Permulaan 2019…

Bermula 2 Januari, penuh timeline dengan posting rakan-rakan berkongsi keterujaan anak-anak mereka memasuki alam persekolahan. Aku tidak terkecuali, sungguhpun bukanlah tahun pertama mereka ke tadika. Cuma istimewanya, ini tahun pertama Ezzudin bersekolah di sekolah khas swasta kerana dia autisme.

Bermula Disember, aku sudah mula menukar pola waktu kerja. Kalau dahulu WP2, bermula Januari bertukar WP1. Sebelum lalat bangun sudah keluar rumah untuk mengejar LRT. Merasalah berjalan dari stesen LRT Kerinchi atau Abdullah Hukum dalam suasana nan tenang dan syahdu sambil ditemani beberapa lagu Hindi yang sengaja dipasang dengan volume maksimum tanpa earphone. Risau juga ralit pakai earphone, tiba-tiba jadi sesuatu dalam keadaan aku tidak sedar dengan persekitaran.

Juga setiap pagi mengingatkan aku suasana seolah-olah masih di Jepun setiapkali aku berada dalam tren. Bila sampai di Kerinchi, aku melalui satu ‘angkringan’ seolah di Yogyakarta dan ketika melintasi kuil, seolah-olah aku di Amritsar. Ha, begitulah perasaannya setiap pagi, setiap hari. Jujurnya, sangat tenang dan mengimbau nostalgia.

Semalam hari pertama aku berkejar balik kerana sekolah Ezzudin mengenakan kos lebih masa RM15 sejam bermula pukul 5:40 petang. Mujur ke stesen LRT dapat menumpang rakan yang kebetulan laluan yang sama. Jadi, masa yang diambil kalau berjalan kaki belum diuji lagi. Juga kalau cuaca tidak mengizinkan. Hampir satu jam perjalanan, aku tiba di stesen LRT Putra Heights dan terus menempah Grab. Mujurlah sekarang Grab boleh berhenti di dua lokasi.

Mungkin rezeki anak-anak, aku dapat pemandu yang sangat baik. Sayangnya, aku tak ingat di mana aku simpan nombor telefon pemandu tersebut sebab semalam sangat memenatkan. Dari LRT Putra Heights, terus ke sekolah Judin. Judin pula mungkin kerana tidak biasa dengan “kereta” yang dinaiki agak berperangai juga. Hmm…hampir 6:00 petang juga aku sampai di sekolah ini.

Mungkin kerana dia kasihan pada kami, dia tidak keberatan mengambil Eskandar di lokasi ketiga pula. Aku hanya perlu tambah RM2 sebab jarak antara rumah dan tadika Eskandar tidak sampai 2km. Selesai 2 masalah besar walaupun cas lebih masa tetaplah kena satu jam semalam.

Sampai sahaja di rumah, terus ke dapur memasak makan malam. Sempat aku maklumkan pd Hadi aku sudah amik Eskandar jadi dia hanya perlu balik terus sahaja. Terkejut besar dia semalam. Usai uruskan anak-anak, baharulah aku dapat curi masa 30 minit untuk diri sendiri. Fuuuh, barainya tak tahu nak cakap. Insya Allah bila jadi rutin, semuanya macam angin lalu.

Tidak habis di situ, hari ini bermula kami sekat masa anak-anak menonton TV. Aku terus bawa Eskandar naik atas, sementara Hadi menguruskan Judin. Ini adalah masa mengulangkaji pelajaran untuk anak-anak. Kalau dua-dua anak ada serentak, alamat apapun tak jalan sebab salah seorang akan menggangu seorang lagi.

Pertama kali, pukul 9:00 malam Eskandar sudah merayu-rayu nak susu, menguap dan mahu tidur. Aku sempat habiskan satu buku sahaja untuk dia baca. Itupun buku bahasa Inggeris. Bahasa Melayu langsung dia tidak mahu. Dia menghafal masalahnya, dia tak boleh ingat banyak dalam satu masa. Serius aku cuba bersabar, dan terlepas jerkah juga barang 5km. Sabar lagi Benny, sabar!

Judin pun sama. Masa suruh mengulangkaji bukan main panjang menguapnya. Jadi kami berdua dapatlah formula untuk tidurkan anak awal iaitu dengan mengulangkaji dengan mereka sampai mereka letih.

Disebabkan itu, aku sendiri lena awal. Tersedar pukul 2:00 pagi sebab Eskandar minta susu. Pukul 4:00 pagi bangun untuk menyiapkan bekalan Judin pula. Oh, kami kena sediakan sarapan untuk Judin setiap pagi. Semalam Hadi beli nasi dagang, langsung tak luak. Mungkin sebab dalam nasi tu ada halia, bawang dan awas-awas lain jadi dia tak mahu makan. Maka dapur Kak Benny lekung-lekang dengan bunyi lesung tumbuk sebab aku masak nasi goreng pagi tadi. Harap-harap bekal tu kosonglah dia makan…

Hari pertama agak memenatkan…Aku hanya berpeluang bersembang dengan Hadi masa dia hantar ke stesen LRT sahaja. Jadi semalam misi untuk ambil Judin sebelum 5:40 petang gagal. Maknanya memang setiap harilah gagal. Jadi Hadi macam pegawai pitidi tanya “apa solution yang yu rasa?” Ewah-ewah mak embong sangat.

Ai rasa you kawen lagi satu ajelah untuk tolong ai…

“Eh, kesitu pulak perginya!”

Kami pun berhuhuhu di subuh yang hening bersama-sama…

Sekejap aje semua ini sementara anak-anak hendak membesar. Aku akan lalu dan berharap tuhan berikan kesihatan yang baik dan bantu aku melalui semua laluan yang disuratkan ini. Ganbatte kudasai ya Kak Benny!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *