Satu Dasawarsa Cinta..

15039468_10154345052519335_2497052375250139746_o

Aku tidak tahu dari garis masa mana hendak aku mulakan penceritaan ini. Untuk mengimbas kembali perkenalan aku dengan Hadi, rasanya sudah banyak kali aku ceritakan. Terus, aku mencari sisi lain untuk moncoret kisah kami. Kalau asyik mengulang cerita yang sama, tak berapa seronok juga. Sebelum itu, aku tulislah juga sinopsis ringkas, untuk pembaca yang tak familiar tentang cinta kami.

Aku kenal Hadi sejak zaman matrikulasi di UiTM. Aku budak masscomm, dia budak info study. Mula-mula setakat kenal nama, sebab teman sebilik di Kolej Seroja bilik 504 selalu sangat bercerita pasal class rep dia yang seorang ini, maka akupun terasalah ingin tahu siapakah manusia yang bernama Hadi ini. Hadi mukanya seketul aje di sini..dia seorang sahaja yang bermisai, berjanggut dan signature utama – sideburn Elvis Presley. Sampai sekarang, imej pegun aku mengintai dari tingkap bilik 504 ke arah jalanraya dan melihat Hadi berjalan ke masjid untuk solat Jumaat masih kemas tersimpan dalam ingatan.

540365_10150734041089335_893823529_n

Selepas 28 pucuk surat tanpa bersua muka, kami bersetuju untuk bertemu pada 14 Februari 2000 and the rest is history…kami terus berkawan. Putus dan sambung pernah juga berlaku, tapi tidaklah kronik sangat. Semua sebab aku aje yang mengada-ngada lebih. Masa aku menjalani latihan industri, aku sudah feeling-feeling aku mahu kejar kerjaya dahulu dan untuk urusan perhubungan peribadi, aku mahu ketepikan dahulu. Aku tidak ingat apa punca, tapi aku dengan Hadi pernah break sekejap Disember 2003. 10 Disember, ketika abah meninggal dunia, Hadi tidak membiarkan aku sendirian. Dia tetap setia memberi sokongan moral dan sedikit faktor itu, aku rasa aku perlu lebih serius dalam satu-satu perhubungan.

6 tahun bercinta, bicara soal bila nak berkahwin adakalanya boleh mencetuskan perang saudara. Alasan biasa – duit tak cukup, kerja tak stabil. Masa itu Hadi hanya berkerja di kedai buku manakala aku sudahpun berkerja di RTM. Duit tak pernahnya yang cukup, kerja pulak tak tentu-tentunya stabil. Mungkin bila kita mulakan sesuatu yang baik, laluan kita nanti akan dipermudahkan. Ada sekali pernah aku tanya, kita ni bilanya nak kahwin? Dia bagilah alasan tadi tu..tapi paling aku mensunquick dia boleh cakap ‘nantilah bila dah bersedia…masa umur 35 kot….’

Tengkoraknya…!

Aku dengan dia sebaya..kalau sungguh aku ikutkan wawasan dia tu, tahun inilah baharu aku berkahwin!

untitled

5 Mac 2006 – kami bertunang. Tak ramai yang tahu, termasuk rakan-rakan terdekat. Majlis pun teramatlah simple. Cerita tunang ini sendiri lawaknya memanglah 8 tiang sebab memang ia majlis yang tidak dirancang. Aku rasa macam menang sukaneka pun ada sebab aku dapat 2 hamper,bahulu ikan dan 2 bentuk cincin yang aku beli sendiri (dahulukan dahulu) 2 jam sebelum majlis berlangsung! Agak tanjat boboi juga saudara-mara yang ada masa majlis itu sebab wang hantaran yang aku minta ialah RM15k, sampaikan wakil keluarga aku panggil Hadi masuk dalam sesi perbincangan untuk mengesahkan betulkah jumlah itu? Senyum aje dia balas, ya betul 🙂 Langsung tak timbul isu jual anak ke, pandai sangat masak ke, jelitawan sangat ke sebab kami sudah bincangkan nilai ini sekian lama. Pecahannya pergi ke mana..apa yang tinggal, apa yang perlu aku top-up. Aku bersedia sepenuhnya dengan soalan peluru berpandu yang akan/bakal/telah diberikan. Kami tidak menggunakan duit ibu dan bapa. Nak kahwin, carilah sendiri. Boleh sahaja aku memilih untuk asal nikah, asal halal..tapi aku tidak pilih itu 🙂

iwphlj4mn6wrnxismycr9f9rltb5tywpzvcbwdklf0o

18 November 2006 – kami disatukan dalam majlis yang ringkas – tapi sangat bermakna. Adik aku sendiri menjadi wali dan menikahkan aku. Tiada sebab tersembunyi kenapa kami memilih tarikh itu. Apa yang kami fikirkan, pilih aje mana-mana tarikh asalkan orang boleh datang. Aku sendiri rimas sebenarnya majlis nikah kahwin ini sebab kena make-up tebal dan paling aku tak suka – pakai kasut tinggi. Punyalah aku tak confident sampaikan masa berarak tu, aku berpaut aje pada lengan Hadi. Kang tersadung malu forever….Kadang-kadang aku trick juga Hadi, ingat tak lagu yang dipasang masa kita naik pelamin dulu?

“Ingat…, lagu Cintamu – Dygta” (nasib ingat..kalau tak punca-punca stress juga tu)

svzyqkwcfr7nvbf4xetf_txkgdprrs0t2lr8hlsfwqe

Rezeki berumahtangga, tak sampai seminggu kami disatukan, Hadi kemudiannya mendapat tawaran kerja dengan kerajaan. 3 tahun pertama agak mencabar sebab Hadi kena kursus berbulan-bulan lamanya. Selepas itu dia pulak berkerja ditempat yang super sibuk. Kejap ada, lama takde. Bila dia ada, aku pulak takde…Paling tenang bila dia takde, aku pun takde. Hubungan memang turun-naik, turun naik waktu ini. Masa ini bila orang tanya, bila nak ada anak memang panas hati aje aku mendengarnya. Macam-macam set jawapan pernah aku bagi. Paling epik, aku hampir terbalikkan meja makan. Mujur Hadi pandai mengubah topik.

Lepas 3 tahun, rasanya komunikasi kami bertambah baik. Walaupun berdua, kami tidak pernah rasa sunyi tanpa anak. Tidak dinafikan keinginan itu ada…tapi kalau setakat untuk menutup mulut orang dan tanpa bersedia sepenuhnya seolah-olah terpaksa pun ada juga. Kami ambil keputusan untuk lebih fokus kepada diri kami sendiri. Kalau ada masa, pergi bercuti. Malam, kalau boring lepak layan live band atau tengok wayang. Hadi bukan kaki karoke, selalunya dia akan keluar minum dengan kawan-kawan dia dan aku akan keluar dengan kawan-kawan aku. Selalunya kami akan duduk melayan DVD rally dari pagi hingga petang.

Ketika aku mengambil keputusan untuk cuti belajar, baharulah aku rasa diri aku ini isteri orang yang sebenar-benarnya…Aku ada masa untuk siapkan sarapan dan makan malam, ada masa untuk siapkan baju Hadi dan membuat kerja-kerja rumah lain yang biasa dibuat oleh isteri sepenuh masa secara konsisten. Masa ini juga kami rasa macam semuanya in line. Study ok, kehidupan pun ok. Selepas 5 tahun berkahwin aku mengandung juga. Gembiranya, tak terluahkan. Punyalah suka, sampai lupa suka boleh membawa duka. Mungkin stress kerana ketika itu aku tengah sibuk dengan peperiksaan akhir, air ketuban telah pecah awal padahal usia kandungan baharu sahaja menjengah 5 bulan. 5 Julai 2012, aku melahirkan seorang puteri yang kami namakan Cahaya Balqis. Saat dia aku pegang, melihatkan dia bernafas dan hakikat dia terpaksa aku lepaskan sangat pedih.  Sampai sekarang kalau aku teringat memang aku boleh menangis sendiri.

Cahaya Balqis
Cahaya Balqis disemadikan

Untuk bangkit balik dari peristiwa ini memang gila. Aku dah lalu sleepless night, kemurungan sampai doktor nak refer ke psikiatri tapi aku cakap aku okay..bagi masa aje sebab aku tengah lalu stages of grief and loss. Hadi banyak sabarkan aku. Satu paper aku kena repeat balik. Semangat memang hilang tapi mengenangkan hidup kena terus, aku redah jugalah. Dapat 4 flat pun aku tak rasa terapung. Tapi aku tengok Hadi tenang aje. Kadang-kadang aku tanya juga, yu tak sedih ke anak kita dah takde? Sedihlah..siapa yang tak sedih. Tapi bukan rezeki kita, kata dia…Lepas itu kami berdua akan mengeluh panjang bersama-sama.

Suasana dari beranda...

Kami kemudiannya bercuti di Vang Vieng, Laos. Satu tempat yang jauh dan penuh gunung-ganang. Betul-betul kami cuba mengubat hati dan jiwa. Punyalah tenang di sini sampaikan aku rasa sayang hendak meninggalkan hotel kami yang sangat cantik pemandangan gunungnya. 5 hari dibumi Laos terasa pantas. Beberapa hari selepas balik ke Malaysia, kami bersama-sama 2 rakan lain ke Koh Samui pula. Aku sangat hargai hasrat sahabat seorang ini yang banyak membantu dalam segala aspek untuk aku move on. Bercuti memang terapi yang terbaik. Sabarlah..mungkin ada rezeki lain.

Selang 3 bulan, aku mengandung lagi. Tapi kali ini bukan perasaan excited yang ada, sebaliknya penuh dengan kecelaruan dan kerisauan berganda. Aduh, kalau gagal macam mana aku hendak lalu lagi episod hitam yang sama? Masa aku bagitahu Hadi aku mengandung, dia pun jatuh blur. “Takpelah, malam karang kita discuss, i pergi kerja dulu.” Malam itu, sehari sebelum Deepavali kami berdua membeku dalam kereta sambil cruising dan memikirkan apa yang patut kami buat. Keputusannya, diamkan sahaja – jangan bagitahu sesiapa termasuk ahli keluarga. Tiba-tiba kereta kami dilanggar lari oleh sebuah lori di Kepong dan berpusing 3 kali – sebelum kereta itu merentas longkang di tepi jalan. Mujur kami tidak langsung cedera, tapi kereta memang remuk. Aku terus freeze. Orang ramai mula mengerumuni kereta dan cubaan membawa kami keluar dari kereta pun bermula. Lori itu lari, tapi aku difahamkan ada motorsikal yang menyaksikan kejadian sempat kejar lori itu dan mendapatkan nombor plat lori. Aku telefon adik-beradik untuk minta bantuan dan mereka tiba kira-kira 30 minit selepas kejadian. Mama juga turut ada di situ. Dalam pada nak berahsia gaban tu, Hadi cakap juga “tengok-tengokkan Abby tu Ma, dia mengandung”. Terkejut besar semua! Mama dah peluk aku, Ya Allah Ya Allah kat situ. Tapi setakat situ sahaja berita aku mengandung tersebar.

Kereta itu kemudiannya dibaiki dan bolehlah pakai balik – seminggu. Lepas tu dah jadi saka…Asyik keluar masuk bengkel aje. Mahu tak mahu, kami membuat keputusan untuk membeli kereta. Dalam risau-risau tu, kami ambil kira juga keperluan membeli MPV memandangkan keluarga kami bakal bertambah. Kehidupan kami lebih berhati-hati. Jaga makan, jaga gula, jaga-jaga Cik Salmah pun ada. Doktor dah bagitahu, sekiranya aku mengandung kembali, kali ini aku kena melalui cervical cerclage procedure. Masa ini juga aku dalam semester akhir pengajian. Stress buat tesis tak payahlah nak cakap – separa sawan! Tarikh Viva pula kebetulan dekat-dekat dengan due date bersalin. Ah, sudah! Mujurlah semuanya dipermudahkan. Aku Viva dalam keadaan sarat 36 minggu, termengah-mengah aku membuat pembentangan.

Me-36 weeks-Viva
Me-36 weeks-Viva

7 Julai 2013, aku selamat melahirkan Eskandar Dzulkarnain selepas 2 jam berjuang di PPUM. Kalau Cahaya Balqis masih hidup, dia beza setahun 2 hari sahaja dengan Eskandar 🙂

Baby ED baru lahir. Putih macam Jepun..

Setahun selepas itu, 12 November 2014 aku melahirkan seorang lagi bayi lelaki yang kami namakan Ezzudin Dzulfikar. Beza umur Eskandar dan Ezzudin hanya setahun 4 bulan! Kalau diikutkan, sudah 3 anak-anak aku. Akan datang tak tahulah, kot ada rezeki lagi. Justeru meraikan sedekad ini dengan double ED aku sifatkan sebagai balasan atas kesabaran kami mempertahankan hubungan suami isteri. Lupa sekejap turun naik, puting beliung, cubaan mengasid dan unsur-unsur negatif lain yang pernah menjengah rumahtangga kami nan dont think clear wota no boya ini.

ezz2

13754206_10153994077499335_5572409742445208232_n

Rumahtangga kita semua, sama sahaja. Ada pasang surutnya. Tetapi terkadang sahaja aku terlepas perkongsian. Itu lebih pada zaman aku gagal mengawal emosi. Banyaknya aku simpankan sahaja…Cukuplah rakan-rakan mengenali Hadi sebagai anak yang taat kepada ibu, bapa dan ibu mentua, suami yang penyayang dan bapa yang sangat bertanggungjawab. Dia manusia yang rasional dan penyabar, aku kontranya. Pengalaman dan komunikasi yang menyebabkan kami bertoleransi.

18 November 2016 – 10 tahun, 120 bulan, 522 minggu, 3,652 hari, 87,658 jam dan 5,259,490 saat dan masih berterusan aku mencintaimu, Alhadi Hamzah 🙂 Saya tak boleh janjikan bulan bintang Capricorn temulawak dan pulau bagai-bagai. Saya cuma boleh berusaha untuk menjadi isteri yang lebih baik untuk yu dan memperbaiki hubungan kita agar sentiasa tenang dan senang bersama-sama. Me love yu long time… 🙂

p/s: aku mengarang beriya-iya ni, dia tak baca pun…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

8 Replies to “Satu Dasawarsa Cinta..”

  1. Best baca citer ni. Sepanjang baca cerita ni teringat dan terbayang gaya persembahan Baini yg bersahaja… Apa yg baini tulis sama macam baini bercakap. Ko masih baini yg dolu!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *