Salam Aidilfitri Untukmu…

Assalammualaikum semua yang membaca coretan terakhir sebelum Syawal menjelang 2 hari lagi. Dikala ramai umat pekerja kerajaan, swasta, berkerja sendiri, penganggur dan pelajar sudah berpusu-pusu balik ke kampung masing-masing, aku masih dipejabat menyiapkan beberapa kerja yang tidak pernahnya surut. Yang surut kadang kala hanya kesabaran dan keimanan yang disebabkan kekurangan aku sebagai seorang insani yang lemah.

Subuh tadi, tatkala hujan mencurah-curah membasahi bumi Bandar Saujana Putra, aku dan suami memaksa diri kami untuk bangkit dan bersiap siaga untuk ke pejabat. “Kenapalah kita kena kerja diwaktu hujan subuh-subuh ini?” Sebab kita tak amik cuti, bapa beruang…Trafik pagi tadi tidaklah seteruk selalu. Mungkin ada yang terus bergerak ke kampung masing-masing selepas sahur.

Selepas menyelesaikan beberapa tugasan wajib, aku mengambil peluang yang ada untuk spring cleaning meja Menteri Kewangan yang super serabut dilanda taufan audit dan MoF. Bersilih ganti acara melawat kawasan sampaikan aku tiada masa untuk menguruskan susunan kertas yang bertimbun.

Umum mengetahui kalau aku mula acara spring cleaning besar-besaran itu, tandanya jiwa raga aku tengah serabut. Betul la..ada sedikit. Maklum sahaja semakin akhir Ramadan, semakin mudah jiwa kita diusik. Aku membelek kad-kad raya yang aku terima dan aku sangat bersyukur dan berterima kasih kerana ada juga yang mengingati diri aku. Terima kasih kepada Puan Noriah Letuar, Puan Norma Aziz, En. Aie dan Puan Liz atas kiriman kad raya, kuih tart dan dodol.

Aktiviti aku pagi ini dilatari lagu-lagu raya oleh artis Ambang Klasik Sdn Bhd. Tidak boleh tidak, aku teringat seorang kawan lama yang sukakan semua lagu dalam album itu. Entah apa ceritanya sekarang? Kami pun sudah tidak berkawan dan berhubung. Dia berubah, aku lagilah berubah jauh dari paksi. Biarlah masing-masing membawa haluan dan kenangan kami sejak zaman sekolah dahulu anggap sahaja memori lama nan berhabuk.

Oh, ya…anak-anak sudah kami tinggalkan di rumah mama pada malam Rabu yang lalu. Taska mereka tutup. Saat ini, anak-anak, mama dan Ameera sudahpun sampai di Melaka. Tahun ini, insya Allah semua anak-anak Khairi akan berkumpul di Melaka. Aku tidak boleh ingat barang satu tahun yang kami berlima beradik beraya bersama pada hari raya pertama. Memanglah tak boleh ingat – memang tak ada! Yang sudah kahwin akan tetap dengan sistem penggiliran balik kampung. Tetapi sejak rumah yang aku beli di Melaka siap dan boleh diduduki, hari raya pertama tetaplah di Melaka. Aku dan Hadi tidak perlu bergilir-gilir hatta membaling dadu untuk tentukan giliran beraya. Krismas ke, Tahun Baharu Cina ke, semuanya di Melaka. Don’t mess with Melaka! (eh, tiba-tiba…)

Aku belum sempat ke kubur arwah abah dan arwah anakanda Cahaya Balqis di Tanah Perkuburan AU4. Hadi terlalu sibuk menyiapkan tesis. Hanya sekali sahaja kami balik ke Taman Permata. Hujung minggu yang lain banyak dihabiskan di rumah sahaja. Tapi tahun ini, aku okay. Tahun lepas yang mencabar sikit. Tarikh hari raya jatuh sehari selepas tarikh Cahaya Balqis meninggalkan aku. Emosinya lain macam…

Tahun ini konsepnya, tak mahu sedih-sedih. Banyak sudah rahmat yang tuhan berikan. Yang bersalam-salam sebelum cuti juga aku pesan, tak mahu sedih-sedih. Pesanan khidmat masyarakat yang kononnya meruntun jiwa sedu sedan hiba memang aku tak mahu tengok.

Persiapan hari raya juga seadanya. Aku tidak ada pakaian baharu, Hadi pun sama. Kami dahulukan anak-anak dan keperluan mama. Aku pun tak tahu mama akan masak apa untuk juadah pagi raya nanti. Tapi aku harap kuah kacang beliau yang datang dari syurga itu tidak ditinggalkan. Itu menu wajib..Aku bercadang untuk masak spagetti dan cucur udang pada hari raya kedua atau ketiga nanti. Masa itu, pandang rendang pun dah tak sudi.

Rasanya sampai sini sahaja dahulu aku menyusun cerita. Dari hati yang paling dalam, aku ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua. Maafkan sekiranya ada salah dan silap sama ada yang aku sedari ataupun tidak. Berhati-hatilah di jalan raya dan santunilah semua manusia yang ada disekeliling kita.

Salam ikhlas,

Siti Nurbaini Khairi a.k.a akusangpenerbit

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *