PERAK MAN

Memang sudah lama aku berhajat mahu ke Muzium Arkeologi Lenggong. Beberapa minggu lepas hampir ke sini tetapi hajat itu dibatalkan sebab aku bawa anak-anak. Tak sesuai sangat…Jadi kali ini aku cuba lagi sekali selepas memujuk tuan tabib dengan masakan Selera Bendang dan Jagung Meleleh di Kuala Kangsar.

Mujurlah tuan tabib sentiasa tidak keberatan melayan citarasa liburan aku yang tak sama macam manusia lain kerana suka amat mencari makam, kubur, replika dan tapak sejarah. Ada masa aku suka dengar muzik, ada masa aku suka deru pantai. Dan ada masanya aku suka mencari sesuatu punca dan tinggalan peristiwa bersejarah.

Tidak sukar untuk ke sini atas bantuan Google Maps. Sebenarnya tarikan aku untuk ke sini adalah untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Perak Man atau Orang Perak. Orang Perak ditemui pada tahun 1991-aku dalam darjah 4 masa itu dan penemuan bersejarah ini pada aku tidak begitu signifikan. Maklumlah budak…Cerita perkahwinan Ogy dan Eman Manan lebih menarik untuk disembangkan. Haibat bukan Kak Benny kala itu…

Orang Perak adalah rangka manusia tertua yang dijumpai di Gua Gunung Runtuh,Bukit Kepala Gajah – Lembah Lenggong, Hulu Perak. Dipercayai Orang Perak adalah manusia dari zaman Paleolitik. Rangka dan tulangnya hampir sempurna tetapi mempunyai sedikit kelainan atau congenital deformity yang dikenali sebagai Brchymesophalangia. Berdasarkan video yang ditonton, diilustrasikan Orang Perak ini berjalan secara bongkok dan saiz kaki kiri dan kanannya tidak sama. Tangan kirinya dikatakan lemah dan salah satu jarinya cacat.

Ketika ditemui, Orang Perak dipercayai dikebumikan dalam posisi foetal (kedua kakinya berlipat ke arah dada). Turut ditemukan ialah beberapa peralatan batu dan beribu-ribu kerang sungai. Berdasarkan penemuan ini, pakar sejarah merumuskan bahawa Orang Perak merupakan ahli penting bagi puaknya.

Aku pula mempunyai pendapat yang jauh berbeza dan pemahaman aku tidak disokong dengan bukti-bukti kajian kewujudan marga ditambah aku bukanlah ahli. Aku masih dengan doktrin yang menghala kepada konsensus kemungkinan Perak Man dianggap pembawa sial atau malapetaka kerana dia tidak normal seperti yang lain. Hakikat dia dikebumikan seperti sorang yang mempunyai status yang tinggi dalam masyarakatnya pula akan menyanggah teori aku tadi kerana mungkin kerana keunikan Orang Perak dia membawa tuah? Perlu ditimbangkan kala itu lahar letusan gunung berapi menjadi antara bencana yang menggugat populasi manusia. Sudahlah dulu…nampak kurang bijak kalau aku kayuh lebih jauh sebab aku bukan ahli.

Keadaan dalam muzium ini agak eerie. Berapa kali aku seram sejuk tak payah ceritalah. Aku diam sahaja sebab tidak mahu buat tuan tabib pulak trigger. Aku membaca catatan agak laju berbanding dia yang lebih teliti. Jadi bila aku di depan dan dia seakan lama tak muncul, haih mulalah aku rasa semacam juga.

Difahamkan rangka Orang Perak ada di sini. Ya aku ada perasan satu tempat yang seolah-olah berupa rangka dan tengkorak. Namun tempatnya agak gelap dan aku rasa enuff dulu kot bermain-main dengan imajinasi yang nakal. Sebab kalau aku cerita tentu ada yang tidak percaya dan kata mainan perasaan aku sahaja. Fine…

Aku hampir bertegang juga dengan tuan tabib sebab dia cakap itu replika aje. Siap “yu tahu tak replika tu apa?” Hampir baran aku dalam muzium nan samar bayangan disebabkan terasa seolah argument aku tak berasas…

Ok takpe. Di tingkat 1 kami menyaksikan tayangan video berdurasi hampir 24 minit tentang penemuan Orang Perak. Dalam muzium ini hanya aku dan tuan tabib sahaja. Aku duduk seat depan macam seat kantin sekolah dan Hadi duduk seat belakang. Aku pun tak tahu kenapa dia tak mahu duduk sebelah aku.

Ketika part ekskavasi, tiba-tiba pinggang aku terasa macam dicuit – kuat! Aku pandang belakang. Hadi tengah membelek telefon dan terus memandang aku. Maybe sebab dia terkejut refleks aku yang agak pantas.

Aku ambil nafas dalam-dalam dan teruskan menonton. Aku tak kacau sesiapa kot….

Usai tayangan kami terus balik dan ditemani dengan hujan panas yang aku sifatkan agak luar biasa. Kali terakhir aku alami hujan panas sebegini adalah semasa Sultan Selangor mangkat dahulu. Sambil memandu, aku tanya pada Hadi tentang perasan tak aku toleh belakang masa tengok tayangan video? Dia cakap dia perasan.
Aku tanya, dia cucuk pinggang aku ke?
Dia kata tidak…
Aku cakap aku rasa pinggang aku kena cucuk…kuat.
Dia cakap perasaan aku sahaja.
Hmmm…okay. Aku angguk perlahan. Dia pegang tangan kiri aku dan minta aku lupakan semua ini.

Malam itu juga kereta yang aku pandu hampir dirempuh lori tangki….

Ini semua perasaan nakal yang cuba mempersoalkan kepercayaan aku pada qada dan qadar. Seperti biasa, kalau serabut sangat dengan sesuatu yang aku tak boleh digest, aku akan berteleku bawah air pancur. Kemudian aku paksa Hadi teman aku makan megi goreng. Sementara menanti megi siap, aku sempat membaca pasal Orang Perak dan berdasarkan maklumat, Orang Perak memang ada kat tempat tu tadi. Takpelah tu…

Esoknya aku ajak dia pergi Gua Tempurung…
“Takmo…”
Kerana itu keesokan harinya aku di Kompleks Pasir Salak pula. Move on sudah. Dan aku tak akan singgah lagi mencari Perak Man…

P/s: dibenarkan ambil gambar dalam muzium ini tetapi aku tak ambil banyak sebab banyak yang ada batu sahaja. And jangan jadikan pengalaman aku asas untuk korang tak datang pula. Ini pengalaman aku…mungkin pengalaman korang berbeza.

#apabilakakbennymenulis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *