CORN DOG BIADAP…

 

Satu yang aku suka duduk di Melaka adalah Melaka ni syurga makanan. Segala mala yang pelik-pelik, yang viral, yang biadap dan bedebah sedapnya boleh korang jumpa di Melaka. Daripada asam pedas membawa ke mee besen, chicken rice ball ke keria antarabangsa, cocunut shake dan mango shake – semuanya tidak menghampakan.

Akhir-akhir ini, aku teringin sangat nak makan corndog mozarella cheese. Ada sekali aku beli di Pantai Dalam, dah macam paha ayam rupa parasnya. Rasa pulak setakat ok aje. Masih bersalut oksigen dan muak dimakan kalau sudah sejuk gedi.

Semalam, semasa misi mencari booba strawberry tiada satupun kedai yang jual corndog buka. Padahal semasa aku menyusur laluan Pantai Puteri beberapa hari lalu, aku perasan ada kedai yang jual makanan ini. Biasalah…bila Kak Benny kau nak, semua pakat-pakat tutup kedai. Ha, mee bandung paling sedap pernah aku makan di Melaka ini, kedainya sudah buka kembali selepas hampir 3 tahun buka suka-suki. Tapi tekak aku ni tak terasa nak makan. Kau tunggulah masa saka mee bandung aku datang…masa itu konfem dia tutup.

Ok berbalik cerita corndog. Sebenarnya tadi aku nak cari booba cokelat. Tapi kedai tu tutup. Kedai ni yang bukak. Paling best, ada dua kedai jual corndog – sebelah menyebelah pulak tu. Aku tersengih-sengih merayu corndog pada Hadi dan dengan senang hati dia tunaikan.

Ya ampun….inilah corndog paling biadap sedapnya. Tiada ruang oksigen, cheese boleh tarik 0.5 meter dari paras lidi dan rangup. Memang tidaklah aku berani nak cuba kedai yang lagi satu sebab aku takut dapat rasa hampa. Harga macam tempat lain juga, RM6 secucuk. Satu aje cukup…buat lepas gian.

Sekarang ni aku masih dalam misi mencari kedai booba paling best. Kalau jumpa nanti aku share…

Ok, nak tidur dulu. Esok anak-anak mula sekolah. Mama dia yang nervous. Anak elok aje. Oyasuminasai.
#apabilakakbennymenulis

SO…APA AZAM 2020?

Ada orang, setiap kali tahun baharu sibuklah dia mencipta azam. Ada manusia, dia pasang azam tak kira masa. Apa jenis makhluk berakal pun kita, asalkan ada azam bermakna anda ada sasaran. Pergilah jahannum bila biawak cakap azam aje lebih, capainya tidak. Sebab apa aku cakap macam tu? Sebab azam tu tiada tarikh yang tepat untuk dicapai. Azam itu kita sasarkan aje untuk capai pada tahun semasa. Kalau berjaya capai, tahniah badak! Kalau tidak, carry forward ajelah sampai azam itu jadi realiti.

Aku suka petik kisah ini bila cerita pasal azam. Masa aku jadi penerbit Selamat Pagi Malaysia lebih kurang 10 tahun dahulu, aku ada panggil 3 orang panel untuk bercerita pasal azam. Salah seorang panel, berbangsa India yang aku tidak ingat namanya berkata lebih kurang begini :-
“Tuliskan azam yang kita mahu dalam satu kertas. Senaraikan semuanya. Kemudian simpanlah kertas azam itu di satu tempat yang kita jarang jumpa. [Pemahaman aku adalah sorokkan kertas azam itu.] Satu hari nanti bila kita terjumpa kertas itu, akan ada azam yang kita tulis tercapai dan kita akan rasa berpuas hati dengan pencapaian kita.”

Sambil call shot, kepala otak aku berputar deras. Aku teringat catatan-catatan azam yang berlonggok dalam blog lama aku. Setiap tahun tanpa gagal aku akan tulis azam baharu tanpa revisit azam tahun sebelumnya. Kebanyakan azam yang aku tulis masih sama, bersifat carry forward.

Habis aje siaran, aku mula selongkar posting-posting lama. Sedar tak sedar, 70% azam aku tercapai, 20% berstatus carry forward dan 10% perlu execution dengan kadar segera. Tak payahlah share semua, aku share 20% yang berstatus carry forward tu azam nak kurus. Korang pun sama tersangkut kat skala 4 juga tang kurus-kurus ni.

Dan aku masih pegang kata-kata panel itu sampai sekarang.

Bila aku revisit balik azam-azam yang aku tuliskan dari 2010 – 2019, aku berjaya capai apa yang aku nak. Apa yang aku nak ini, bukan setahun punya azam terus jadi nyata.
1. Aku berjaya ada anak.
Ini makan tahun punya cerita. Usaha tak payah ceritalah, aku dapat juga. Berapa tahun aku berjaya capai? 7 tahun

2. Naik pangkat.
Aku masuk servis tahun 2005. Elok 5 tahun firasatnya sudah ranumlah untuk naik satu tangga. Aku boleh cerita panjang lebar apa yang jadi, pendek cerita – takde rezeki. 2017 baharulah naik satu takuk. Berapa tahun aku berjaya capai? 7 tahun bai…

3. Buat Sarjana
Kes berkait dengan di atas. Aku take a break kejap. Aku sepatutnya terus buat sarjana lepas habis ijazah. Disebabkan abah meninggal, aku terus kerja dan kuburkan hasrat itu. Adik-adik pulak masih kecil. Disebabkan situasi perihal 2, aku bulatkan tekad untuk cuti belajar. Berapa tahun aku berjaya capai? 11 tahun.

4. Belajar memandu & beli kereta
Ini paling epik. Sejak habis SPM punya azam, barulah tahun ini aku berjaya capai. Hilang dah penakut nak memandu yang bersaka dalam diri. Sebab anak-anak, aku kena jadi berani.
Berapa tahun aku berjaya capai? 21 tahun, gile!

5. Beli rumah
Hampir 7 tahun menyewa sejak kahwin. Nak beli rumah, asyik bertangguh aje. Sudahnya, tahun 2012 baru aku jumpa semi-D idaman hati. Berapa tahun aku berjaya capai? 6 tahun Hasbullah…

Ok, move on azam carry forward dan azam wajib tiap-tiap tahun.
1. Kurangkan berat badan
Setiap tahun, tanpa gagal berazam yang ini. Tidaklah kata tak berjaya langsung. Aku ni, kira solid la dari 10 tahun dulu. Tapi tahun ini aku berazam untuk lebih fit dan sihat. Sampai bila-bila pun azam ini kekal relevan dalam senarai.

2. Sambung PhD.
Aku sempat buat setahun aje pada tahun 2014. Stop sebab sibuk dengan anak-anak. Aku akan carry forward sampai dapat seru.

3. Setiap tahun, keluar dari Malaysia
Sama ada bercuti atau berkursus, I dont care. Aku hasratkan setiap tahun ke luar negara untuk kutip pengalaman hidup. Ada tahun aku berjaya, ada juga yang tidak. Tak mengapa…selagi boleh capai, kekal dalam senarai azam sampai bila-bila.

So, takde pertambahan azam ke? Gile takde…sebelum tahun 2020 tiba aku sudah ada azam itu. Tapi kali ini azam itu aku tidak ceritakan kepada umum sebab ia bersifat amat peribadi. Bila aku berjaya capai, aku pasti kongsikan. Ringkasnya, tahun 2020 nanti aku berazam untuk jadi lebih kuat, berani, gagah perkasa, perut Halle Barry dan pinggang Gwen Stefani. Kalau dapat, aku nak mula berlari. Dapat 5km ke 10km dulupun jadilah.

So, korang ada azam tak? Azam kena realistik. Jangan berazam nak kawin dengan Keanu Reeves pulak, sampai qiamat tak akan dapat. Realistik…ingat tu. Bombastik tak apa. Mister loba loba…
#apabilakakbennymenulis
#azam2020
#1of365

POKOK KARI NAN SEBATANG…

Ini belakang rumah yang baru aje selesai aku kemas. Gambar sebelum tak ambil. Tapi ringkasnya adalah semak ya amat macam Villa Nabila atau Mimaland sekarang. Takut nak kemas semalam…risau bertemu hewan nan berbisa. Mujur tiada.

