Samba Sambal 3 Ramadan

IMG_20160608_191811

Aku terbangkit lambat pagi itu. Aku sendiri tak pasti alarm tak berbunyi atau berbunyi tapi aku yang tak sedar. Mujur Hadi terjaga dan kejutkan aku pagi itu. Sudah pukul 5.00 pagi rupanya!

Mujurlah lauk semalam masih tersisa. Ada seekor lagi ikan masak taucu. Aku sempat masak telur dadar dan baki teh gandum Oishi pantas dituang ke dalam bekas air ditemani beberapa ketulan air batu. Walaupun ringkas, terasa nikmatnya bersahur.

Kalau nak diikutkan, ini tahun kedua aku mendisiplinkan diri untuk bersahur dan tidak membeli makanan di pasar juadah. Sebelum ini, aku memang tak peduli sangat bangun awal untuk bersahur. Cukup setakat makan berat pada malam sebelumnya. Nyatanya cara begini lebih berkat dan jimat. Subuh-subuh itu jugalah masa aku nak bersembang dengan Hadi.

Selepas sahur, kami berdua menyiapkan anak-anak. Badan Ezzudin masih panas. Suhu agak tinggi, padahal malam semalam macam dah surut sikit deman tu. Aku nekad hantar aje dahulu dia ke taska. Aku positif panas dia tu kejap aje sebab ini sudah hari ketiga. Sepatutnya demam dia sudah kebah.

Yup, Alhamdulillah…sedikit lega petang itu badannya tidak panas sangat. Demam manja-manja aje. Ezzudin tetap aktif. Sebelum berbuka, aku beri anak-anak makan dahulu. Kedua-duanya ada selera makan dan Eskandar berebut-rebut minta disuap dahulu – siap potong que!

Untuk menu berbuka, aku masak sambal sotong. Cili tak letak banyak sebab takut pedas. Tapi hasilnya masih pedas, kata Hadi. Entah pada aku lazat aje. Tapi tak bertambah nasi pulak sebab nasi yang dituang Hadi agak banyak. Sebotol sparkling water yang aku dapat tahun lepas menyulami nasi berbuka hari ini. Wow, rezeki iftar yang hebat. Sedap juga air tu. Kalau aku tahu, dah lama aku sesahkan.

Esok untuk sahur tidaklah payah sangat. Sambal sotong masih berbaki. Kalau perlu aku tanak sedikit nasi dan masak telur taucu sahaja. Aku dan anak-anak masuk tidur awal. Pukul 9.00 malam sudah masuk bilik. Biarkanlah bapaknya mengemas di bawah dan kemudian mempunyai masa untuk diri sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *