Pelajar Kini Semakin Memilih?

Sudah hampir 2 minggu IPTA seluruh negara menerima siswa-siswi baru untuk sidang 2008. Tahniah aku ucapkan pada yang berjaya menempatkan diri. Tentu ibubapa anda merasa bangga, apatah lagi guru-guru sekolah yang setia mencurahkan ilmu tanpa rasa jemu. Selamat menjadi warga universiti yang berguna dan janganlah terikut gerakan bawah tanah yang bakal merosakkan CGPA anda.

Ok, intro pun dah berbunga-bunga. Belum pun panas punggung di universiti, ada pulaklah dikalangan kalian yang mengada-ngada tak mahu mendaftar, terutamanya yang dapat di Sabah dan Sarawak, di kampus cawangan dan lain-lain dengan alasan jauh dari keluarga. Alahai…nak aje aku lempang mendengar kenyataan yang gedik santai sebegitu. Itu belum masuk lagi yang menggatal nak tukar jurusan dan menggunakan kerabat-kerabat yang ada di Kementerian Pengajian Tinggi.

Aku faham…susah nak berjauhan dengan keluarga, keluarga adalah segalanya, aku anak emak dan ketiak emak lebih wangi daripada katil asrama. Aku faham sangat…Tetapi perlu diingat. Bukan senang untuk menempatkan diri dikalangan intan terpilih di Universiti. Kalian antara yang bernasib baik. Kemengada-adaan ini telah membunuh peluang puluhan ribu kawan-kawan lain yang gagal ke IPTA. Mereka ini lebih sanggup diletakkan diceruk mana sekalipun asalkan dapat masuk universiti. Apa salahnya berkorban untuk tempoh habis teruk kena repeat paper pun 5 tahun di tempat orang demi segulung Diploma/Ijazah?
Tetapi kalau diterima belajar di luar negara tidak mengapa pula.

Kesemua IPTA di Malaysia bersifat kebangsaan dan keantarabangsaan. Jika di sini pun anak-anak muda kita gagal untuk bersaing, macam mana pula kisahnya setelah melangkah ke alam pekerjaan? Sifat memilih yang melampau-lampau ini membuatkan aku jelak…sangat jelak. Kebanyakan yang memilih ini pula rata-rata anak-anak bandar yang gentar mencuba sesuatu yang baru. Bagi pelajar yang datang dari pedalaman, mereka merebut sepenuhnya peluang yang ada tanpa memikirkan jauh la, susah nak balik raya la dan hal remeh-temeh lain. Golongan ini pada mulanya susah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Tetapi apabila telah berjaya, merekalah intan yang bersinar.

Satu SMS yang aku terima semasa mengendalikan topik ini semalam mengatakan bahawa ibubapa sebenarnya yang tidak membenarkan anak-anak belajar jauh. Mereka rindukan anak-anak dan susah untuk menjenguk. Alahai….menyampah! Bukannya tak ada kemudahan IT. Bila aku fikir balik, patutlah pun…Mereka pun sebenarnya buta IT! Kesian, harap handphone ada 3G tapi nak guna tak reti..

Selamat Tinggal Sahabat…

Aku pernah punya seorang kawan. Kawan yang aku harapkan akan bersama masa susah dan senang, jatuh dan bangun serta dalam sepi dan gembira. Kawan itu sungguh bermakna dalam hidup aku…Dia hadir di kala aku betul-betul memerlukan seorang teman/kawan/sahabat dalam hidup..Dia membuatkan hidup aku sangat indah…Dan dia pernah menjanjikan satu persahabatan yang indah lantas membuatkan aku bersyukur amat punyai dia dalam hidup aku….

Sebagai manusia yang tidak sempurna, aku sedikit terkhilaf dalam hubungan kami. Ia bukan sahaja membuatkan kami semakin jauh, malah aku merasa dia mencambah bibit-bibit benci dalam hatinya. Walau berapa kali aku lafazkan maaf, ianya berlalu seperti angin lalu yang menampar pipi – sekejap dan tak lama bekasnya.

Kali ini aku berani untuk melepaskannya…setelah hampr 4 bulan aku pendam sendiri sengsara bahana persahabatan tak kesampaian ini. Aku aku mahu dia tahu..dia juga pernah membuatkan aku terasa sepanjang aku bersahabat dengannya…Betapa aku bencikan kealpaannnya menjaga masa. Betapa aku terasa dengan dirinya yang hanya menggunakan aku untuk mengisi detik sunyinya. Dan yang paling utama…menjadikan aku sasaran kemarahan tatkala dia gagal mengawal emosi dan amarahnya ketika dia berkabung atas kehilangan yang pernah dia alami..

Untuk terakhir kali, aku mengakhiri ini dengan indah. Aku pohon kemaafan atas apa juga perlakuan aku yang pernah membuatkan kau terasa. Aku minta maaf kerana aku telah berhenti mencuba untuk menyelamatkan hubungan yang membuatkan aku lelah, dalam keadaan kamu yang tidak terfikir keberadaanku..Dan dengan pedih, aku mengakui kita berdua tidak memerlukan ‘mayhem’ ini dalam hidup kita…

Untuk itu, aku ucapkan selamat tinggal…satu perkara yang amat sukar untuk aku lakukan. Tapi aku harus merelakannya kerana aku tidak sanggup menjadi melukut lagi…
I miss u a lot friend…i do..Apa lagi yang tinggal? Persahabatan yang kau janjikan hanya mainan dan aku terkesan olehnya. Sebelum aku menyeksa diri aku lebih jauh…aku undur diri…

Kerja Luar vs Kualiti Kerja?

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan kakitangannya dalam perkhidmatan sokongan dibenarkan untuk melakukan kerja luar bagi menampung ekonomi masing-masing. Mungkin pemimpin kita sedar bahana pengurangan subsidi minyak ditambah dengan senario ekonomi yang tak menentu bakal menyesakkan otak pekerja dengan masalah duit. Ha, tak cukup prihatinkah itu? Gali dan kunyah kenyataan itu mengikut tegak condong citra pemikiran masing-masing.

Persoalannya pada aku sekarang, adakah kualiti kerja akan terjaga dalam pada kakitangannya melakukan 2 kerja? Kalau setakat kerja luar yang dilakukan menjual kuih-muih musim nak raya, kain baju kurung dan songket bagai ataupun membuat gubahan orang kawin, pada aku tak menjadi masalah besar. Bagaimana pula yang memilih untuk membawa teksi selepas waktu pejabat, bekerja di restoran makanan segera hatta buruh rencam sekalipun?

Kakitangan kerajaan yang normal masuk kerja jam 8.00 pagi dan balik jam 5 petang (9 jam). Katalah pukul 6.00 petang mereka melakukan kerja luar sampai pukul 10.00 malam (4 jam), mereka telah bekerja selama 13 jam satu hari. Oklah, kalau kudrat masih ada. Tapi bagi yang lebih agresif (bawa teksi sebagai contoh) mereka akan kerah tenaga yang ada lagi tak mahu untuk memaksimakan pendapatan harian mereka. Dengan kadar sewa teksi RM 40 setiap hari, tak mustahil ada yang sanggup bekerja antara 12.00 malam – 6.00 pagi. Ini kerana penumpang akan membayar tambang berganda untuk mana-mana destinasi dalam durasi terbabit.

Aku mengormati mereka yang bertungkus-lumus ini. Demi keluarga dan anak-anak biarlah mereka bersusah payah mencari rezeki. Jika esoknya mereka mampu datang ke pejabat dan melakukan kerja seperti biasa, semoga Allah memberkati rezeki anda hendaknya. Tapi bagaimana pula keadaannya mereka yang tersengguk-sengguk keletihan dan kemengantukan bahana melakukan kerja luar ini? Harus bagaimana kualiti kerja itu akan terpamer?

Aku sangsi dengan kemampuan mereka. Kerana kalau aku sekalipun harus melakukan kerja luar, tanpa tidur yang solid akan menjadi mumia hidup. Sudahlah sistem penyampaian kakitangan kerajaan dikritik kerana kegemaran mereka ‘pass baton’. Ditambah dengan kakitangannya yang ‘tak berfungsi’ seperti ini, maka rompong lagilah tanggapan umum pada mereka.

Jika ada kakitangan awam yang terpaksa melakukan kerja luar, aku mohon jangan pula kompromi tenaga anda semasa dalam waktu pejabat kerana kerja itu tanggungjawab yang telah anda pikul untuk sekian lama. Rasa-rasa tak mampu badan tu, janganlah mencari kerja yang bakal menyusahkan semua pihak termasuk kesihatan anda sendiri. Kerana perangai sebegini walaupun sepicis, kesemua kakitangan awam lain menerima serbuk ladanya.

Banyak ruang untuk menambah pendapatan. Dan aku selalu tekankan pada sahabat-sahabat yang lain. Jangan sampai jadi hamba duit kerana setinggi KLCC pun duit yang kita ada, pasti tak pernah cukup. Aku selalu tekankan pada diri aku, kalau tak nak orang menyusahkan kepala otak aku, aku jangan menyusahkan kepala otak orang. Kerana aku tidak mahu orang menyusahkan kepala otak aku, inilah antara seruan yang aku buat.

Kualiti hanya ukuran kerja. Berkat tak berkat pendapatan itu pokok utama. Kalau kerja takde kualiti, macam mana nak ada berkat?

Gaji 2x Sebulan?

Lama aku nak mencelah dalam isu gaji ini. Kerana kesibukan masa, hasrat itu terhenti seketika. Mungkin kerana aku masih merungut-rungut tentang harga kenaikan minyak. Tanpa aku sedari, aku semakin ilmiah dalam memperkatakan isu ini. Kenapa subsidi dikurangkan, kenapa orang mempertikaikan Petronas, kenapa itu, kenapa ini dan lain-lain.

Berbalik hal gaji 2x sebulan. Tak ada satu kakitangan kerajaan (yang aku temui) bersetuju dengan pelaksanaan gaji yang bakal bermula Ogos ini. Secara peribadi, aku turut terkesima dengan berita ini. Entah bijak pandai mana yang memberi cadangan itu tak penting. Apapun, kesudian kerajaan menimbangkan kembali hal ini tetap aku sanjung tinggi. Aku setuju atau tidak? Hmmm..nyatanya lebih tak bersetuju. Kalau ikutkan apa yang kalut sangat, jangan jadi pengunjung tetap mesin ATM sebelum 25 haribulan setiap bulan, maka selamatlah wang tersebut dari perbelanjaan yang bukan-bukan.

Tapi boleh ke? Hmmmm….satu persoalan yang menimbulkan emosi pelbagai apabila didebatkan. Dari susuk pandang aku yang sederhana, aku rasa payah. Sebabnya dalam keadaan ekonomi sekarang, beban kewangan begitu ketara. Sementelah dengan kenaikan mendadak harga minyak maka lebih mencengkam kesusutan kewangan saban bulan. Itu belum masuk hal kecemasan yang memerlukan wang. Automatik akan teringat yang sebenarnya dalam akaun masih ada cairan yang boleh digunakan.

Macam-macam teori pengurusan kewangan yang disembangkan. Antaranya disiplin menentukan pokok pangkal kemana hala setiap sen disalurkan. Hakikatnya, cakap mulut yang disulami dengan reaksi meyakinkan tidak boleh membantu orang ramai dalam keadaan ekonomi yang mula menampakkan tsunaminya. Aku tahu, ada antara kalian yang mendapat gaji 2 kali sebulan dan masih boleh hidup dengan situasi itu. Aku lebih sedar keadaan pekerja freelance yang dapat gaji macam untung sabut dan tak tentu waktu.

Tapi bagi kakitangan kerajaan yang setelah sekian lama menerima gaji sekali sebulan, banyak ‘adjustment’ yang perlu dibuat. Perlu ingat..ada yang menolak pinjaman bank, pinjaman pembagai, Tabung Haji, ASB dan lain-lain menerusi gaji ini. Bermakna, setiap bulan masing-masing menerima lebih kurang 70% atau kurang dari gaji sepatutnya. Dengan pelaksaan sebegini, gaji yang sikit semakin terasa sikit dan tanpa sedar ramai yang kena darah tinggi dan migrain memikirkan soal duit..

Satu lagi isu yang bersabit dengan pemberian gaji 2x sebulan dan kenaikan petrol ialah kelonggaran kerajaan membenarkan kakitangan sokongan membuat kerja luar. Ini akan aku sembangkan di tulisan yang mendatang. Itu belum masuk dengan pelaksanaan bersara wajib dilanjutkan sampai umur 58 tahun. Hai, selepas ini apa lagi? Jangan pula ada cadangan yang bijak pandai melaksanakan gaji setiap minggu atau lebih kronik gaji hari.

Cuma satu yang pasti, kakitangan kerajaan merungut-rungut gaji 2x sebulan, gaji anda tetap masuk juga. Kenang-kenangkanlah sahabat handai yang memperjuangkan gaji mereka yang kadang-kadang tak kunjung masuk saban bulan…Jadi, bawak-bawaklah bertenang yob…

Impak Penstrukturan Semula Subsidi


Berkuatkuasa 38 minit semasa artikel ini ditulis, dengan rasminya harga minyak dan diesel seluruh negara naik RM0.78 dan RM 1.00. Kenaikan ini tak dapat dibendung kerana kerajaan tak mampu lagi menanggung subsidi kos kenaikan minyak mentah yang mencanak-canak naik. Sedari selasa apabila semua suratkhabar harian mewar-warkan Rabu tadi PM akan umumkan penstrukturan subsidi baru aku sudah mula terasa, pengumuman kali ini pasti pasti bukan satu khabar gembira buat rakyat Malaysia apatah lagi rakyat Thailand dan Singapura yang duduk bersempadan dengan negara yang kita cintai ini..

Umum tahu, harga minyak tak akan turun. Tak pernah terjadi pun dalam sejarah dunia harga minyak akan turun apabila ekonomi mana-mana negara berkembang. Kerana kita sudah terbiasa dengan subsidi, maka kenaikan kali ini memang begitu ampun kesannya. Walaupun pada hakikatnya kita masih mendapat subsidi dan harga minyak kita lebih murah dari negara lain, tetapi berdasarkan kelembapan ekonomi, kos sara hidup yang semakin tinggi dan faktor-faktor lain, pada aku menaikan kali ini memang tak munasabah.Aku dapat membayangkan selepas ini harga makanan, pengangkutan dan juga barangan lain turut naik mendadak, selaras dengan kenaikan harga minyak.

Aku membayangkan setidaknya ia akan naik lingkungan RM 0.30 – RM 0.50 sahaja.Ok, takpelah kalau naik lebih dari itu sebab kerajaan ada justifikasinya sendiri. Yang buat aku pelik, kenapa umumkan hari Rabu dan kenaikan itu berkuatkuasa hari Khamis? Tak sampai 24 jam. Impaknya, SESAK SATU NEGARA!!!!! Semua orang begitu bersemangat waja meredah kesesakan jalanraya, beratur berjam-jam lamanya semata-mata untuk berjimat lebih kurang RM 40.00. Padahal kalau esok tangki kereta kosong mereka terpaksa membayar harga yang telag diselaraskan juga..

Bila dah lama tersangkut dalam kesesakan jalanraya, bukan sahaja api amarah pun mula membakar, caci maki turut menyusul dan bertambahlah dosa kering yang dibuat. Aku terfikir, kalau dalam kesesakan tadi ada rumah yang terbakar, alamat dah rentung barulah bomba sampai. Kalau menunggu ambulance sampai rasanya dah mati pun siapa-siapa yang bernasib malang itu.

Apa salahnya kenaikan itu dibuat hari Jumaat? Setidak-tidaknya kita sudah bersedia dan boleh memilih bukan waktu puncak untuk memenuhkan tangki kereta. Dalam keadaan notis sesingkat itu, banyak buruk dari baiknya dan aku pelik yang ahli mesyuarat tidak terfikirkah masalah semudah ini? Tak mungkin jatuh muflis pun kalau lewat satu hari untuk menaikkan harga minyak dan diesel.

Sempat aku terfikir, kalau Tun Dr. Mahathir masih menjadi Perdana Menteri, bagaimanakah beliau menangani persoalan ini. Aku tak kata PM ini bagus, ini tidak. Kalau aku sempat berada zaman Tunku Abdul Rahman pun aku akan bertanya bagaimana beliau menangani masalah ini. Cuma satu yang aku yakin, Tun akan menaikkan harga minyak. Itu pasti..tapi bukan setinggi dan sedrastik ini. Kalau drastik pun, pasti ada beliau memberikan masa kepada kita untuk menerima berita ini.

Dulu, sebelum PM umumkan kenaikan gaji kakitangan kerajaan, hidup pekerja sektor ini betul-betul seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dengan kenaikan gaji tahun lalu, hidup seperti cukup makan dan separa selesa. Dalam situasi sekarang, maknanya servis bertukar tangan!

Hmmm…buat kakitangan kerajaan – beranganlah nak ada bonus tahun ini!

Jumaat ini siapa yang sempat silalah menonton Selamat Pagi Malaysia dari 8.00 pagi – 8.30 pagi kerana kami membincangkan isu Impak Penstrukturan Semula Subsidi. Jika mendapat restu, aku akan lanjutkan perbincangan seandainya sessi perbincangan mendapat respon yang menggalakkan dari penonton.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...