Selamat Tinggal PJ Old Town..

We will remember you..
We will remember you..

Selepas 6 tahun menetap di PJ Old Town dan menjadi warga sementaranya, kami akhirnya berpindah ke rumah baru di Bandar Saujana Putra. Rumah ini kekal menyimpan suka-duka perjalanan hidup aku sebagai seorang isteri. Bila dikenangkan balik, ‘I Will Remember You..’

Masa mula-mula masuk rumah ini, yang kami bawa hanya set bilik tidur sahaja. Yang lain-lain berdikit-dikit kami beli. Selepas 6 tahun, boleh tahan azabnya mengemas dan membungkus barang untuk dipindahkan. Walaupun aku ambil cuti dari Khamis – Selasa minggu lepas, nyatanya tempoh itu tidak cukup langsung untuk kami mengemas, bertenang dan melepaskan lelah. Makin disusun dan dikemas, makin banyak pula yang datang.

Rumah lama ini pernah terkena serangan anai-anai yang amat dasyat pada tahun 2012. Aku ingat lagi, ketika itu aku sedang berpantang semasa bersalinkan arwah Cahaya Balqis. Dengan mana badan tak cukup kuat selepas pantang dengan berperang mengemas bilik tengah yang dimakan anai-anai memang betul-betul menduga kesabaran. Ketika itu aku sudah pun memborong lebih kurang 12 kotak plastik untuk menyimpan barang-barang yang terselamat dari dimakan anai-anai. Kebanyakan barang yang tersimpan dalam itu sudah dikategori ‘bungkus dan angkat’. Secara tak langsung ia memudahkan proses mengemas saat akhir.

Lori seberat 5 tan dijangka tiba jam 3.00 petang Sabtu. Jadinya hari Khamis dan Jumaat sarat dengan aktiviti pembungkusan dan pembuangan yang mana tidak perlu a.k.a ‘sampah-sarap yang diternak’. Apa yang seronok setiapkali aktiviti seperti ini berlangsung ialah kecenderungan untuk berjumpa dengan barang-barang purba yang mempunyai nilai sentimental yang tinggi. Surat cinta, gambar lama, kad kahwin semuanya kami temu semasa sessi tersebut. “Eh, you ingat tak gambar ini….”

“Eh, you masih simpan kad raya/birthday i…” dan macam-macam dialog lain semuanya ada.

Yang paling epik pastinya “Eh, kurusnya I masa ni…”

Jumaat malam Sabtu. Kami keluar makan malam selepas penat mengemas rumah. Sebaik sahaja balik, lampu pulak trip. Aduh..esok lori nak sampai. Bilik yang penuh barang tu pulak tak menyala lampunya. Naik tension aku malam itu. Oleh kerana apa pun tak boleh buat, kami mengadap TV bersama-untuk kali terakhir-diruang tamu. Yang buat aku 2x runsing tu ialah sebab Hadi pulak kena kerja pagi Sabtu nan permai tu. Nak tak nak, seawal 7.00 pagi aku dah bersilat seorang diri mengemas satu rumah sebelum lori sampai. Mujur kakak dan abang Jas datang bantu. Tidaklah panik sangat aku pagi itu.

***

Lori 5 tan rupanya tak cukup menampung lambakan barang yang telah kami miliki selama 6 tahun. Pagi Ahad itu kami kembali ke rumah lama dan memohon bantuan Fariq dan Zhafrie untuk membawa saki-baki barang yang tinggal. Hari ini juga kami perlu memulangkan kunci pada tuan rumah. Sementara itu, ditemani milo air ikat tepi dan rakan-rakan, kami bersembang tentang pemilikan rumah, cerita kenangan kami dan rumah ini dan lain-lain perbualan kosong. Aku bersyukur sangat adanya rakan berdua ini membantu kami. Kalau tak, mahu 3 kali ulang-alik kami perlu buat untuk mengambil barang-barang yang tinggal.

Jam 10.45 pagi..Tuan rumah dan isteri datang memeriksa rumah untuk kami memulangkan kunci. Rumah ini sebenar-benarnya agak uzur..dia sendiri tak sangka kami sudah 6 tahun menyewa. Dia ingatkan kami menyewa selama 2 tahun. Yup, It’s been one hell of a ride, Sir..

We will definitely remember this house..Masakan tidak. Setiap sudut seakan projektor memutar cerita silam yang tersimpan di sini.

Aku pasti tidak dapat lupakan kenangan berpuasa dan bersahur di sini. Juga bekalan elektrik yang terputus setiap kali hujan lebat. Kucing-kucing yang mengiau di depan pintu rumah. Mudah-mudahan pemilik mereka tidak lupa memberi makanan kepada keluarga kucing ini. Bertahun-tahun lamanya kami memberi kucing ini makan kerana diabaikan oleh pemilik asal. Abang rojak di depan rumah tu. India mabuk depan padang. Letupan mercun yang meriah setiap kali musim perayaan. Juga malam-malam yang aku lalui ketika kesedihan yang menggila teringatkan Cahaya Balqis.

I will remember you..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *