Pertama Syawal Ini..

image

Sebelum mengarang lebih panjang, aku ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin buat para pembaca blog sederhana ini, rakan-rakan yang dihormati serta para stalkers yang kepingin mengetahui perkembangan hidup aku yang meriah ini.

Pertama Syawal ini…pertama kali beraya bertiga, pertama kali juga berpantang dihari raya. Semuanya berbeza sejak hadirnya Eskandar Dzulkarnain dalam hidup kami. Sehari sebelum raya, kami bawa ED balik ke PJ Oldtown untuk kali pertama. Maklum ajelah, mama dan kakak sibuk dengan persiapan raya. Apa sangat boleh aku bantu. Baik aku balik PJ dan siapkan essei yang diminta oleh pihak universiti.
Malam itu ED sentiasa berjaga setiap jam. Jenuhlah aku dan Hadi bergilir-gilir menjaga anak. Memang tak cukup tidur dibuatnya sampai pagi raya kami terlajak tidur. Tidur itu sangat nikmat dipagi Syawal. Adik-beradik lain semuanya sudah siap dan mulai bersarapan diikuti sessi meminta mamaaf Terasa bersalah dalam hati bila tengok ED dah siap berbaju baru..Aku dan Hadi pulak mengantuk tahap mega. Disebabkan ED sudah comel dipagi raya, dengan pantasnya kami berdua bersiap dan memulakan kunjungan ziarah pertama, ke rumah Mamak Tahir di Kuala Selangor. Kemudian kami ke rumah Mamak Kamal di Kajang. Di situ, kebetulan Maksu dan keluarga ada. Makanya pada Syawal pertama dapatlah dia berjumpa 3 adik-beradik dari 9 bersaudara.

Esoknya, kami balik ke Melaka untuk beraya di sana. Aku bawa Mama dan Ameera sekali. Mujur masih ada hotel yang boleh disewa,meskipun harganya luarbiasa mahal. Alang-alang di sini, kami melawat Adeq yang sudah seminggu berkerja di Melaka dan
Mami, kakak Mama. Saudara-mara belah suami turut kami kunjungi iaitu rumah nenek dan Pak Long. Nyatanya semua orang teruja melihat ED. Itu belum masuk Makcik Ella dan Maksu yang kebetulan beraya dirumah mak.

Setelah dua hari di Melaka, kami kemudiannya ke Tapah untuk menghadiri majlis persandingan adik kepada Abang Jas. Kemudian kami beraya di rumah Hasina di Parit Buntar. Bermalam di homestay sana membuatkan aku rasa malas nak berjalan. Rumah itu sangat selesa. Mahu rasanya terus bermalam dan berehat di sana. Malam itu kami dibawa pekena Mee Udang Berasap. Memang berasap-asap bila sampai dan ia sangat sedap dimakan ketika panas.

Keesokan harinya kami bergerak ke Alor Setar, rumah adik ipar aku. Kemudian, kami beraya ke rumah Akmal dan dijamu dengan laksam kedah. Itu adalah kali pertama kami semua makan laksam kedah. Sumpah sedap, sampaikan anak Saudara yang konon-konon tak suka makan pun menambah berkali-kali. Kami bermalam 2 hari di Kedah. Sepatutnya Hadi mempunyai agenda melepak dengan rakan-rakannya termasuk seorang sahabat beliau yang balik dari Australia. Tapi agenda itu gagal sebab member tu beraya di Baling. Apapun mujur pagi itu kami melawat Menara Alor Setar dan Kemudian meraikan hari lahir Faiz.

Sebelum balik KL, kami beraya di Anak Bukit dan Kemudian ke Manjung. Raya kali ini padat dengan kunjungan ziarah ke rumah kawan-kawan Hadi. Adalah juga kawan,dari aku yang berapa kerat aje tinggal.

Pertama Syawal ini memang baru untuk aku dengan kehadiran ED. Apa juga yang dibuat semuanya mengambil kira keselesaan ED. Kadangkala bila dia meragam tu aku susah hati juga, seolah aku bukan mama yang baik sebab tak faham apa yang dia nak. Dalam pada masa yang sama, aku kena adil pada bapanya juga. Kasihan Hadi berulang KL-Klang sepanjang aku berpantang. Jadi Sabtu lepas kami mencuba trial run untuk bermalam di PJ. Kalau beraya, aku sudah boleh menguruskan diri dan ED di sana sahaja. Tidaklah jauh sangat Hadi berulang ke pejabat.

Nan hado…misi gagal. Aku hampir tension sebab kerja semua terbengkalai dek ED yang tak mahu tidur sendiri. Asyik nak kena pegang aje.

Kepada rakan-rakan yang mengirim ucapan raya dan berkunjung ke rumah, terima kasih diucapkan. Kisah Syawal kami belum habis lagi. Mana tahu seminggu dua depan lebih meriah dan terisi.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

2 thoughts on “Pertama Syawal Ini..”

Leave a Reply to akusangpenerbit Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *