SELAMAT HARI BAPA, ABAH…

Abah ada banyak ciri-ciri manusia yang aku suka. Kejap…abah ada banyak ciri-ciri manusia yang ramai orang suka. Ha, baru betul. Dari ahli politik, belia-beliawanis, cikgu-cikgu sekolah aku dan juga masyarakat sekeliling, ramai yang memandang tinggi pada abah. Untuk manusia biasa-biasa yang serba sederhana, abah sebenarnya manusia yang famous. Abah manusia berseni dan mempunyai pelbagai bakat.

Mana tak famous…asal ada majlis, dia jadi emcee. Sudah jadi emcee, dia menyanyi pula. Tak cukup itu, dia bersajak. Kalau ada gitar, sambil nyanyi tu dipetik juga barang dua-tiga lagu. Kalau takde sangat, pasang ajelah minus one lagu-lagu P.Ramlee dan abah akan menyanyi sebijik-sebijon seperti suara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Kalau aku cakap karang tak percaya. Tanya ajalah pada yang pernah mendengar nyanyiannya.

Dalam pada aku suka mempunyai abah yang berbakat besar, sebenarnya ada fasa-fasa rimas juga sepanjang membesar menjadi anak Khairi ini. Setiap kali dia menguruskan agenda persembahan, dengan aku yang tak bersalah akan diheretnya. Puncanya mungkin masa jamuan hati raya pejabat mama di Pulapol puluhan tahun dahulu, tiba-tiba aku muncul berduet lagu Farid Hardja dengan anak Komandan. Itulah kemunculan pertama aku menyanyi depan orang ramai.

Sejak itu abah sering bawa aku masuk pertandingan nyanyian. Kerana lagu Farid Hardja itu juga, aku dan Kakak dipaksa/minta menyanyi lagu itu dalam satu majlis mengumpul dana untuk pembedahan Siti Musliha dengan diiringi oleh Kombo D’Aswa (kalau tak silap). Sekali-sekala aku ok, konon tolong la. Lepas tu macam kena paksa. Kena paksa bersajak..kena paksa berteater depan Pasar Seni dan banyaknya majlis Belia 4B. Haih, rimasnya zaman itu sebab bagilah alasan apa nangis bagai-bagai kesudahannya kena buat juga.

Abah mempunyai bakat seni kaligrafi yang sangat teliti, halus dan cantik. Tulisan sambungnya juga cantik. Dia selalu dapat upah menulis nama pada sijil, termasuklah sijil dari istana. Aku pernah cuba menuntut, tapi sebab tak amalkan, tak berapa lekat bakat ini. Yang betul-betul aku dapat ialah mengecat banting. Aku boleh cat dengan kemas dan laju. Kadang-kadang aku ponteng sekolah atau dipontengkan kalau terlalu banyak tempahan. Dan abah akan mengarang surat ketidakhadiran aku kepada cikgu sekolah dengan tulisannya yang cantik itu. Bila aku hadir ke sekolah, cikgu lebih kerap memuji tulisan abah itu berbanding bertanya kesihatan aku yang konon-kononnya tak sihat itu.

Aku suka abah sebab abah suka membantu manusia yang dalam kesusahan. Aku juga tak suka kalau abah tak nampak seolah-olah orang ambil kesempatan atas kebaikan abah. Selalu aku, akak dan Napi bercakap pasal hal ini dan kesudahannya kami adik-beradik kena lahar balik. Bila dah semakin besar, baru aku nampak kenapa abah seperti itu. Tak apalah…hati abah memang baik. Selagi boleh bantu orang, dia akan buat juga.

Kekurangan abah hanya dia tidak berharta. Kerana itu, dia seolah-olah dipandang rendah oleh beberapa kategori manusia. Tapi dengan bakat-bakat yang ada dalam dirinya, dia pandai mencari duit tambahan. Kami semua cukup makan. Aku menyaksikan kesukaran demi kesukaran yang abah harung dengan mama. Aku pernah nampak juga dia menangis bila dugaan yang besar menimpa. Kalaulah abah tahu perangai manusia macam mana lepas dia meninggal, tentu dia lagi sedih. Tak apalah abah, Benny dah selesaikan semua masalah dunia tu.

Aku boleh karang sepanjang-panjang kisah pasal abah, tapi semua itu hanya akan menambah rasa rindu aku padanya. Aku rindu kad hari jadi yang tiba-tiba ada dalam beg sekolah, aku rindu dengan masakan abah dan jujurnya aku rindu dengar dia melantun setiap kali kami adik-beradik menyakatnya tentang politik. Dengan orang, dia selembut-lembut manusia dan sekelakar-kelakar insan tapi dengan kami adik-beradik, dia macam singa. Aku tahu..semua itu sebab dia tak mahu kami jadi macam dia. Belajar pun tidaklah tinggi sangat kerana pelbagai faktor. Abah selalu cakap, dia tak tinggalkan kami harta. Dia tinggalkan kami dengan ilmu. Pandai-pandailah nak hidup.

Banyak ciri-ciri abah ada dalam diri aku. Yang mana yang aku tak gemar, selalu aku berdoa aku diberikan ciri-ciri mama seperti sabar, lembut dan tenang. Oh, yang handalism menulis, membeli jiwa, hi awak romantika ni semua konfem aku dapat dari abah. Abah kalau mengayat, menitik air mata.

Hari-hari adalah hari bapa. Hari-hari juga hari ibu dan hari berkasih-sayang. Selamat Hari Bapa, abah…Benny rindu abah ???

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *