Selamat Tahun Baharu!

Happy-New-Year-Photos

Rasanya tidak terlewat untuk aku ucapkan Selamat Tahun Baharu 2016 kepada semua pembaca blog ini. Agak lama aku tidak menulis. Maklum sahaja sepanjang Disember jadual aku agak sarat dengan urusan kerja yang harus diselesaikan. Aku agak komited dan tertumpu di situ hampir sebulan lamanya. Idea nak menulis sangat banyak…macam-macam cerita dan peristiwa mahu dikongsi. Tapi disebabkan sensitiviti dan kesibukan tadi – aku abaikan sahaja. Biarlah aku tenggelam dengan kesibukan kerja itu sementelah fikiran aku sendiri agak berserabut kerananya.

Jadi hari ini aku mencuri masa. Kalau hendak diikutkan sangat kerja, memang tak pernah yang surut. Jadi aku mengetuk papan kekunci ini dengan tenang dan berhati-hati. Berhati-hati kerana aku sudah hampir berbulan tidak mengetuk di komputer peribadi ini. Jari semakin gemuk. Ada sahaja kesalahan ejaan yang aku lakukan. Dalam berhati-hati aku mengisi catatan ini dan sekiranya ada kesilapan – Maaafkanlaaaah (seperti DJ Dave).

Ambang tahun baharu yang lalu, aku dan beberapa rakan meraikannya di sebuah pusat hiburan terkemuka di ibukota. Secara peribadi, aku sangat kepenatan kerana berkejar-kejaran menguruskan kerja dan keluarga. Jadi malam ini aku memang terasa mahu berhibur. Bila kala kiraan mengira detik 10 saat menjelang tahun baharu, perasaan aku biasa-biasa. Apabila kiraan 10 saat berakhir dan semua orang bersorak riang meraikan tahun baharu, aku turut sama. “Happy New Year!”

Aku pandang khalayak yang lain. Boleh dikatakan semuanya bergembira ria menyanyi dan menari diiringi band kelab yang sangat ‘happening’.

Aku sendiri – meh… 1 Januari 2016 sama sahaja dengan hari-hari lain. Yang membuatkan aku lega adalah kerana hari itu cuti umum. Aku punya masa untuk berehat walaupun tidak lama kerana harus menguruskan anak-anak. Anak-anak yang sering ditinggal-tinggalkan. Anak-anak yang mula membesar dan anak-anak yang mula pandai menagih perhatian.

Itu satu perkara yang membuatkan jiwa aku sedikit bahagia.

2015 adalah satu tahun yang mencabar buat aku. Aku akui ada tahun-tahun terdahulu yang lebih teruk impaknya. Tapi tahun 2015 tidak begitu indah kesudahannya. Azam yang tersungkur di tepi jalan, hasrat yang tidak tertunaikan, penipuan kepercayaan dan macam-macam lagi. Agak pedih melalui semua itu.

Aku tahankan sahaja. Apa nak buat…itu pilihan aku dan aku bertanggungjawab atas kesemuanya.

Aku tidak akan memaafkan orang yang menipu kepercayaan aku dan menjadi munafik dengan janji sendiri. Setiap kali tersentak dan teringat memang aku panjatkan doa dan menyebut namanya agar tuhan berikan balasan padanya yang menganiaya kehidupan aku. Tidak akan aku halalkan sekelumit pun dan semoga roh kau tergantung selamanya tak merasa nikmat syurga. (Ya, aku tahu kau baca dan aku selalu doa agar Allah berikan rasa gelisah kepada kau sepanjang masa selagi aku tak dapat hak aku sepenuhnya seperti mana yang kau janjikan.)

Ok abaikan setan di atas kerana aku tidak akan mengulang kisah ini lagi.

Juga beberapa kawan-kawan terdekat aku yang diberi ujian kesihatan turut membuat akhir 2015 aku muram dengan drastiknya. Aku berdoa mereka diberikan kekuatan melalui semua ini. Aku harapkan mereka tabah dan sebagai rakan – ketahuilah aku sentiasa akan ada masa dan telinga buat kalian.

Aku akhiri tahun 2015 dengan rasa bersalah dengan pencapaian diri sendiri. Aku yakinkan diri aku telah menyumbang sebaiknya untuk kerja aku  – yang banyak pihak menolak untuk membuatnya. Aku hargai persahabatan yang tiba-tiba bertambah akrab sepanjang 2015. Aku seronok dikelilingi pasukan kewangan yang sentiasa ceria walaupun stress berkerja. Eh, banyak benda sebenarnya harus disyukuri.

Itulah akhir-akhir ini aku serabut sampaikan gagal mencerna dengan baik tuah yang menyinggahi aku sekitar 2015.

Mungkin harus berhenti sebelum aku menyelam lebih lama ke ufuk duka yang masih merah.

Ok, Selamat Tahun Baharu 2016. Insyaallah sedikit waktu apabila semua bebanan yang ada semakin menyusut aku akan keluar dari kepompong kesedihan ini dan bercerita kisah lain yang lebih gembira untuk dibaca.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Replies to “Selamat Tahun Baharu!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *