Pattaya Hari 1 : Wah, Lamanya Tak Berjalan!

P_20160117_131232

Rasa sangat teruja untuk memulakan hari ini. Barang-barang sudah siap packing daripada semalam. Ala, takde apa sangat pun yang aku bawa. Beberapa barang keperluan harian dan 2 pasang baju sahaja. Beg sedikit besar, sebab aku bercadang untuk buat sut. Kalau ada pakaian yang menarik di sana aku beli aje. Itu lebih senang.

Seawal pagi aku dan Hadi menyiapkan anak-anak. Mandikan mereka, bawa pergi sarapan dan siapkan barangan keperluan mereka yang mana yang tak ada. Ini pertama kali kami mahu berjalan berdua. Kalau ikutkan memanglah nak bawa anak bersama-sama. Tapi aku dengan Hadi memang perlukan percutian berdua ini sesungguhnya. Jadi budak-budak, lain kali kita pergi bersama-sama ya.

Penerbangan hari ini ke Pattaya dijadualkan pada pukul 2.25 petang. Asalnya mahu minta adik aku hantarkan ke KLIA2. Disebabkan dia pun macam tak cukup tidur, aku cadangkan naik teksi sahaja. Setidak-tidaknya aku tahu kadar ke lapangan terbang dari Bandar Saujana Putra. Jadi kadar dengan menggunakan meter adalah dalam lingkungan RM48-RM50.

P_20160117_140148

Pertama kali ke KLIA 2, dan selepas 3 tahun tidak merasa naik kapal terbang, aku terbangang-bangang di situ. Nak check-in pun tak ingat macam mana nak buat. Mana nak beratur, mana nak tuju. Mujurlah lapangan terbang itu tidak berapa sibuk. Dalam tersiput-siput akhirnya berjaya juga urusan pendaftaran. Kami masuk agak awal. Alang-alang menunggu, lepak dahulu di Gloria Jeans sambil membincangkan apa benda kami nak buat bila sampai di Pattaya nanti.

Pengalaman naik kapal terbang selepas tiga tahun tak merasa terbang memang agak menakutkan. Ini kali pertama aku terbang selepas insiden MH370 dan MH17. Jadi perasaan takut memang menggila tapi kutahan, Jebat! Penerbangan mengambil masa selama 2 jam sahaja. Sekejap tidur, sekejap jaga, tahu-tahu dah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa U-tapao.

P_20160117_163626

Lapangan terbang di sini sedang dalam proses naik taraf jadi ia tidaklah elok sangat pada pandangan mata. Di sinilah permulaan pengalaman yang lama sangat tidak aku rasakan iaitu pemeriksaan imigresen. Ada 2 pesawat yang mendarat dan hanya ada 2 kaunter sahaja yang dibuka. Yang serabutnya, ada 3 barisan yang macam ular kena palu dan aku berada dibarisan yang keliru itu. Oleh kerana ramai sangat dan barisan nampak macam tidak bergerak, aku beransur sebentar ke tandas. Tak sempat masuk pintu tandas, satu pengumuman dibuat dalam bahasa Thai dan tiba-tiba semuanya berebut membentuk satu lagi barisan. Hadi memang tabah, dia setia di barisan yang sama.

Selepas aku mengosongkan tangki, aku mendapatkan Hadi dan nyata barisan itu masih kejung dekat situ jugak. Aku memang agak baran kala itu sebab tengah datang bulan. Badan memang rasa ringan aje nak mengamuk. Aku intai kiri-kanan dan lihat barisan di kanan sekali manusia yang beratur tidak ramai. Dan aku perasan ada satu kakak Cina yang satu pesawat dengan aku sedang beratur dengan mendukung anaknya yang dalam usia 2 tahun begitu.

Mungkin sebab aku sahaja manusia bertudung di situ, aku disapa seorang remaja Thai di depan kakak tadi. Dia cakap lorong ini untuk warga Thai sahaja. Ah, sudah! Barisan yang lain masih tak bergerak! “Takpe rasanya sebab kami ini antara warga Thai yang terakhir. Mungkin selepas kami selesai mereka boleh melayan warganegara lain” begitulah lebih kurang selepas direct translation perbualan tadi. Kakak Cina tadi pun bersembang dengan aku selepas terdengar penjelasan remaja Thai tadi. Dia cakap kita stay aje barisan ni. Lagi pula kita tidak memotong mana-mana barisan warga Thai yang lain.

