus aku merengek dekat situ juga. Aku bagitahu aku belum makan dari pagi. Lapar tak terkira dah ni. Arif maklumkan tukang masak hotel keluar, tapi dia akan telefon suruh balik dan masak untuk kami. Jadi kami terus daftar masuk dan berehat di bilik sementara menanti tukang masak datang. Jadi dalam bilik, Farah keluarkan roti yang dia beli di Family Mart dan kami pun makanlah sedikit untuk alas perut. Sudah sekeping aku makan, baru aku perasan roti itu sudah berkulat! Alahai…perut den! Buatnya kena keracunan makanan memang naya.

Tak lama kemudian, tukang masak pun sampai hotel. Kami dah lama tak makan binatang. Dalam kepala otak dah bayangkan nasi beriyani dan ayam masala. Dia minta satu jam 30 minit untuk sediakan semua itu. Ohai, mana tahan. Nak cepat, aku minta dia masak nasi goreng telur dengan chai masala aje sudah. Tak sanggup kami nak tunggu. Chai masala dia…terbaik dari ladang! Nasi pun banyak dia bagi. Aku siap cakap banyak betul portion makanan dia masak untuk 2 manusia. Rupanya Arif minta dia masak lebih sebab ada seorang perempuan tu belum makan dari pagi, dia lapar teruk. Haih, akulah tu hahaha…

Kami tiada plan spesifik di Srinagar. So, up to suggestions mana-mana yang logik dan kena dengan bajet. Arif cadangkan ke Gulmarg atau Pahalgam kerana kami hanya ada satu hari sahaja di Srinagar. Disebabkan Pahalgam dikatakan mini Switzerland, maka kami memilih ke sana. Lagi pula, aku jadi sawan bila google gambar sungai di sana cantik, kebiru-biruan keadilan dan ada unsur unsur turquoise. Ok la, sesuatu yang aku tak pernah lihat dengan mata secara langsung.

18 September 2019 – Kami akan bertolak ke Pahalgam pada pukul 9:00 pagi. Apapun, sarapan dulu. Ok, serius sedap. Kopi dia memang syahdu!

Perjalanan ke Pahalgam mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit dari Srinagar. Aku dijamu permandangan bukit dan gunung-ganang yang Subhanallah indahnya. Sampai full memory, terpaksa aku delete gambar-gambar yang sudah aku simpan dalam komputer. Kami dibawa singgah ke sebuah kedai bernama Zamindar Kesar Co. untuk mencuba teh safffon atau kehwa tea. Rasa teh itu macam koci pun ada, macam bunga matahari pun ada.

Kami juga berhenti di ladang epal. Tak suruh pun, Arif yang bawa. Tapi rupanya memang banyak kenderaan yang bawa pelancong akan berhenti di sini untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan. Mesti dia pelik orang lain ambil masa juga bergambar di sini, kami tak sampai 5 minit selesai.

Semakin sampai ke lokasi yang kami tuju, permandangan semakin cantik. Sampailah kali pertama mata aku tertancap sungai yang warna ainya membiru, aku hampir sawan di situ dan minta dia berhenti. Arif kemudiannya memberhentikan kereta di kawasan yang memang strategik. Nampak sungai, gunung bersalji dan ada unsur-unsur kehijauan. Terus kami bergambar di situ. Perasaannya…susah nak cakap. Bersyukur tanpa henti. Terima kasih, tuhan kerana berikan aku peluang melihat ciptaan-Mu nan indah ini.

Untuk sampai ke kawasan yang dinamakan mini Switzerland, kita tak boleh jalan kaki, kena naik kuda dan akan ada orang tempatan yang akan bersama-sama kita dalam perjalanan itu nanti. Ada beberapa pakej ditawarkan, bergantung tempat yang kita mahu pergi. Ikut hati, aku mahu ke tasik Tulian tetapi kosnya agak mahal. Agenda ini tiada dalam perancangan asal, jadi kena berhati-hati berbelanja. Alang-alang sampai, kena pilih jugalah pakej mana kami mahu sebab bukannya boleh sampai sini lagi. Arif sudah pesan, berapa juga nilai yang mereka offer, tawar – potong separuh harga. Bila dia tengok aku dan Farah teragak-agak nak letak harga dan pilih pakej, dia ulang balik ayat tadi. Takdelah separuh sangat, naik sikit dari harga yang kami minta tapi oklah.

Maka bermulalah kisah dua perempuan membebel sesama sendiri sambil berkuda yang memang akan aku ingat sampai bila-bila. Aku sebenarnya tidak mahu menggunakan binatang sebagai mode pengangkutan kerana tidak mahu menganiaya makhluk ini. Tetapi ini situasi terpaksa. Kalau tak naik, tak sampai. Farah siap membebel-bebel nak turun dari kuda dan berjalan kaki sebab kononnya prinsip hidup, budak tu boleh berjalan takkan dia tidak boleh. Tiga kali budak tu ulang, I’m Kashmiri…Berbalas pantun “You can, I also can” akhirnya budak tu lantakkan aje. Ada 10 minit aje tuan puan…ke kuda semula kawan aku seorang tu. Aku menahan gelak aje dengan prinsip hidup kami yang tergadai disebabkan mini Switzerland. Maafkan aku, kuda Kashmiri…tak pasal-pasal kau membawa seorang Benny yang cuba untuk diet sebelum ke India. Jenuh aku telepati dengan kuda tu, kalau kau rasa nak bunuh diri, tunggulah lepas hantar Benny balik. Kuda ini mendaki lereng-lereng bukit. Kalau salah langkah, dengan aku-aku sekali jatuh gaung.

Tapi, permandangan yang kami dapat memang sangat menakjubkan. Kami habiskan masa bersembang dan bergambar di sini. Benny tak pernah pergi negara yang bersalji. Dapat tengok gunung ada snow cap dah rasa besar rahmat rasanya. Selesai misi cuci mata, kena makan. Serius lapar giler. Farah yang pilih menu makan tengah hari merangkap makan malam sekali. Dapat juga makan binatang. Di Srinagar, makanan halal sangat mudah kerana majoriti penduduknya beragama Islam.

Apapun, hari ini kena beli tiket bas untuk ke Leh. Dari kajian yang dibuat, perjalanan akan mengambil masa 2 hari. Semua bas akan berhenti di Kargil semalam dan esoknya baharulah meneruskan perjalanan ke Leh. Sempat kami usha deretan bas untuk tengok yang mana satu bas akan ke Leh. Aku konfiden ingatkan bas baharu yang nampak macam bersifat sikit. Pilihan lain, boleh naik shared cab, tepi akan terus direct ke Leh. Kami pula sudah menempah penginapan di Kargil. Jadi alang-alang memang sudah dirangka perjalanan ini, aku langsung bersetuju naik bas sahaja.

Selepas berjaya membeli tiket bas, kami kemudiannya terus ke Tasik Dal. Kebanyakan pelancong yang datang ke Srinagar cenderung untuk duduk di rumah bot, tapi masa bincang dengan Farah sebelum ke sini, aku membayangkan macam dekat Mimaland aje. Air stagnant dan penuh pokok teratai. Memang sebiji dalan imaginasi aku. Langsung tak rasa menyesal untuk tidak bermalam di situ.

Selepas itu, kami balik ke hotel. Oleh kerana ini malam terakhir di Kashmir Inn, kami berdua memesan chai masala supaya tidak rindu sangat bila tinggalkan tempat ini, esok. Setakat itu dahulu…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Tags: , , , , , ,

Skip to toolbar