Pokok kari tu, asalnya besar lengan aku aje. Tanam kat rumah aku di Bandar Saujana Putra. Siram dan siram, tak hidup. Kering kelayuan menanti gugur menyembah pasu aje. Induknya aku beli di Pasar Tani Taman Melawati pada tahun 2013.

Pelik aku…kenapa tak mekar macam tanaman yang mama tanam? Aku ni anak dia. Logik akal aku, bakat menanam dan menyubur hasil bumi ini perlu aku jadi pewarisnya. Ada yang cakap, nak tanam pokok ni hanya tangan-tangan tertentu aje akan menjadi. No…dakyah ayah Pin aje semua tu.

Aku bawak balik Melaka. Tanam belakang rumah. Sama juga kisahnya. Siram dan siram, nan hado. Aku kecil hati…merajuk. Tapi tak bawa diri. Macam kau minat orang, tapi orang tak minat kau balik walaupun kau bagi hadiah dan memberi rasa caring. Kau sabar ajelah dan berharap satu hari nanti dia akan sedar kewujudan kau di mayapada ini.

Duduklah kau…mereput di situ. Begitu aku tunduk mengalah sementara.

Tapi….
Usaha yang kerap dan tak putus itu satu hari nanti akan ada hasilnya juga. Seperti kesedaran terhadap orang yang kau minat tu…bila kau stop bagi attention, dia pun sedar betapa ada juga insan suci berdarah sakti, sedikit comel dan baik hati yang ikhlas mencintai dari jauh, dekat dan hujung simpang.

Lama-lama tu, dia mula hidup kembali. Makin lama, makin tinggi. Macam kasih sayang juga, makin lama makin subur bercambah bertuntas dan membiak. Kini pokok kari itu sedar bahawa hidupnya akan jadi lebih bererti dengan memahami konsep kasih sayang antara 2 hati dan juga fotosintesis. Dan aku tak pernah berdendam pada pokok kari nan sebatang ini.

Demikianlah pemirsa…buat baiklah sesama makhluk yang bernyawa. Hidup bersendiri, sombong dan bongkak hanya akan merugikan diri sendiri dan kuranglah nikmat hidup. Bukankah semua orang berhak merasa bahagia? Untuk itu, bahagialah bersama-sama.

Samarenda, kain samarenda
Samarenda darilah seberang…

Sekian catatan melepas lelah pasca menebas dengan kutipan 8 karung rerumput dan lelalang secara total.Kak Benny is super tired, lengan calar-balar dan bakal merengek memohon booba perisa strawberry pada Hadi kejap lagi. Pasti dia akan tunaikan. Bukan sebab aku ini isteri dia, tapi sebab aku dah bagitahu dia pagi tadi aku nak booba lagi.

#apabilakakbennymenulis
#kakbennyadakebun

MISI MENEBAS LELALANG DAN RERUMPUT

Servis potong rumput mintak RM50 untuk bersihkan laman semi-D yang dah berbulan tak bertebas. Aku cuma mintak Hadi belikan booba aje sebagai upah dan kasih sayang tak berbelah bagi.

The end is very near…

Bermula semalam kami berhijrah ke Melaka. Aku masih kerja di KL. Mungkin berulang, mungkin nomad. Hanya takdir akan menentukan. Tapi aku yakin tuhan Maha Pemurah dan Maha Mengasihani hamba-Nya. Doa aku hari-hari yang tak akan berhenti.

Satu masa nanti takdir kami akan bertaut kembali. Itu yang aku khayalkan sambil tulang 4 kerat menebas rerumput dan lelalang yang ada. Belum siap sepenuhnya. Mungkin esok atau lusa akan bersih laman ini. Tempat anak-anak bermain dan tempat Kak Benny bercucuk tanam.

Ada chilly…ada brendi…ada pelatok. Semualah aku nak tanam, termasuk durian mohtong. Kalau boleh cheese pun aku nak tanam. Cheese tak boleh tanam, gile. Kena bela ghambing. Hmmmm….
#apabilakakbennymenulis
#kakbennyadakebun

KONSERT SATU HIKAYAT : 40 TAHUN PERJALANAN SENI M.NASIR

 

Ini adalah satu catatan pengalaman satu malam berparti liar secara solo dan terpimpin oleh Kak Benny yang berjaya juga datang ke Konsert M.Nasir : Satu Hikayat di Plenary Hall, KLCC malam Ahad lalu. Sayugia diingatkan pengalaman ini dicatat oleh manusia yang sangat memandang tinggi kewujudan insan seni ini dalam dunia seni tanahair. Dia juga adalah antara ahli Kelab Sahabat M.Nasir yang paling muda ketika awal kelab ini diwujudkan. Kerana itu, dia adalah antara ribuan kipas mati yang memang kau mintak kena laharlah secara torpedo kalau mengutuk pakcik ini depan mata aku. Justeru semua catatan soheh nan muluk-muluk belaka, bukan Nan Saturnine.

Sebelum itu, terima kasih kepada tuan tabib atas hadiah ulang tahun perkahwinan yang ke-13 ini. Atas pemahaman sang pencinta, amatlah aku hargai dan sanjung tinggi. Terima kasih kerana menghantar dan mengambil saya dan menjadikan malam ini antara memori terindah yang pasti akan saya kenang…

Tiket Gold berjaya aku sapu 2 hari sebelum konsert hasil skodeng dengan penuh harapan kot-kot ada sesiapa nak let go tiket. Alhamdulillah….rezeki. Aku berjaya dapat satu tiket tapi gagal pujuk rakan-rakan yang ada untuk join sama. Masing-masing ada satu tali kuat yang dinamakan tanggungjawab kepada keluarga. Ok maklum…Kak Benny is kembara solo tanpa perlu berkias fansuri.

Selain tiket, dalam kepala otak aku nan geliga walaupun sudah bertahun tak makan Examo ini adalah mahu memiliki seutas jam tangan…bukan Licorne, bukan Boy London. Jam ekslusif Suatu Masa yang hanya ada 50 unit seumpamanya di dunia impian kita. Aku maklum harganya memang boleh membuatkan aku berpuasa sepurnama. Tapi dalam hati aku memang kuat nak satu. Nak merengek pada siapa? Mana ada bapa gula yang pemurah di zaman kemelesetan duit-duit dimana kau duit ini? Tapi tak pula aku mahu menyesal tersenut berhiba-hiba di empat penjuru sudut bilik nanti.

Jadi, sebaik kaki menjejak KLCC dan melimpas reruai Luncai Emas, langkah aku hayun ke reruai Artwist. Dah macam konflik kahwin paksa tapi dengan lelaki yang kau nak aku dibuatnya. Nak beli atau tidak? Jam display aku tenung, renung berulang kali. Jam itu aku pegang letak entah berapa kali dan aku betul-betul melalui konflik dalaman yang merantai. Kata abang Bo yang menjaga reruai itu, ‘belilah dan hadiahkan pada suami. Lelaki memang suka design jam Suatu Masa itu’. Woooooo….hampir aku menjerit macam Karen Mok dalam filem God of Cookery. Aku sendiri mahu jam itu-untuk aku-demi kita-demi waris-semua serangan yang datang kita tangkis dan demi cinta.

Hampir 15 minit jadi bingung, aku terpaksa telefon tuan tabib. Aku perlu suara emas yang boleh bagi nada veto. “B…ambillah. Ambil sekarang….ambil sekarang…ambil sekarang…”. Dia ulang berkali-kali sebab aku ni kalau dah gigil, tak boleh fokus untuk buat keputusan. Sebab itu ada pengulangan kata, bukan sebab dia tak kuasa nak layan. “Takpelah, ambil aje…ai belanja…ambil semua….” Itu pula adalah kata-katamu hanya khayalan aje yang tak mungkin terjadi walaupun aku memiliki bapak gula nan pemurah.

Usai mendapat restu, memang tak perlu aku berlari-lari kecil, langkah Usin Bolt aku aturkan. Transaksi bermula daaaaaan….akulah pemilik jam Suatu Masa dengan nombor siri 06!!!! Kenapa nombor 6? Sebab ia mengingatkan aku pada satu pertanyaan dari seorang rakan beberapa hari lalu. Aku post satu gambar cinta lama yang tiba-tiba ada nombor 6 pada kad itu. Dia tanya kenapa nombor 6? Aku takde jawapan…tapi akhirnya Ahad lalu aku temui jawapannya.

Dia ketemui apa dicari
Dia ketemui yang abadi…

Selain jam, aku turut membeli satu lanyard konsert ini sebagai kenangan, yang sudah selamat aku rasmikan semalam. Aku tak beli T-shirt
sebab tiada lengan panjang. Boleh aje memilih untuk pakai inner dan memakai t-shirt…patuh syariah maqasid juga penampilannya. Tapi aku tidak terasa nak beli pula. Sambil itu aku memerhatikan seorang abang ini yang datang ke reruai untuk memborong segala jenis baju mengikut tempahan yang dia dapat. Wowza sangat… Dan ada seorang lagi ni. Hai….dengki amat aku dengan dia. Seperti aku, abang itu juga membeli seutas jam tangan Suatu Masa dengan nombor siri 4. Yang dengki tu, dia beli tiket Meet and Greet. Dan dengki itu tidak habis di situ…

Sebelum konsert bermula, 3 kali aku ke bilik air. Maklumlah…aku yang beriya nak menyanyi masa konsert tu, of course aku nervous. Dari tengah hari, aku tak makan apa-apa. Minum air pun tak berani banyak sangat sebab takut perut tak selesa dihari yang salah. Sebelum masuk ke dewan, pegawai keselamatan yang bertugas memeriksa beg semua orang dan beberapa barang terlarang dirampas. Ada rokok…ada lighter…air mineral dan beraneka makanan kudap-kudapan kecil. Halls perisa Blueberry aku yang tak berdosa itupun kena rampas juga.

Aku memang tak tahu kedudukan aku dalam dewan macam mana. Cuma dalam hati aku harap, seat aku tu strategik la, dalam erti kata lain nampak stage dengan jelas. Yes, aku dapat betul-betul center. Disebelah kanan aku adalah seorang abang yang juga datang solo, manakala sebelah kiri satu couple yang masuk agak lambat. So aku tenang-tenang aje dan sedikit terganggu dengan manusia lambat yang lalu lalang. Bukan apa, laluan nak excuse me, excuse me tu memang sempit macam kapal terbang AirAsia. Kereta terbang aku tak sure…

Untuk konsert malam ini, boleh dikatakan aku rakam semua lagu – tetapi tidak secara penuh. Akupun nak enjoy the show juga. Aku kena rekod sebab aku tahu aku ni spisis lambat nak moved on. Dan aku takde buat perangai zaman remaja masa tengok Konsert Andalusia panjat-panjat pagar sampai kena marah dengan petugas RELA. Dah matang sikit hehehe…

Konsert dimulakan dengan tayangan video wayang kulit dan sketsa oleh Sabri Yunus dan Pak Dogo. Semua manusia yang berprestasi tinggi dan KBAT sudah boleh agak lagu Langgam Pak Dogo akan membuka tirai persembahan malam itu. Senarai lagu adalah seperti dibawah (harap takde yang tercicir…)

1. Langgam Pak Dogo
2. Anak-Anak Kita
3. Phoenix Bangkit Dari Abu
4. Keroncong untuk Ana
5. Sentuhan Listrikmu
6. Bila Rumi Menari
7. Tari Cinta Mistikal

M.Nasir turut melagukan medley ciptaan beliau yang dinyanyikan oleh penyanyi lain:-
8. Kenangan Lalu
9. Hingga Akhir Nanti
10.Sekuntum Mawar Merah
11.Milik Siapakah Gadis Ini
12.Bercanda di Pasiran Pantai
13.Istana Menanti
14.Hani
15.Sentuhan Kecundang
16.Sampai Hati
17. Fantasia Bulan Madu
18. Sejati
19. Jaket biru
20. Pawana

Lagu 11, 13 dan 16 memang berkaca kejap mata. Syahdu giler…Memang best giler melantun-lantun.

Kemudian M.Nasir minta izin berhenti sekejap. So bolehlah dia salin baju dan ramai manusia lain mengambil kesempatan ini untuk ke bilik air. Aku dalam keadaan okay dan terkawal. Sabri Yunus mengambil alih persembahan seketika dan mulalah…dikir barat pasal salasilah budu. Ini okay lagi…boleh bertahan. Cerita asal ikan bilis, pendudukan aryan, dewa-dewi berterbangan, kayangan dan penunu bunsen bagai-bagai ni. Tapi bila dia mula cakap budu ni sedap cicah dengan ikan air tawar 3 ekor nasi panas (ok aku banyak exejeret) mulalah aku lapar! Tak makan lagi kot…

Kejap aje…persembahan disambung balik.
21. Ekspress Rakyat – intro aje tapi part Ekspress Rakyat tu menjerit juga
22. Hati Emas
23. Perjuangan
24.Gerhana
25. Gurindam Gunung Tahan
26.Bikin filem + I Feel Good (tiber..)
27. Bukalah Hatimu + Mix Wau Bulan
28.Hijab Kekasih
29.Mentera Semerah Padi
30.Sahabat Gua
31.Apokalips
32.Ada
33.Raikan Cinta
34. Tanya Sama Itu Hud-Hud
35. Mustika – penutup yang penuh emosi

Masa M.Nasir turun dari stage (beberapa kali juga kekdahnya) aku perasan abang yang aku dengkikan tu sempat la peluk dia kejap dan pakcik nampak happy jumpa dia di situ. Super duper dengki!!!! Untunglah abang tu. Konfem tidur lena.

Tak nafi ada beberapa bahagian dalam konsert ini M.Nasir lupa lirik atau ada macam kesilapan dalam persembahan. Tapi ingat tak pernyataan ayat aku di atas yang mana catatan ini yang muluk-muluk sahaja? Lupa lirik itu normal…adatlah. Tak jadi cacat pun persembahan sebab semua orang still enjoy the show. Dia ginilah… M.Nasir tu kalau ke depan goyang sikit-sikit pun masyarakat dah sawan! Tak payahlah susah-susah nak menyanyi…kalau tak ingat sangat, tala aje mikrofon tu pada penonton. Pandai-pandailah kami sambung balik part mana yang tak ingat tu. Lagipula dalam usia 62 tahun masih suara macam telan kaset – hebat tu.

Dan sebagai penutup sebelum menutup, suka aku tulis pasal kata-kata M.Nasir sebelum tirai konsert dilabuhkan. Dilatari lagu Mustika yang meruntun, semua musisi yang mengiringi persembahan itu diperkenalkan. Adalah kata-kata pasal 40 tahun perjalanan seni beliau. Ada juga kata-kata penghargaan kepada rakan-rakan dan peminat. Yang pernah jumpa di mana-mana, yang memberi sokongan dan sebagainya. Part ini aku tak rakam sebab aku memang duduk beremosi sambil menongkat dagu mendengar apa yang dia nak cakap. Terus memori aku berputar kepada pengalaman aku mengenali dia sejak aku berumur 14 tahun lagi.

M. Nasir sudah 40 tahun dalam industri muzik.
Aku pula mengikuti perjalanan seninya secara serius pada tahun 1990. Aku baru darjah 3, giler. Pertama kali bersembang ditelefon dengannya pada tahun 1995 – sehari selepas Anugerah Industri Muzik berakhir sebab aku happy giler dia menang Lagu Terbaik malam itu. Dan aku excited giler pertama kali tengok M.Nasir takde misai tapi berjanggut sejemput hahaha. Itulah modal aku bersembang ringkas dengan dia. Dapat 5 minit..jadilah!

Setahun kemudian, aku terima panggilan dari pihak Luncai. Mereka bagitahu M.Nasir nak jumpa aku sebab aku ni asyik bagi surat aje dekat dia. Itulah faedahnya bersekolah yang ada peti pos di luar kawasan sekolah. Kali pertama aku ke pejabat Luncai Emas dan bertemu M.Nasir memang satu kenangan yang indah dan sejak itu, memang banyak pertemuan demi pertemuan berlaku. Aku join Kelab Sahabat M.Nasir dan saban tahun, paling tidak kami akan bertemu untuk berbuka puasa atau berhari raya bersama.

Itu belum masuk Benny buat giler naik komuter lepas waktu sekolah, jalan kaki ke pejabat dia semata-mata nak berjumpa sekejap. Aku juga merasa dia hantar aku ke stesen komuter pada satu tengah hari yang panas giler pada tahun 1998. Tahun yang sama, ketika aku dengar Erma Fatima yang ketika itu buka Kafe Sembang di Taman Permata akan panggil pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir datang berbuka puasa di situ, terus aku telefon M.Nasir. Dia pulak tak masuk pejabat lagi. Kepada Abang Hanafi aku berpesan, minta dia telefon aku semula kalau dia masuk pejabat. Boleh???Yup…dia call dan aku tanya adakah dia akan hadir malam itu ke Kafe Sembang. Kenapa? Eh, kenapa pulak..mestilah aku nak ke sana juga. Sepelaung aje dengan rumah aku kot. Yup..kami berbuka puasa bersama hari itu. Benda simple-simple aje tapi dia memang menjadikan alam remaja aku indah – serba-serbi. Aku stress, aku happy, aku mellow – aku pasang aje lagu-lagunya dan aku hidup dan bernafas macam biasa.

Masa di universiti pun sama. Sekali-sekala aku akan singgah ke pejabat Luncai Emas. Ada sekali tu, aku ke sana dengan Hadi. Aku bersembang lama dan tinggalkan Hadi melayan perasan kejap. “Boifren kau tu, tunggu lama…”
Takpe biar dia tunggu, kita ni susah nak jumpa hahaha…Itu belum kira edisi “kau buat apa kat sini?” terserempak kat Planet Hollywood dan aku kebetulan kena cover story penggambaran filem Puteri Gunung Ledang somewhere kat area Klang tak silap. Masa itu aku praktikal dengan syarikat yang membekalkan berita kepada NTV7.

Kemudian aku berkerja di RTM. Walaupun M.Nasir kerap datang ke sini, tidak semua acara aku berpeluang berjumpa pun sebab aku sendiri sibuk. Cuma ada sekali tu, memang aku tak akan lupa. Aku sedang buat kerja dengan kusyuk depan PC sambil ditemani lagu-lagu dia. Aku perasan ada orang masuk dalam bilik sebab pintu memang sentiasa terbuka. Tiba-tiba aku dengar ada orang cakap, “banyaknya muka kau kat sini.”
Aku terus berhenti menaip dan rupa-rupanya, arwah Loloq dan M.Nasir ada dalam bilik aku! Kak Benny pun sawan la sekejap. Tapi tahun 2005/2006 macam tu mana ada telefon dengan kamera yang handal. Kenangan simpan sendiri ajelah…Siapa yang pernah masuk bilik aku kat tingkat 4 Wisma TV kala itu memang maklumlah memang penuh muka M.Nasir di meja, dinding dan segala sudut yang ada.

Aku boleh menulis beratus-ratus kenangan aku dengan M.Nasir tapi yang aku tak rasa mahu kongsi, aku simpan sahajalah. Dia milik semua…aku dapat rasa sedikit tempias mengenali dia pun sudah memadai. Mungkin ramai lagi ada pengalaman peribadi dengan dia manis untuk dikenang. Masa dan kehidupan memang menjarakkan manusia dan atas faktor itu, mungkin dia pun tidak berapa ingat aku yang mana. Tapi seperti kata Chris Cornell, You Know My Name.

Terima kasih pakcik… i love you forever. Satu hikayat yang mempunyai banyak ceritera untuk disenandungkan.

Telunjuk lurus digalas ibu jari
Sahabat tulus mengasah hati budi.

#apabilakakbennymenulis
#konsertmnasir
#satuhikayat
#ksmn

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...