RSS

Tag Archives: Hotel Fab Royal Villa Amritsar

Ohai, India – Ohai, Amritsar!

Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua yang membaca blog Kak Benny. Hari ini, baharulah ada kesempatan untuk berkongsi pengalaman secara menyeluruh tentang kembara yang baru selesai aku buat. Aku tidak kategorikan ia sebagai percutian sepenuhnya sebab jujur aku nyatakan, aku tiada ruang berehat dan bersenang-lenang di sini. Hari-hari aku mencari cerita berwarna untuk aku simpan dalam diari seorang AB Benny sebagai kenangan di masa hadapan. Juga untuk aku kongsikan kepada semua cerita ini yang tiada langsung niat untuk riak atau tinggi diri. Sebaliknya perkongsian pengalaman dan cerita semata-mata.

Asalnya, Farah mengajak aku ke Pakistan. Dia meracun aku dengan cerita-cerita kembara yang tidak mungkin akan aku buat sama ada seorang diri atau berpasangan. Tetapi sebab aku pernah ada pengalaman berjalan dengan dia ke Koh Samui melalui jalan darat, mengapa tidak aku setuju rencana ini sementelah kenangan Koh Samui sudah 6 tahun berlalu? Memori perlu dicipta, ia tidak akan datang sendiri. Aku langsung setuju dan bermulalah pra-persiapan untuk ke Pakistan. Dipendekkan cerita, urusan visa yang renyah telah menyusahkan rancangan kami dan kebetulan harga tiket ke Pakistan naik dengan drastiknya. Aku boleh pergi Jepun 3 kali dengan kos tiket yang sama! Langsung kami tukar haluan ke India kerana kebetulan ada promosi tiket AirAsia ke Amritsar, India. Jadi kos tiket sudah jimat separuh, walaupun visa ke India lebih kurang sama harga dengan tiket ke India juga kaedahnya. Cuma masih murah 50% dari kos tiket kapal terbang ke Pakistan.

So, India it is…

Agak lama kembara ini, 14 hari total. Aku jarang bercuti tahun ini. Cuti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan Merdeka yang lalu, aku tidak dapat ambil cuti panjang kerana beberapa kempen promo sedang rancak berlangsung – back to back. Aku beralah memberi peluang kakitangan di bawah seliaan aku untuk bercuti dahulu, baharulah aku pula bercuti panjang. Alang-alang terlepas, biar terlepas betul. Hal keluarga sudah aku aturkan dan semuanya okay. Kerja pun sama juga.

15 September 2018 – Aku bertolak dari KLIA 2 ke Amritsar. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 5 jam 30 minit. Sempat aku membeli roti di Family Mart untuk dijadikan bekalan. Misi pertama ialah mencari simkad sebab aku tak boleh hidup kalau takde media sosial. Susah urusan komunikasi dengan keluarga sebab lama kot di sini. Pengalaman di New Delhi bulan Mei lepas mengajar betapa semua urusan perlu diselesaikan sebelum kami keluar pintu lapangan terbang. Kalau tidak, memang tak boleh masuk balik walaupun untuk buang air. Sayangnya, misi gagal dan kami terus ambil teksi untuk ke hotel. Pemandu teksi pulak boleh buat kelakar tak tahu jalan dan mahu memberhentikan kami di tepi jalan yang agak gelap. Mujurlah hotel yang kami tuju berada dilaluan jalan yang sama, cuma ke dalam sedikit.

Kami menginap di Hotel Fab, Royal Villa. Bilik ok, kemudahan pun sama. Cuma kakitangan mereka sangat tak membantu. Serba-serbi tak tahu, dengan muka tak mesra alamnya. Cuma sarapan pagi di sini sangat sedap dan kopinya kena dengan tekak aku.

16 September 2019 – Selepas sarapan, kami menggunakan khidmat Uber untuk ke Golden Temple. Orang ramai di sana kerana rasanya ada upacara keagamaan yang berlangsung. Aku pun tak berminat sangat untuk bersesak-sesak dan masuk dalam tu. Jadi sekadar mengambil gambar dari luar sahaja. Tempat ini sedang melalui proses pengubahsuaian di beberapa kawasan. Ada beberapa tarikan di kawasan ini seperti Jallianwala Bagh Memorial dan arca-arca menarik yang sesuai untuk bergambar.

 

Cuaca agak panas di sini. Aku sentiasa berhati-hati dengan pengambilan makanan dan minuman seperti yang sering diingatkan oleh rakan-rakan. Jalan mudah, beli sahaja air Coke dingin. Tapi aku tetap beli sebotol air mineral setelah berpuashati dengan kondisi penutup yang belum di buka.

Kami kemudiannya ke Partition Museum yang terletak tidak berapa jauh dari Golden Temple. Berpeluh-peluh juga berjalan dan menapak untuk ke sana. Muzium ini mempamerkan gambar-gambar dan penceritaan sejarah perpisahan antara India dan Pakistan. Sayangnya tidak dibenarkan mengambil gambar di sini. Pada aku, muzium ini tidaklah menarik sangat sebab konsepnya macam pameran sekolah. Tampal menampal artikel aje yang ada dalam ini. Adalah ruang video untuk menjadikan ciri-ciri muzium yang baik. Masih, aku rasa pembacaan sendiri lebih membantu untuk memahami konflik India-Pakistan. Di sini, kekesalan menukar buku Kemunculan Nasionalisme India:Persaingan dan Persubahatan Pada Akhir Abad Kesembilan Belas (ambik kau tajuk dia!) dengan 50 Shades of Grey di Vang Vieng, Laos timbul menggila. Tindakan melulu kau bodoh la, Benny!

Selepas itu, kami berjalan kaki untuk mencari simkad. Entah berapa banyak lorong kawasan kedai kami masuk, semuanya takde. Akhirnya, kami terpaksa menaiki tuk tuk untuk ke Hall Bazar. Pergi terus ke Airtel Center aje, senang. Kos prepaid lebih kurang 700 rupees, boleh guna untuk 28 hari. Sebelum beli, aku sempat tanya, boleh tak guna di seluruh kawasan India sebab aku pernah baca, ada sebahagian kawasan tak boleh guna perantau-perantau tertentu. Dengan penuh yakin penjual tu cakap boleh guna di seluruh India, kecuali berhampiran sempadan mungkin susah untuk dapat line. Ok, misi mencari simkad selesai.

Petangnya, kami menaiki bas yang lebih kurang macam hop on hop off di Kuala Lumpur untuk ke sempadan India – Pakistan iaitu Sempadan Wagah (Wagah Border). Agak ketat syarat untuk masuk iaitu tidak boleh bawa power bank, bateri spare untuk kamera , beg dan lain-lain. Dianggarkan lebih kurang 10,000 penonton berada di sini untuk menyaksikan upacara ‘Beating Retreat’ atau menurunkan bendera ke dua-dua negara. Upacara ini dilakukan setiap hari. Jadi, kalau anda tidak datang ke sini kalau ke Amritsar, aku sifatkan sebagai rugi besar.

Upacara tidak lama, dalam 30 minit. Penuh dengan sorak-sorai, penonton menari ketika lagu-lagu yang menaikkan semangat dipasang dan laungan ‘Hindustan-Zindabad’ sebelum istiadat bermula. Kawad kaki mencecah kepala (ini sangat unik) dan diakhiri dengan menurunkan bendera adalah sesuatu yang sangat menarik aku saksikan dan memberikan perasaan yang pelbagai.

Sayangnya, aku tidak nampak sangat apa yang berlaku di bahagian Pakistan kerana pelancong diminta duduk di arena VIP – betul-betul di tengah kawasan istiadat berlangsung. Itu menguatkan azam aku untuk ke Pakistan dan menyaksikan ritual ini dari sempadan sana pula. Dari pandangan mata kasar, di belah sana mereka lebih banyak unsur keislaman, sufism dan banyak menjulang bendera. Nampak sangat hebat seolah pejuang Islam di zaman khalifah.

Usai upacara, bas bertolak balik ke Amritsar, lebih kurang 30km perjalanan. Kami singgah makan di satu restoran yang popular di sini – Bade Bhai Ka Brother’s Daba┬ádan aku memesan nasi goreng (Shezuan). Punyalah pedas giler babi. Memang makan tak habis. Oh, kalau pesan makanan, jangan tamak setan. Portion makanan di sini kalau seorang, boleh makan untuk 2 manusia. Farah pesan set makan seperti gambar di bawah. Okay la…not bad.

Kami kemudiannya balik ke hotel, juga menggunakan Uber. Aku tak percaya teksi dan tuk tuk. Semuanya akan menipu dan tolonglah..tolong kira balik semua duit baki. Ada potensi kurang berpuluh-puluh rupees kalau kena dengan manusia yang tidak jujur. Tak semua macam itu, tapi berhati-hatilah.

Esok aku akan sambung catatan pengalaman di Srinagar pula.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Tags: , , , , , , , ,

Skip to toolbar