RSS

Tag Archives: AL-JAWAHAR RESTAURANT

Ohai, India! Kau Pencuri Masa Jimba…

Sepanjang menghadiri persidangan di New Delhi India, aku sempat berjalan-jalan ke beberapa tempat-tempat menarik di sini. Mari kita ingatkan kembali Rukun Kental Diri yang aku catatkan dalam catatan yang lalu:-

  1. Semua orang akan nampak kau sebagai prospek duit. Hentikan tabiat untuk bersosial tak tentu hala di sini dengan orang tempatan yang tidak dikenali dan simpan ajelah rasa huznuzon itu di Malaysia.
  2. Kalau hendak berjalan-jalan, digalakkan guna Uber – bukan teksi dan bukan tuk tuk.
  3. Jangan minum air mineral dari jenama cap ayam dan diragui. Hargailah kesihatan anda. Ada yang ekstrem sampai masak balik air mineral yang dibeli.
  4. Jangan makan dan minum sebarang di sana. Masuklah restoran yang bersifat atau rangkaian makan segera yang anda percaya sebab kebanyakan kedai tepi-tepi jalan ini memang diragui tahap kebersihannya.
  5. Kalau ada orang approach apa-apa jualan, jangan beli kecuali memang kau rasa tak jumpa dah benda tu seluruh dunia kecuali yang dia pegang ni aje.
  6. Kalau ada orang tempatan buat cerita sedih, dah lima puluh hari tak makan, anak pun sama, emak jiran selimut tetangga semua tak makan – buat kering aje. Semua orang akan jaja cerita yang sama. In fact, kalau ada orang berdarah-darah depan kau pun, langkah aje dia dan teruskan kehidupan. (Tip paling terkesan dalam nurani aku hahaha…)

Untuk ke mana-mana, sila gunakan Uber. Uber boleh dipercayai dan harganya tidak akan lari jauh sangat bergantung kepada trafik. Kalau guna teksi dan tuk tuk, memang bersedialah untuk bergaduh – walaupun korang boleh bersembang dengan bahasa yang sama dan mencapai persetujuan harga sebelum setuju menggunakan perkhidmatan mereka. Pengalaman rakan-rakan, walaupun dah setuju harga somehow tiba-tiba bila dah sampai akan jadi harga lain pulak. Macam aku cakap, dia nampak muka kita, dia nampak duit aje. Aku memang takde tenaga nak bergaduh di sini. Jadi, Uber memang terbaik dan jimat.

HARD ROCK CAFE NEW DELHI

Tempat pertama yang aku pergi di New Delhi ialah Hard Rock Cafe. HRC ini terletak di dalam pusat membeli belah DLF Place Saket. Mujur di India takde Hooters. Itu memang akak boleh kena sawan tarik. Tapi itulah HRC paling menyedihkan yang pernah aku masuk. Design baju tak menarik, semuanya standard biasa – logo dan warna baju hitam atau putih. Keduanya – fridge magnet out of stock!!!! Weh, rasa luluh giler. Jauh kot nak datang India menunaikan permintaan orang tiba-tiba diorang cakap fridge magnet habis. Masa tu, rasa nak aje buat drama “for what? for what? Aku datang dari jauh kot” dekat sales person sana hahahaha….

Disebabkan misi gagal, kami mengambil keputusan untuk makan di restoran Chilis. Ini kerana aku tak yakin untuk makan sebarang ditempat yang tidak diketahui tahap kebersihannya. Sila baca balik Rukun Kental Diri.

 

SAROJINI NAGAR MARKET

Ha, cer teka siapa yang beriya-iya suruh aku datang ke sini kerana menurutnya kain sangat murah?

….makcik kentin RTM.

Kerana saranan dia, aku dan Kaka bertabah juga untuk ke sini dan merasai sendiri suasana pasar di India. Perasaan aku – cepatlah kita beli supaya kita cepat balik. Pasar ini tidaklah selesa sangat. Pada aku, ia kotor dan bau hancing seolah-olah benda wajib setiap kali melalui mana-mana pasar dan taman.

Kalau hendak beli sari yang murah, datanglah ke sini dan bertabahlah. Harga berbeza mengikut jenis kain dan corak. Jangan risau..tempat beli sari tu dalam bangunan bukannya berselerak di tepi-tepi jalan. Aku hanya beli 3 pasang kain. 2 untuk aku, dan satu lagi untuk kabadhak Intan. Selebihnya aku teman Kaka membeli.

Yang aku beli ini harganya tak sampai 400 rupees sepasang. Nama kedai Bhavyash Goyal Fabric & Saree. Oh, jangan risau. Korang lalu aje lorong kedai, pemilik kedai itu akan tegur dengan bahasa Malaysia.

Cuma aku sempat beli 5 helai baju. Harga sepasang 200 rupees. Jadi disebabkan aku takut menyesalnya tak beli baju di India, jadi aku belilah juga. Yup, dan aku tidak menyesal 🙂

 

JANPATH MARKET

Salah satu tempat untuk shopping. Banyak pilihan. Harga banyak harga tetap. Tapi kalau beli banyak dapatlah murah sikit, bergantung mood pemilik kedai tu macam mana.

Masa aku ke sini, konon cerita heboh beg viral Nora Danish. Aku memang tak reti langsung beg-beg, kain-baju aksesori ni. Apa yang aku ada, itu aku bedal sampai lunyai. Jadi aku hanya teman Kaka membeli. Weh, punyalah lama sebab rabun nak pilih – banyak yang cantik. Aku mudah aje – Oh, cantik yang ini…ok saya nak satu yang ini, nah duit, ok bye.

Disebabkan lama, kebetulan disebelah tempat aku duduk ada seorang lelaki tempatan. Jadi aku ajak dia bergambar sama. Bila aku post dalam Facebook, semua orang ingat aku bergambar dengan Syed Saddiq! Ok…nangis 5km.


AL-JAWAHAR RESTAURANT

Restoran ini berstatus halal dan terletak di Old Delhi. Ia berdekatan dengan Masjid Jama. Cari Gate No. 1, dan lorong di situlah letaknya kedai ini.

Aku memang suka makan. Jadi setiap kali hendak keluar, aku pasti cari tempat makan mana yang sedap dan kalau dapat yang halal, itu lebih bermakna. Kaka ajak aku makan di kedai ini kerana menerusi pembacaan, ayam changezi di sini adalah yang paling champion. Jadi kami berdua bersetuju untuk cuba dan langsung tidak menyesal. Sedap giler! Butter naan dia memang biadap. Dari segi harga, aku sifatkan harga makanan di sini macam harga makanan di Kuala Lumpur.

 

MASJID JAMA

Masjid Jama terletak di Old Delhi. Aku tak masuk sebab masjid ini sedang dalam proses renovation. Actually kita boleh aje masuk. Cuma aku tak masuk sebab dah lapar sangat.

Jujurnya aku tak suka Old Delhi…ia kotor, semak dan merunsingkan. Aku tak mahu elaborate sebab memang aku rasa lemas berlama-lama di Old Delhi. Red Fort Monument tidak jauhpun dari sini tetapi disebabkan aku sumpah tak selesa – so lepas makan kami terus balik. Nota tambahan, masa itu sudah mulai gelap. Jadi baiklah balik.


LAJPAT NAGAR CENTRAL MARKET

Dalam banyak-banyak pasar, ini lebih bersih dan meyakinkan. Cuma harga agak mahal berbanding Sarojini Market dan Janpath Market. Tapi korang akan selesa untuk membeli dan membelah.

 

ZAIKA MURADABADI CHICKEN RESTAURANT

Wow, namanya restoran. Macam tempat yang bersifat. Kami difahamkan nasi beriyani dan kebab di sini sangat sedap sampaikan ramai sanggup datang makan dan beratur.

Memanglah beratur…ada dua meja bulat kaki panjang tanpa kerusi. Makanlah kau berdiri dan berkongsilah meja kecik tu dengan pelanggan lain. Saiz kedai ini, tak ubah macam besar kedai Cool Blog aje. Tetapi…tetapi…tetapi….kebab dia sedap giler. 3 pinggan aku pesan. Nasi beriyani not bad. Beriyani dekat Haji Tapah atau Mahboob lebih lejen pada aku.

*kesemua tempat di atas aku pegi dengan menggunakan uber dan bukanlah agenda rasmi yang ada dalam jadual kursus.


Berikut adalah tempat yang dibawa oleh penganjur kursus pada hari terakhir kami di India. Kami pergi dengan 3 bas yang disediakan oleh urus setia. Makanya aku tidak dapat memberikan maklumat berkenaan kos untuk masuk dan kos-kos lain.

QUTAB MINAR

Qutab Minar dikhabarkan adalah menara tertinggi di India dan menara batu bata tertinggi di dunia!


HUMAYUN TOMB

Lambang kasih sayang abadi seorang isteri terhadap suaminya, lalu ketika suaminya meninggal dunia dia mengabadikan pusara suaminya di sini. Fuh, cinta agung Bega Begum terhadap suaminya Raja Humayun.

 

INDIAN GATE

Indian Gate atau Gerbang India lebih dikenali sebagai Tugu Peringatan Perang Seluruh India. Kami diberi masa 10 minit aje untuk bergambar di sini. “More than enough” katanya…kalau asal amik, asal ada memanglah cukup. Nak mencari angle tu  yang tak sempat. Sabar ajelah banyak-banyak Kak Beny…

 

RASHTRAPATI BHAVAN & PARLIAMENT HOUSE

Punyalah eksaited tengok jadual, kami semua akan melawat kediaman rasmi Presiden India. Sayangnya kami hanya boleh lalu aje kawasan ini dan boleh ambil gambar – dari dalam bas! Yang sedih tu, bas aku cerminnya punyalah tak bersih jadi memang terlepas gambar kediaman rasmi. Yang sempat hanya Parliament House, sebab bas pusing dua kali…sedih.

 

NASIONAL MUSEUM

Kami juga dibawa melawat masuk muzium. Tapi perasaan aku, muzium ini tak berapa best berbanding muzium negara kita dan muzium-muzium lain yang pernah aku pergi.


Sebelum excursion berakhir, kami dibawa ke Central Cottage Industries Emporium untuk agenda shopping. Tapi harga barang di sini bapak mahal. Kitorang semua masuk dan pandang sesama sendiri aje. Kalau berani, korang keluar dari sini dan berlari menyeberang jalan raya yang lebar giler langsung takde jejantas tu. Sebelah itulah kawasan Janpath. Shoppinglah macam nak runtuh di sana sebab sana lebih murah dan berbaloi.

Setakat itu dahulu catatan pengalaman tempat-tempat yang aku sempat singgah di New Delhi. Rasanya aku akan come out dengan catatan terakhir tentang observation bebas aku tentang New Delhi dari aspek keselamatan, kebersihan, Uber dan lain-lain. India memang amazing…apapun aspek penceritaan orang lain tentang India, ia tetap satu tempat yang akan berikan memori untuk dikenang. Secara peribadi, aku rasa kalau aku sempat ke kawasan setinggan di New Delhi, melihat sendiri keadaan di sana mungkin ia akan memberi kepuasan yang lebih. Tapi aku perlu akur dengan tuntutan jadual persidangan. Masa memang menghalang.

Dalam hati aku kata, aku akan jejak kaki lagi ke India 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posted by on May 25, 2018 in Catatan Dari India

Leave a comment

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Skip to toolbar