Aku iyakan aje. Tapi aku tidak nafikan aku mula serabut. Belum keluar lapangan terbang dan tersangkut dengan sistem yang macam siput seperti ini. Apabila giliran aku ke kaunter selepas remaja Thai tadi selesai, kakak imigresen muka ketat tu membebel-bebel lapan harakat bahasa dia. Aku assume dia pekik ada lagi tak warga Thai yang tercicir? Soheh memang remaja tadi yang terakhir. Dengan keterpaksaan itu dia layan juga aku (dia memang tak ikhlas kerja agaknya sebab borang arrival aku dia tampal departure – yang aku sedar masa nak balik!)

Selepas imigresen. Sekarang masa mencari teksi. Melalui pembacaan, aku difahamkan harga teksi ke Pattaya dari lapangan terbang ialah sekitar THB800 untuk satu teksi. Namun kami disapa agen minivan yang menawarkan harga THB250 seorang untuk ke sana. Kebetulan pula dalam minivan yang sama ada 2 orang Cina, 4 Melayu dan 4 India! Dah macam yamseng menjerit Satu Malaysia.

P_20160117_171949

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit ke satu jam, mengikut keadaan trafik. Kami menginap di April Suites. Untuk ke sana, perlu meredah rumah-rumah lama dan lorong kecil. Tetapi keadaan hotel tidaklah seteruk pemandangan di luarnya. Ia amat selesa dan bilik airnya cantik walaupun tiada bath tub seperti gambar yang memperdaya pandangan aku membelinya! Mungkin bilik yang lebih mahal ada kot..

Selepas rehat seadanya, misi pertama ialah mencari motorsikal untuk di sewa dan pergi makan. Malangnya kedai sewa motorsikal di depan hotel semuanya stok motor habis. Kalau nak, kena tunggu esok. Memang takde maknanyalah. Kami kemudian berjalan dan mencari kedai lain. Sehari sewa THB250. Nak sewa selama 3 hari. Tawar punya tawar dapatlah THB50, cun harga tu 🙂

Satu lagi sengal di sini, takde peta! Selalu kalau kami ke tempat lain di Thailand senang untuk dapatkan peta dan meronda. Peta habis..semua orang bercuti ke Pattaya agaknya. Jadi kami redah sahajalah dan cuba mengingat jalan. Takdelah rumit sangat jalan di sini, tapi disebabkan sudah malam menjadikan edisi mengingat jalan itu agak rumit juga. Tambahan pula kami berputar-putar mencari stesen minyak yang entah mana-mana letaknya.

Misi kedua pula ialah meninjau-ninjau port makan halal. Mungkin disebabkan malam atau tak perasan, kami memang tidak berjumpa dengan kedai makanan halal. Mujurlah sewaktu Hadi membelah jalan aku perasan ada satu kedai halal. Terus kami berhenti dan makan di situ. Menu simple sahaja…nasi, telur dadar dan tomyam seafood. Air pula, tetaplah air teh air thai yang memang sedap rasanya. Entah kenapa ada juga sebiji telur mata kerbau sesat di situ. Dek kerana sudah lapar menggila, kami bahamkan aje.

P_20160117_201049

Selepas itu kami bergegas mencari kedai baju untuk menempah sut. Katanya di sini kita boleh dapat sepasang dengan harga sekitar RM300-RM350. Itu maksimum yang boleh aku spend untuk sepasang. Kalau lebih memang tak buat pun tak apa. Lagi pula pertukaran mata wang yang tidak memihak juga antara faktor aku sedikit berkira untuk menempah sut. Tapi fikir balik, alang-alang di sini buat ajelah. Kalau tempah di KL mahu RM700 – untuk sut yang berkualiti.

Tawar-menawar berlaku sekali lagi. Mula-mula dia mintak THB600, memang takdelah. Tapi pemilik kedai itu mengenangkan aku pelanggan terakhir dan kami mahu menempah 3 pasang, dia bersetuju. “Tak apalah…kita Asia dengan Asia. Nanti saya tekanlah pelancong Eropah” begitu lebih kurang katanya.

Selepas itu kami terus balik dan membuat perancangan untuk hari esok. Letih gile. Esok kami perlu ke kedai itu kembali untuk fitting seluar pula…mujur hotel tu best. Lena semalaman walaupun saluran TV di hotel ini menawarkan 75 pilihan saluran. Gilalah!

P_20160117_190755_PN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *