Rekishikaido – Ohai, Nara

Hari ini genap seminggu aku berada di Hyogo. So far, tiada masalah sangat menyesuaikan diri. Makan pun bukan masalah besar. Kalau tak kisah makan onigiri setiap hari makanya bolehlah survive di sini. Aku masih setia masak. Stok yang ada perlu dihabiskan untuk ringankan beg. Cuma aku rindu nak makan sambal yang pedas aje.

Rindu itu biasa…itu lumrah manusia. Setiap kali video call dengan Hadi, Eskandar akan ambil teddy bear kecil dan peluk setiap kali aku nyanyi untuk dia. Sekali tu Hadi cakap dia mula cari aku. Ok, goyah sikit tetapi tidaklah sampai menangis diperdu katil.

Hari ini kami akan melawat Nara. Pengetahuan aku pasal Nara kosong..pasal beautifulnara lagilah hampeh geduak. Satu-satunya Nara yang aku ingat ialah roti canai Bangnara di pekan Krabi.

Seperti biasa, rutin kami ialah berkumpul di lobi dan kemudian bersemut-semut menuju ke Stesen Sannomiya untuk ke Stesen Iwaya. Kemudian, berpeluh-peluh sampai di pejabat JICA.

Sebelum ke Nara, kami mengikuti kelas khas Touch With The Spirit of Japan. Sebelum itu, Rekishikaido bermaksud historical travel route. Ia disampaikan oleh Masayuki Kusumoto dari Rekishi Kaido Promotional Council.

Dalam setiap kelas/ceramah, kebanyakan penceramah dan pensyarah akan mengaitkan tentang sejarah Jepun dari zaman emperor sehinggalah selepas perang dunia kedua. Yang ini kalau nak faham lebih bolehlah buat kajian sendiri. Cuma apa yang menarik minat aku ialah tentang pengaruh China terhadap budaya dan peradaban Jepun. Sejak kecil aku selalu keliru dengan tulisan, perkembangan tekstil dan warisan lain negara Jepun sebab sukar aku bezakan. Nampak sama aje. Sampaikan bila aku tengok tulisan Jepun, aku rasa aku nampak karakter tulisan Cina (memang ada rupanya).

Hari ini aku dapat jawapan terhadap semua soalan yang pernah berlegar dalam fikiran aku sejak kanak-kanak lagi.

Pada zaman Dinasti Tang di China (630-894), Jepun telah menghantar ahli akademik, anak-anak kerabat, kakitangan kerajaan dll ke China. Mereka kemudiannya balik ke Jepun dan menyebarkan ilmu yang mereka dapat dari China antaranya dalam bidang tekstil dan fesyen, penyebaran agama Buddha dan pendidikan. Hampir 17,000 buku dari China dibawa balik ke Jepun. Jepun kemudiannya mencipta Hiragana dan Katakana (huruf fonetik) pada abad kelapan dan ini meningkatkan kadar literacy dalam kalangan rakyat Jepun.

Semasa era Edo (Tokugawa Period – 1603-1868), Jepun mengamalkan dasar Closed Door Policy. Orang luar tak boleh masuk, orang Jepun kalau sudah keluar, tak boleh masuk balik. Pasti ada keburukan dan kebaikan sepanjang sistem tutup pintu itu dilaksanakan. Salah satu kebaikan sistem ini ialah kesenian dan budaya mereka adalah yang asli, tiada saduran dan pengaruh budaya negara lain. Contoh paling solid ialah Kabuki, Sumo, Bunraku dan Okiyoe. Keburukannya pulak ialah tidak ilmu yang tidak berkembang. Negara lain sudah ada meriam, mereka masih pakai katana (pedang). Dasar Tutup Pintu ini dinamakan Polisi Sakoku. Sehinggalah ketibaan Commodore Matthew Perry pada 1853 baharulah Jepun membuka pintunya semula. Jepun kemudiannya menyerap beberapa pengaruh barat antaranya dalam bidang teknologi dan kemasukan agama Kristian di Jepun adalah rentetan Dasar Buka Pintu ini.

Ok, berbalik pada Nara. Nara sangat istimewa. Ia menyimpan banyak misteri dan sejarah purba. Kalau hendak diceritakan, makan minggu juga. Kerana itu kami dibawa melawat Nara selepas kelas berakhir.

Sebelum itu, kami makan tengah hari di luar pejabat JICA. Tidak lama kemudian pak angkat aku, Nakatani-san pun join sama. Kami kemudiannya menaiki bas untuk ke Nara.

Destinasi pertama yang kami pergi ialah Akashiya. Di sini kami belajar cara membuat berus kaligrafi. Sebelum pegang bulu-bulu yang ada atas meja tu, aku perhati dahulu dari binatang apakah datangnya sumber bulu? Antara bulu bintang yang digunakan ialah arnab, tupai, kambing, kuda dan kucing. Bulu yang paling mahal ialah bulu kambing, boleh mencecah 100,000 yen! Kalau nak guna bulu manusia pun boleh, tapi gunalah rambut bayi yang baru lahir.

Agak rumit juga proses ini. Untuk menghasilkan berus yang baik, bulu binatang-binatang ini akan digabungkan. Ada proses sisir-menyisir, rendam dengan gam rumpai laut dan banyak lagi. Nampak aje mudah. Kami kemudiannya diberikan 2 berus yang belum siap dan melakukan sendiri proses noriire dan naze (rendam bulu dalam gam dan buang gam dengan menggunakan benang). Aku duduk depan sensei. Kalau ada proses yang tak betul, laju aje dia tegur. Siap juga akhirnya. Bangga kejap. Sebagai cenderamata, kami dibenarkan membawa balik berus yang kami siapkan tadi. Di Akashiya ini ada menjual berus untuk kosmetik. Aku nak explain pun payah sebab aku tak bersolek. Ada juga peserta yang beli. Berus itu lembut katanya…kalau kasar berus bajulah kot!? ­čÖé

Selepas itu, kami dibawa ke bandar Naramachi. ┬áDi sini kami dibawa melihat kilang lama (machiya) yang wujud di akhir era Edo sehinggalah ke era Meiji. Nara adalah bandar yang banyak menerima pengaruh dari China terutama ajaran Buddha. Tempat ibadat yang utama di Jepun adalah ‘Shrine‘ untuk penganut Shinto dan ‘Temple‘ untuk penganut Buddha.

Di atas ini ialah penjaga ‘Deity‘ di dalam Shrine. Ada sepasang. Satu mulut tertutup dan satu lagi yang mulut terbuka macam dalam gambar ni.

Di shrine ini, kalau nak pasang hajat ke, nak jodoh cepat ke, bolehlah ke sini. Nampak tak tali-tali putih yang diikat di kaki singa itu?  Dikatakan wanita yang sudah berkahwin mengikat tali putih pada kaki penjaga ini untuk hajat agar penjaga ini menjaga suami mereka. ?

Aku ada ambil satu lucky fortune, 200 yen, tapi tulis Jepun la pulak. Aku minta Katayama-san terjemah apakah kisahnya. Dia kata this is the best. Banyak orang nak bacaan ini. Ok, ini lebih best…dia kata aku akan ada banyak property, ada anak, berjaya dalam pendidikan dan akan ada kemajuan kerjaya. Cuma aku kena jaga kesihatan. Ini dia yang kata…aku ingat aje. Jadi lepas aku balik dari Jepun ni, rasanya┬ákonfem raya meksiko ­čÖé

Seterusnya kami ke Nara Park. Tempat ini banyak rusa. Aku sakit kepala sebenarnya sebab maunya tengik. Lagi satu, aku takut dengan rusa tu. Tapi untuk kenangan aku tadah dan tabahkan juga. Sebelum rusa tu mula menyondol, aku cepat-cepat lari. Tapi Kak Dilla steady aje kena gomol dengan rusa tu. Dia pun dah mula rindu dekat kucing dia. Rusa buat lepas geram, katanya.

Aku pandang kiri kanan, asyik shot rusa mengeluarkan najis aje.

Todai-ji Temple terletak sekitar kawasan ini. Dikatakan Dewan  Daibutsu-Den adalah the largest single wooden structure di dunia.

Katanya kalau dapat melalui lubang empat segi tu, dapatlah tiket ke ‘syurga’.

….sebenarnya banyak lagi cerita dan gambar menarik yang aku mahu kongsikan. Tapi tak cukup masa sebab aku kena packing. Esok akan ke Tokyo. Apapun gambaran tentang warisan Jepun yang aku asas semuanya ada dalam catatan ini.

P/s: terima kasih, Aifa untuk gambar dan info

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *