Satu Hari Di Hari Raya Aidiladha…

Pagi raya lepas, sengaja aku tidak masak. Semua isi rumah ini akan ke rumah mama kerana aku memang bercadang mencurik rendang daging dan kuah kacang mama yang super ohsem. Tahun ini kami tidak balik Melaka kerana giliran beraya Aidiladha jatuh di Taman Permata.

Lepas makan dan bersembang dengan mama, aku keluar rumah dan memotong beberapa helai daun pandan. Ia dihiris halus dan dimasukkan ke dalam 2 botol mineral. Hari ini aku mahu menziarah Cahaya Balqis dan arwah abah, seperti lazimnya. Dikawasan kuburan, ada sekumpulan remaja lelaki melepak sambil menjual bunga-bungaan untuk ditabur di pusara. Aku minta Adeq beli 2 plastik.

Pusara Cahaya Balqis aku kunjungi dahulu, kerana kereta mudah diparkir berhampiran kawasan perkuburan kanak-kanak. Beberapa kali aku berkunjung sendirian tanpa Hadi. Kali ini dia ada bersama.

Selepas itu barulah kami menziarah pusara abah. Adeq kemudian menziarah pusara sahabat baiknya sementara aku dan Hadi kembali ke kereta. Sebelum berlalu, aku singgah kembali ke tempat Cahaya Balqis. Masa itu memang aku sangat sedih. Pusara dia sudah cantik. Aku memikirkan untuk menanam sesuatu di situ, tetapi bukanlah pokok kemboja. Belum ada idea jenis tanaman apa. Ada ke pulak Hadi nak tanam kari? Baik aku tanam kaktus kat situ..

***

Selepas menziarah kubur, kami ke Selayang-rumah pakcik Hadi. Kebetulan mak dan abah datang dari Melaka untuk melawat pakcik yang uzur. Pakcik pasang video pernikahan arwah anaknya. Aku sangat faham mereka kosong. Ada dua anak, dua-dua telah dijemput tuhan.

Sebelum balik, entah kenapa aku tanyakan adakah pakcik masih mahu makan ikan bakar. Sudah bertahun-tahun bila kami menziarah, tak putus diceritakan adik ipar aku berjanji untuk membawanya ikan bakar. Pakcik nampak terkejut, tapi sempat request ikan siakap.

Ok…esok aku ke sana. Selain ikan bakar, ada sesuatu lain aku bawa bersama…

(Bersambung..)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *