Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Lama tak menulis di sini. Hari ini aku gagahkan juga untuk menulis kisah hari raya yang juga sudah lama tertangguh. Alasan wajib ialah sibuk, tapi alasan lain ialah belum ada masa untuk duduk menung dan menulis. Setiap kali aku pegang telefon, anak-anak akan datang dan minta untuk tengok ABD Kids la, Masha and Bear la dan paling lazim ialah lagu minta lagu Johnny Cash. Atuk tu kalau tahulah Eskandar suka dengar lagu dia tentu dia rasa terharu.

Ok..aku mulakan dengan cerita sebelum ketibaan 1 Syawal.

Dalam pada kesibukan dengan kempen promosi hari raya, sekonyong-konyong kerajaan menyatakan hasrat untuk membawa siaran Piala Dunia kepada rakyat Malaysia. Jadi secara automatik semua jadual kerja dan projection berubah serta-merta. Perlawanan pertama ialah pada 14 Jun manakala 1 Syawal jatuh pada 15 Jun. Jadual cuti semua kena ubah dan aku kena pastikan bermula 18 Jun mesti ada staf di pejabat. Aku jenis tak suka paksa anak orang untuk tidak bercuti pada hari raya. Aku hanya minta mereka berbincang sesama sendiri untuk tentukan siapa yang akan kerja dan cuti pada tempoh itu. Mudahnya, kalau sudah cuti sebelum raya, masuklah awal sikit. Yang berkorban tak cuti raya, lepas masyarakat kembali bolehlah bercuti dengan tenang. Paling best, pertama kali dalam sejarah perkhidmatan aku tidak ambil cuti raya atas beberapa faktor.

Pejabat sudah mula kosong menjelang hari Rabu. Mujurlah tidak banyak bahan promo masuk pada minit akhir. Hanya ucapan pemimpin negara sahaja masuk pada hari Khamis. Di hari yang syahdu itulah, hanya ada beberapa staf promo yang belum balik kampung. Terima kasih sangat atas pengorbanan kalian. Selesai ingest ucapan, aku terus mohon izinku berundur. Cadangnya kalau dapat balik awal sikit, terus kami boleh bertolak balik ke Melaka.Hadi sudah mula cuti sebab tadika tutup awal jadi dia kena urus anak-anak.

Seperti tahun yang sudah-sudah, aku tetap setia beraya di Melaka waima giliran hari raya belah siapapun. Itulah untungnya beli rumah di kampung suami. Aku boleh balik bila-bila masa sahaja yang aku suka dan advantage lebih tentunya pada dia sebab tanpa gagal, Syawal pertama akan beraya bersama ibu, bapa dan keluarganya di Melaka.

Disebabkan aliran trafik penuh urat darah merah apabila kami memeriksa trafik menggunakan Google Maps, maka kami terpaksa buat keputusan untuk balik lewat sikit. Buat apa tersenut dalam trafik. Kampung tak akan lari. Tapi kasihan Eskandar. Sudah beberapa hari mengulang jumpa atuk, nenek, Su Na, Cik Noi dan nama sepupu-sepupu lain. Dalam pukul 10:00 malam, kami bertolak dari Bandar Saujana Putra ke Melaka dan tiba sekitar pukul 12.30 pagi – 1 Syawal yang dinanti.

Budak-budak terus terjaga dan aktif macam kena bateri Energizer baharu. Aku dan Hadi pula sumpah keletihan. Sudah bancuh susu, tak juga mahu tidur. Aku sempat meninjau stok makanan apa yang ada di dapur untuk dimasak pagi nanti. Cadangan asal, gerak ke Melaka dalam pukul 5:00 petang dan terus beli barang-barang dapur. Hampeh geduak…Jadi kena masak apa yang sahaja.

Yang ada hanya cucur Adabi ikan bilis satu peket, 5 peket maggi kari yang sudah tamat tempoh, cuka sebotol dan telur 3 biji. Apa nak masaknya? Sudahnya, dipagi raya tatkala insan lain mendengar laungan syahdu takbir raya sambil menyinsing lengan baju menjamah ketupat, rendang, nasi impit, lemang dan juadah-juadah yang lazim dihidang waktu raya, kami sekeluarga hanya bersarapan cekodok bilis Adabi!

Berkali-kali aku zahirkan rasa kesal pada Hadi kerana raya tahun ini tidak seperti tahun-tahun yang lalu. Alah, dia bukannya tak pernah merasa beraya tanpa aku sebab aku kena kerja di pagi raya. Tapi itu memang sudah bagitahu awal tahun setiap kali dapat jadual kerja. Raya tahun ini serba-serbi tak ada. Baju raya anak tak ada, baju raya kami berdua memang terang-terang tak ada dan sebekas kuih raya – pun tak ada.

Pada hari raya pertama, kami beraya dirumah keluarga Hadi dan kemudiannya beraya di Masjid Tanah. Nenek Hadi ada di sana. Tetapi, serabut raya kami tidak berakhir. Ezzudin langsung tidak boleh diam. Aku pandang Hadi, Hadi pandang aku. Aku minta kunci kereta dan bawa Ezzudin melepak dalam kereta. Pasangkan video ABC Kids supaya keluarga yang lain boleh beraya dengan tenang. Tak lama kemudian, Hadi datang menjengok kami berdua. Simple thanks dari dia buat aku rasa sejuk. Malamnya, Hadi dan Eskandar mengikut keluarga HadiĀ  beraya di rumah Pak Long mereka dan aku masih dengan rutin duduk rumah menjaga Ezzudin.

Setiap kali balik Melaka, aktiviti wajib aku ialah mengemas kawasan luar rumah. Nak sangat merasa rumah agam yang besar dan selesa, jadi hadap sahajalah semak samun yang meninggi sebab bukan selalu aku balik Melaka. Hadi dan anak-anak tidur sementara aku mengemas semak-samun di luar rumah. Bukannya tak boleh mengupah orang. Mengemas ini terapi. Walaupun pinggang rasa nak rebah, osteoporosis melanda aku tetap setia mengemas seorang diri. Dari taman herba seperti mana kata kakak Fadlina Ahmad jadilah murni sedikit macam rambut Bruce Willis.

Bermula raya tahun ini, aku dan Hadi sepakat untuk tidak beraya dirumah siapa-siapapun selagi budak-budak ini belum membesar dan pandai bercakap. Payah nak bawa budak kecil yang hyper ke rumah orang. Budak macam ini bukannya tahu diam. Jadi bila aku dapat SOT “eh, diamkanlah dia…suruhlah dia diam, eh tak reti diam ke anak kau ni” aku memang menahan sabar ajelah. Bila baca pulak posting di Facebook pasal mak bapak tak tegur anak bila melasak pun boleh buat aku rasa nak cakap aje ‘kau takde anak istimewa apa kau tahu?’ tapi aku hide aje posting itu sebab malas nak buat semak kepala.

Sebelum tuan rumah jadi tidak selesa dan aku sendiri merengsa, baik tak payah. Tak kuasa aku nak bersyarah pasal anak-anak istimewa, autisme, sindrom down, super duper hyper, Barney and Friends, ADHD bagai-bagai dipagi lebaran. Cabaran membesarkan anak-anak ini sudah cukup penat aku rasa apatah lagi cabaran nak membalas ketidakfahaman manusia lagi. Ok ini akan ada catatan lain. Catatan ini aku akan buat bila aku rasa kuat sikit. Sekarang masih fragile. Jangan tanya lebih-lebih.

Disebabkan anak-anak aku memang tak boleh nampak kolam, laut, sungai, tasik, lombong dan unsur-unsur air, maka pada 2 Syawal Hadi mengajak aku pergi ke Sagil untuk mandi sungai. Jujurnya, disebabkan raya ini permulaannya serabut aku memang rasa nak menjeruk diri aje dalam rumah. Hadi pujuk banyak kali dan demi anak-anak, Kak Benny is strong again. Aku siapkan semua kelengkapan yang perlu dan pukul 10:00 pagi, tayar golek. Sempat aku tapau spaghetti yang aku masak semalam sebab anak-anak memang suka makan spaghetti. Tapi tak jadi ke Sagil. Hadi mahu bawa kami ke tempat sempadan 3 negeri. Aku pun macam blur-blur lipas tempat itu di mana. Kalau tak ok, baharulah ke Sagil sebab untuk ke sana laluannya satu hala.

Memang rezeki anak-anak. Masa kami sampai di Asahan Water Theme Park tiada siapapun di sana. Tempatnya luas dan lapang cuma tempat theme park tu pada aku macam tak berapa bersih. Tapi kolam besar dia memang marvellous. Puaslah anak-anak mandi-manda di situ. Kalau ikutkan gelungsur besar tu Eskandar tak boleh naik sebab untuk mereka yang berumur 7 tahun ke atas sahaja. Tapi dia dah berlari naik dan terpaksalah aku mengikut. Mujur air pun tak laju jadi selamat untuk dia bermain. Ezzudin pun sama! Berulang kali turun dan naik sesuka hati. Penat kami melayan tak usah cerita. Suara banshee aku memang merata-rata. Tapi apa ada hal…orang takde!

Hampir 4 jam mandi sampai kecut-kecut kaki dan tangan, aku memutuskan untuk balik. Budak-budak pun belum makan lagi. Ezzudin boleh buat drama tak mahu balik. Elok masuk kereta, aku suapkan spaghetti. Punyalah tamak, sampai berebut-rebut. Kemudian kami menuju balik ke rumah dan dua-dua terus tidur dalam perjalanan balik. Masa ini aku rasa tenang yang amat. Dapatlah bersembang-sembang dengan Hadi pasal hati, limpa, pelangi, pokok kelapa dan badak.

Keesokannya, kami balik semula ke Bandar Saujana Putra kerana aku sudah mula berkerja. Hanya Hadi masih bercuti dan setia meneman anak-anak. Mujur tadika Ezzudin buka pada hari Selasa dan Rabu maka kami boleh hantar Ezzudin dan cikgu tadika di sana sudi jagakan Eskandar untuk 2 hari. Memang rasa bersyukur sangat-sangat sebab ada yang membantu bila aku memerlukan bantuan. Yang buat lebih terharu sebab cikgu Ezzudin bukan Islam. Dia punya jasa, sokongan dan kadar toleransi melebihi orang seagama aku sendiri. Ini juga berhak catatan lain. Lain kali aku akan suratkan juga. Oh, sebelum balik kami singgah ambil gambar di kawasan sawah padi dekat dengan simpang nak masuk rumah aku di Taman Tangga Batu Perdana. Kalau datang masa hari raya pertama dan kedua memang penuh manusia menumpang ambil gambar di sini.

Minggu yang sama, aku baru ada peluang menziarah kubur arwah abah dan anak kami, Cahaya Balqis. Perasaan sedih yang lazim menyapa setiap kali aku mampir ke sini ditambah rasa terharu kerana Eskandar sudah boleh faham yang sebenarnya dia ada kakak. Sempat dia membaca Al-fatehah dan kami berempat mengaminkan bacaannya. Sebelum balik, dia sempat bagi salam pada kakak dan sekali lagi aku rasa macam nak teresak-esak di situ.

Hadi kemudiannya membawa kami menikmati keindahan senja di Bukit Ampang. Sudah agak lama kami tidak ke sini dan ini kali pertama kami ke sini dengan anak-anak. Tapi takdelah lepak minum macam selalu. Anak lasak sangat. Sebelum jadi apa-apa, baik tak payah.

Apa yang penting, setelah berbulan-bulan aku tidak dapat tengok wayang, dapat juga melepaskan tension dengan menonton Deadpool 2. Ya, ampun…memang lawak yang inappropriate. Dia punya inappropriate tu sebijik macam kami laki bini. Sebab itu yang gelak besar dalam panggung memang kami berdua juaranya. Sebenarnya sebelum tengok wayang aku sudah rasa sedikit uneasy. Badan memang letih sebab aku belum betul-betul rehat lagi dengan kerja yang non-stop dan cuaca yang tidak menentu. Lepas tengok wayang, aku terus minta Hadi hantar ke klinik untuk ambil gas. Esoknya, seharian aku tumbang dan dapatlah rehat yang aku nak sangat tu.

Oklah…panjang berjela pulak jadinya. Raya masih berbaki dan kadar kesibukan aku masih sama. Belum ada masa untuk bercuti dan berjimpa. Hadi aje terlepas ke Bangkok minggu ini. He deserves that. Biarlah dia pula berparti buih dan berparti liar dan aku menjaga anak-anak. Mungkin ada rezeki lain untuk aku.

Sebelum catatan berakhir, Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin.

Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Published by

akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *