RSS

Tag Archives: Hotel Ansino Phuket

Ohai, Phuket 2018!

Bayangkan dalam satu percutian yang sepatutnya menenangkan jiwa raga, tiba-tiba masa daftar masuk hotel anda dimaklumkan hotel itu tidak pernah menerima apa-apa tempahan atas nama anda atau pasangan. Ada rasa macam “why God? why?” beberapa kali dan berperasaan sejenis ujian apakah ini?

Itulah yang aku rasa dalam episod percutian aku baru-baru ini.

Sebelum melarat jauh, aku ceritakan dahulu rentetan yang membawa aku ke bumi indah Phuket, Thailand. Tahun lepas, aku dihadiahkan pakej percutian 3 hari 2 malam oleh Aie Sarkase. Dia dapat pakej itu kerana membeli handphone Vivo (yang ketika itu masih suci, belum ditandatangan oleh Datuk CT Nurhaliza). Antara lokasi yang ditawarkan ialah di Jakarta, Bandung, Phuket dan Bangkok – kalau tak silap. Disebabkan aku merancang untuk menyambut hari lahir aku di Thailand, maka aku dan Hadi bersetuju untuk menebus pakej ini di Phuket. Semua urusan mak nenek ini diuruskan oleh Hadi. Akak order aje…

Aku sudah 2 kali berkunjung ke Phuket. Ia adalah antara lokasi terbaik di Thailand untuk berjalan-jalan, makan dan berehat. Disebabkan aku mahu berehat yang sesungguhnya, Phuket menjadi pilihan pertama. Dengan pengalaman 2 kali meronda Patong dan jajahan sekelilingnya, aku merasakan kunjungan kali ini tidak akan menjadi padat seperti kunjungan terdahulu.

Kami memilih Hotel Ansino Bukit. Hadi menambah tempahan bilik secara persendirian lagi satu malam untuk menjadikan percutian kami 4 hari 3 malam. Aku iyakan aje sebab masa sibuk-sibuk booking hotel ini, aku tengah serabut membuat itinerary perjalanan ke Osaka untuk trip anniversary November lalu. Tiket pergi-balik dengan penerbangan AirAsia sudah aku uruskan bagi memudahkan kerja Hadi. Kalau tak silap harga tiket tak sampai RM350 seorang untuk pergi dan balik.

Entah kenapa, aku tergerak untuk membeli simkad. Jadi aku beli di web www.hello1010.my dengan harga RM29. Padahal di Thailand merata-rata kafe pasti ada wifi. Tapi aku rasa aku perlu juga simkad. Rupa-rupanya ada hikmah disebalik semua keputusan itu.

Penerbangan pergi ke Phuket tiada masalah sangat. Flight delayed 30 minit, tetapi tetap sampai on time. Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, kami terus membeli tiket minivan untuk ke Patong dengan harga 180 baht. Punyalah nak berjimat. Kalau naik teksi, kos lebih kurang 800 baht sahaja. Tetapi kerana hari masih panjang dan kami tidak mengejar apa-apa, maka naik minivan lebih berbaloi – sangkanya!

Rasanya minivan itu boleh memuatkan dalam 12 umat. Banyak mat salleh bagak-bagak dalam tu, jadi bayangkanlah kesempitan dan perebutan aircond yang bakal berlaku. Sudah elok aku duduk di barisan kedua, eh pemandu suruh aku keluar pula. Ada pelancong lain disumbatkan masuk. Hadi pula duduk dibelakang sekali. Ah, sudah…apakah kejadiannya?

Mujurlah rezeki aku dapat duduk di depan sekali – sebelah pemandu. Jadi perjalanan satu jam ke Patong dalam keadaan panas terik itu tidak merengsakan aku langsung. Aircond direct. Yang duduk belakang dah maki berkati-kati – termasuklah Hadi yang sepanjang perjalanan berpeluh teruk.

Usai sampai di hotel, urusan check in tidaklah serumit mana. Biasa sahaja seperti hotel-hotel lain yang pernah kami duduk. Kami daftar masuk bilik sekitar pukul 5.30 petang waktu Thailand dan berehat seketika sebelum turun semula ke lobi untuk mencari motorsikal untuk disewa.

Serabut di hotel bermula…

Pengurus hotel memaklumkan ada 2 tempahan hotel atas nama Hadi untuk tarikh 16 Januari dari dua agensi yang berbeza iaitu Agoda.com dan Hotel.com/Booking.com (salah satu). Selama ini, kami tidak pernah pun gunakan agensi lain. Semua tempahan hotel gunakan Agoda. Itu tidaklah kecoh sangat sebab apapun terjadi, tempahan itu wujud. Cuma untuk tempahan 2 malam berikutnya, pihak hotel enggan menerima baucar yang kami bawa kerana mereka maklumkan mereka tidak pernah berurusan/ada akaun dengan Hotel.com (syarikat yang menawarkan baucar kepada kami menempah hotel ini dengan menggunakan Hotel.com).

Oleh kerana aku dan Hadi dalam keadaan lapar, kami beritahu akan berurusan dengan syarikat terbabit dan maklumkan kepadanya pagi esok. Kami terus sewa motorsikal, pusing pulau seadanya dan mencari kedai makan. Sewa motorsikal sehari ialah 250 baht. Tapi mood memang dah swing 180 darjah. Kami singgah makan di Kesuma Seafood, tempat yang pernah aku dan Hadi makan 7 tahun lalu. Disebabkan memikirkan masalah hotel untuk esok, kami seakan hilang semangat dan selera makan. Makanan dia ok aje sedap macam dahulu.

Kerana itu aku tidak posting apa-apa dalam media sosial tentang updates kami di sini.

Selepas makan, kami terus balik hotel. Kasihan Hadi…dia tidak sihat kerana kena food poisoning sejak 2 hari lepas. Ubat pun dia lupa bawa. Mujurlah dalam travel bag aku memang sentiasa ada ORS dan ubat-ubat untuk sakit yang ringan.

Bila aku minta Hadi berhubung dengan syarikat yang terlibat, sejenis kesabaran juga tu sebab waktu kerja di Malaysia sudah pun berakhir. Nombor telefon bimbit wakil syarikat seperti dalam web pulak salah. Sudahnya Hadi hanya menghantar emel dan mengharapkan pihak syarikat itu balas – esok pagi! Buatnya emel itu tak dibalas macam mana?

Ah, tak boleh jadi. Mujurlah saki-baki pengalaman masa di Edisi Siasat dahulu memang ada dalam diri. Semua element aku gunakan untuk mencari contact person dari syarikat tersebut bagi mendapatkan bantuan. Tak habis di situ, aku siap personal message di Facebook beberapa orang yang aku rasakan ada kaitan dengan syarikat yang menawarkan pakej tersebut. Antara carian yang aku gunakan ialah Rewards and You, Business Booster dan Masterz Myind Sdn Bhd. Sempat aku terjumpa beberapa posting orang persendirian yang berterima kasih kepada syarikat di atas kerana berjaya menebus pakej percutian mereka. Jadi aku positif, aku tidak kena scam, aku tidak kena tipu.

Dipendekkan cerita, aku amat berterima kasih kepada Puan Roselin Das yang membalas mesej aku di messenger dan membantu urusan aku di sini. Teramat besar terima kasih juga kepada Encik Sharizat dari Rewards and You kerana membantu bersungguh-sungguh urusan kami di sini. Entah apa benda yang pihak hotel mahu / tak faham / tak dapat semuanya Encik Syarizat uruskan dengan pantas. Mujurlah aku beli simkad – menjadikan urusan perhubungan aku lancar di sini. Mungkin itu hikmahnya.

Sebenarnya, booking kami itu ada, cuma method yang digunakan semasa tempahan tidak difahami oleh pengurus hotel. Tapi aku langsung tidak salahkan mana-mana pihak sebab orang lain redeem guna baucar yang sama, ok aje. Tapi mungkin sebab dia redeem di Langkawi, jadi kalau ada masalah senanglah untuk dapatkan bantuan. Cuma kes aku ini kes unik. Aku tak salahkan pihak hotel sebab cara dia borak dengan kami macam dia pernah kena kelepet dengan tempahan palsu. Jadi dia risau benda macam itu jadi lagi. Selesai masalah tempahan hotel. Kami diminta untuk daftar keluar dari bilik sedia ada dan daftar masuk semula petang nanti.

Tengah sibuk-sibuk nak kemas barang dan daftar keluar, pintu bilik air pulak terkunci. Alahai…apa lagi? Dua kali telefon receptionist baharulah bantuan tiba.

Beg besar kami tinggalkan di lobi. Aku dan Hadi mahu cari tempat untuk makan tengah hari dan sekali lagi meronda pantai dengan tenang. Sumpah tenang! Sudah tak perlu fikir masalah hotel lagi. Kami melepak di pantai Patong dan kemudian makan di Restoran Pantai.

Oh, tuhan…sedap giler makanan di sini. Yang amatlah sedapnya – sambal belacan. Sebenarnya sambal belacan dijual dengan set ulam-ulaman. Tapi aku mana makan rumput-rampai ni. Jadi aku minta sambal sahaja…bayar pun tak mengapa. Ambik kau sebekas sambal ni 30 baht. Sedap sampai menjejes-jejes air mata kerana kepedasannya. Itu tak boleh lawan harga sebekas sambal belacan di Restoran Chaba, Krabi – 50 baht harganya.

Kecintaan aku pada teh ais Thailand memang tidak dapat disangkal lagi…

Selepas makan, kami balik ke hotel untuk daftar masuk semula. Sayangnya bilik kami ini tiada balkoni. Sekali lagi kami menghadapi masalah dengan bilik air – paip air pulak rosak. Mujurlah kali ini bantuan dengan pantas datang dan semuanya okay kembali.

Memang sepanjang petang berehat semata di dalam bilik dan melayan saluran Warner Bros. Aku main handphone, Hadi pun sama. Rehatlah sepuasnya dan melayan diri sendiri. Sudah lama aku impikan percutian sebegini! 🙂 Menjelang senja, aku ajak Hadi ke pantai untuk mengambil gambar senja di pantai. Dia membawa aku ke Pantai Karon dan kami termenung hampir satu jam menunggu matahari terbenam.

Hadi mengambil gambar time lapse manakala aku snap snap snap mana yang rasa menarik. Port kami lepak itupun sudah strategik sangat rasanya. Gambar super cantik! Akak is happy!

Memang menjadi tabiat kami kalau bercuti ialah mencari dan melepak di Hooters. Hooters di Patong tidak sehebat di Pattaya dan makanannya tidak banyak pilihan seperti di Osaka, Jepun. Usai hujan kami terus balik dan sambung berehat. Tak pergi berurut dan tidak pergi night market. Kami agak berhati-hati dalam pemilihan makanan sebab perut masing-masing tengah sensitif. Nak makan, pergi kedai yang bersifat.

*****

Setiap pagi, kami akan bersarapan di hotel. Roti bakar 2 set, omelette kosong dan air jus. Itu aje yang aku yakin untuk makan. Kemudian kami akan berehat dibilik melayan saluran Warner Bros dan menjelang tengah hari akan merayap cari tempat untuk makan tengah hari.

Cuma pagi hari kedua di sini kami berjalan-jalan disekitar pekan Rawai dan bergambar di Phrom Thep View Point. Patong memang kami tak berapa layan sangat sebab terlalu padat. Lebih seronok melepak di kawasan yang cantik, tidak ramai orang dan tenang.

Seperti semalam, kami makan tengah hari di Restoran Pantai. Aku masih setia dengan menu semalam dan air semalam 🙂 Petangnya, baharulah kami melepak di Pantai Patong. Cantik juga suasana senja di sini, tetapi tidak setanding semalam.

Kami makan malam di Le’Grill Restaurant. Makanan di sini halal dan pelayannya semua bertudung. Yang penting, black pepper sauce dia memang terbaik. Lepas makan, kami terus mencari tempat untuk berurut. Tapi entah kenapalah nasib yang mengurut aku tu punyalah kuat dia tekan sampai bengkak badan aku dibuatnya. Rasa menyesal pulak pergi urut kali ini. Makan masa 4 hari juga untuk badan aku okay balik.

Itulah antara pengalaman aku bercuti di Phuket kali ini. Cukuplah 3 kali di sini. Akan datang aku mahu meneroka tempat baharu pula. Macam-macam dugaan di Phuket buat aku rasa rimas pula. Paling akhir, simkad Digi aku pulak hilang di sini. Tapi itu tidak rumit sangat sebab selepas apa yang berlaku, hilang simkad hanya satu masalah yang kecil. Buat baharu di mesin layan diri 3 minit selesai. Bayar RM10 aje.

Dan hari terakhir di Patong, aku terjumpa kedai sushi halal tapi kami berdua dah kenyang bentak…deng!

Jadi itula saja ceritanya. Kalau penat korang membaca, penat lagi aku yang melaluinya 🙂

p/s: Harga teksi dari Patong ke Phuket 800 baht sahaja, tempah di hotel. Kalau cari yang bersidai-sidai di gigi jalan diorang minta 1000 baht. Bila kita tak mahu, dia akan tawar. Tapi aku tak berani…buatnya dia tinggal tepi jalan aje naya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Tags: , , , , , , , , , , , , , , ,

Skip to toolbar