Rokok Salem..

 

Satu petang aku melintas dikawasan kejiranan. Memang sejak lahiriah aku suka berjalan-jalan walaupun tanpa tujuan. Aku kebetulan lalu di kawasan perumahan tempat salah seorang dari kawan-kawan bermain rounders tinggal. Dia paling tua antara kami semua. Kalau tak silap, dia dalam darjah 5 masa itu. Aku, 6 tahun 🙂

Dia duduk di tepi longkang dan kakinya tegak dipaut tangan. Kepalanya sedikit tunduk.. Kala aku menyapanya, aku perasan matanya merah. Dia tengah menangis. Aku hanya duduk dan temankan dia sampailah dia menunjukkan tanda-tanda nak bersembang.

‘Kau apahal’ aku bertanya. Bahunya terhincut kembali. Ah, sudah..mamat separuh darah barat ini menangis kembali. Aku tak ingat sangat apa puncanya, tapi secara ringkas dia melarikan diri sekejap kerana ibunya tengah mengamuk. Mengamuk kerana rokok Salem sudah habis. Yang aku tahu, bapak diorang sudah lama tak balik rumah. Apa kerjanya pun aku tak tahu.

Hmmm…aku seluk poket. Ada 40 sen. Pantas aku ajak dia cari duit tengah jalan. Mana tahu ada syiling tercicir. Untung-untung jumpa duit kertas. Dia langsung setuju. Kami masuk keluar longkang, ronda padang dan berjalan mata meliar mencari syiling. Mungkin kerana kami gigih, tak sampai sejam akhirnya berjaya kami kumpulkan RM 2 lebih.

Kami berjalan menuju TC Permata dan membeli sekotak rokok Salem. Harganya tak silap aku sekitar seringgit lebih. Barulah mamat tu tersenyum bila rokok ada dalam genggaman. Dia paksa aku teman dia balik supaya mak dia takde alasan nak mengamuk depan tetamu.

Aku agak takut-takut…Mak dia sedikit besar dan nampak garang. Cakap melayu sepatah dua aje tahu. Aku langsung lupa dari mana asal makcik tu tapi sampai sekarang namanya aku ingat. Kedua beranak speaking London di dapur membiarkan aku seram-sejuk di ruang tamu. Adik-adik dia semuanya kecil lagi memandang aku tanpa perasaan. Suara mak dia yang besar seakan jelas dipendengaran, kemudiannya sayup. Tak sampai seminit kedua mereka keluar. Aku nampak mamat tu tersenyum. Makcik tu pulak meluru ke arah aku dan mencium pipi aku mengucapkan thank you sweetheart, ada something something pasal life savior kejadah.

Kemudian dia membancuh teh panas dan menghidang biskut kering untuk kami berdua. Bila mak dia sudah naik ke bilik, mamat tu speaking London membebel apa benda aku tak paham sangat (Umur 6 tahun aku tak reti sangat bahasa Inggeris kecuali yang mudah-mudah). Tapi yang ini dia cakap melayu, “kalau kau bagitau dekat kawan-kawan lain aku menangis aku tumbuk kau” katanya seolah amaran. Aku tak bagitahu sesiapa pun, in fact hari ini baru aku tuliskan kisah ini untuk kenangan aku sendiri.

Dia lupa pukulan bola rounders aku bila-bila masa boleh singgah kat nunek dia lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *