Ohai, Tokyo!

Ramai yang tanya, senyap aje 3 hari ini…tak menulis ke? Apa nak buat, wifi tak membantu dan data yang aku ada setakat 200Mb. Jadi terpaksalah aku bersukat-sukat dalam melayari internet. Kerana itu posting ini agak lambat walaupun sudah beberapa hari aku draft. Catatan dari Tokyo ini aku buat secara pukal sahaja sebab di Tokyo aku tidak berjalan sangat. Badan tak berapa nak fit

25 Julai 2017 – Pukul 9.15 pagi aku sudah daftar keluar dari Hotel Monterey Kobe. Lagi awal daftar keluar, lagi mudah. Tidaklah sesak front desk itu dengan lambakan sebahagian beg besar yang kami semua tinggalkan.

Kami kemudiannya berjalan lagak Monster Inc ke subway yang berhampiran untuk ke Shin Kobe. Dari situ, kami dijadualkan untuk menaiki bullet train, Shinkansen untuk ke Tokyo. Memang super excited perasaan pagi ini. Disebabkan masalah teknikal, shinkansen ini delayed 30 minit. 

Pagi ini doa aku agak panjang. Aku berdoa agar aku dapat seat belah kiri sebab nak tengok Gunung Fuji. Doa dapat seat kiri termakbul, tapi disebabkan faktor cuaca kami semua tak nampak apa pun. Kami sampai di Eki Tokyo sekitar jam 2.00 petang dan kemudiannya menaiki bas JICA untuk ke JICA TIC (JICA Tokyo).

Siapa ambil gambar, kita tadah muka ramai-ramai

Selepas daftar masuk, aku menggunakan masa yang ada untuk berehat sepenuhnya. Makan, baring, tidur dan melayan program TV. Aku bahagia di sini sebab ada banyak pilihan saluran TV berbanding Hotel Monterey Kobe. Tapi aku terasa rindu dengan hotel itu sebab bilik airnya besar, ada baju tidur dan bantal yang lebih selesa. Bantal di sini agak nipis dan disebabkannya aku sakit belakang.

Petang itu, ramai dalam kalangan peserta yang mengambil kesempatan untuk meronda-ronda. Mereka memang kental sebab sistem tren di sini lebih complicated berbanding di Kobe. Mungkin sebab ayahanda Aiesa mereka pernah duduk Tokyo, jadi mereka setakat tekan butang follow aje.

Menu wajib sarapan

26 Julai 2017 – Hari ini, semua kelas berlangsung di dalam premis JICA TIC. Wow…inilah perasaannya yang tidak perlu bangkit awal sangat, sempat sarapan dan pergi kelas setakat naik lif satu tingkat aje. Indah! 

Menu sarapan aku hari-hari sama. Selalunya pagi aku tidak lapar sangat. 
Seharian kelas hari ini  disampaikan oleh wakil National Personal Authority. Topik hari ini ialah Japanese Public Employee System and Human Resource Development yang disampaikan oleh Mr. Yamashita manakala tajuk International Comparison of Personnel System disampaikan oleh Ms. Fukawa. Tajuk aja dah sawan, inikan pula sepanjang hari bertukar-tukar pendapat tentang sistem kedua-dua negara.

27 Julai 2017 – Hari ini kami melawat Panasonic Center. Usai sarapan, kami berkumpul dan tayar bas terus golek. Terawal pula kami sampai. Mungkin kerana itu bas berhenti di Odaiba Seaside Park dan kami semua macam biasalah, bergambar dengan riang. Aku berpeluang bergambar dengan Musha san dan Nakatani san. Tapi sebenarnya aku tidak dapat beriya-iya bergambar di Jepun ini. Kualiti gambar Asus agak menyedihkan. Masa-masa inilah rasa menyesal kenapalah tak beli handphone dengan kualiti gambar yang bagus? Tapi itulah…aku beli Asus sebab baterinya yang tahan 3 hari tanpa cas.

Kalau nk dgr aku mencarut atau berzikir dlm pelbagai bahasa, paksalah aku naik benda ni

Musha san
Nakatani san

Kami kemudiannya sampai di Panasonic Center dan diberi taklimat ringkas oleh Mr. Sato. Disebabkan minggu lepas kami semua telah ke Muzium Konosuke Matsushita, jadi kami sudah tahu sedikit sebanyak sejarah Panasonic.

Mr Sato

Awal-awal lagi kami diberi peringatan untuk tidak mengambil video dan gambar dikawasan-kawasan tertentu dalam bangunan ini. Apa yang menarik di sini ialah Wonder Life Box. Hidup yang serba mudah dengan teknologi masa depan. Contohnya, kalau kita lalu di tepi kedai makan atau mini market, dari luar kita hanya scan sahaja gambar benda yang kita mahu dan terus masuk dalam senarai pesan. Memang mudah dan canggih. Itu belum masuk idea dan konsep Wonder Life Box di rumah, bilik tidur dan bilik air. Aku rasa macam berumahtangga dengan Siri pun ada. Tapi dalam hati, tidaklah teringin aku nak duduk dalam dunia macam itu. Aku ini manusia, aku mahu interaksi dengan makhluk pejal yang berperasaan dan emosi.

Selepas itu, kami menaiki tren untuk ke Shinjuku. Kelas bermula pukul 1.00 tengah hari dan ramai yang mencuba Mos Burger sementara menanti kelas bermula. Aku aje kental menahan lapar. Konon-kononnya boleh bertahan sampai petang.

Takde mahunya!

Kelas dimulakan dengan tajuk Efforts of Electronic Administration (e-Government) in Japan oleh Mr. Inoshita dari IT Strategic HQ, Minister of Japan and His Cabinet. Agak-agak 15 minit sebelum kelas berakhir aku dah maksimum lapar. Aku keluar dan terus ke beli burger udang di Mos Burger. Kedai itu bawah bangunan aje. Terus aku naik dan makan di luar kelas. Nina menunggu giliran untuk solat, manakala Radin sedang solat. Tengah aku makan tu, Katayama san keluar dari kelas. Dia tidak pula marah atau tegur sebab dia perasan aku tidak makan tengah hari tadi. Nakatani san pun sama, jengok luar-tengok aku makan dan masuk balik. Kelas sedikit over run jadi aku boleh makan dengan aman.

Dalam kelas…

Tajuk selepas ini agak panjang, Understanding of Disseminating and Verifying Activities by JICA in Malaysia – Support for Japanese SMEs Overseas Business Development….hambik kau! Ia disampaikan oleh Mr. Miyashita dari PUES Corporation. Jepun ni ada satu sifat, walaupun dia boleh bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi dia akan present dalam bahasa Jepun. Kerana itu kordinator kami akan translate dalam bahasa Inggeris. Dah delayed 8 seken 🙂

Adakah sebab dia mengagungkan bahasa dia? Atau grammar dia berterabur? Sebenarnya sebab dia tidak mahu presentation itu lari dari matlamat. Kalau dia confident, dia present aje macam biasa. Tapi kalau lebih teknikal, memang dia cakap Jepun dan bertabahlah, mak jemah semua…Tapi bila kami tanya soalan, dia jawab Inggeris steady aje.

Habis sahaja kelas, ada yang mahu terus balik hostel dan ada yang mahu berjalan-jalan.  Aku, Kitamura san dan Nakatani san melepak minum-minum di Ginza. Kampai! Kami bersembang pasal keluarga, hobi dan travel. Aku rasa macam nak datang Kyoto bulan November ini. Kalau ada rezekilah…

Nakatani cakap Ginza byk art. Mana art? Tu….dia tunjuk atas ni. Hmmm 🙂
Kampai!

Ginza pada aku tak ubah seperti Bukit Bintang. Ini tempat orang have-have berbelanja. Entahlah…gagal aku bab-bab shopping ni. Lepas minum, kami terus balik. Ini yang aku tak berapa handal, 3x tukar tren baharu sampai Hatagaya. Tadi sebelum setuju lepak aku dengar macam tak jauh aje 🙂

28 Julai 2017 – Hari ini aku bangkit dengan rasa sakit pada bahu belakang. Ini sebab bantal leper la. Aku kemudiannya turun bersarapan dan sempat menapau 2 roti utk bekalan makan tengah hari nanti. Pengalaman semalam sudah mengajar.

Makin lama makin terasa pula sakitnya. Mujur Leza ada Salonplas. Terima kasih Aifa, bantu akak pakai benda tu. 

Kami kemudiannya ke Eki Hatagaya untuk ke Eki Shinjuku. Hari ini kelas sehari suntuk di sana. Penceramah kali ini orang Malaysia, Prof. Lau Sim Yee dari Reitaku University. Tajuk ceramah ialah Leadership and Organizational Management in Japan. Ceramah ini lebih realistik sebab dari kaca mata orang luar. Jepun kini dan Jepun dahulu banyak bezanya. Dalam pada posting di Facebook yang banyak memuji sistem pendidikan Jepun, ada sisi lain sebenarnya yang orang tak nampak. Itu mungkin akan aku ulas dalam catatan yang lain.

Habis kelas, aku terus balik. Sakitnya belakang ni susah nak kata. Sampai melarat tangkap kepala. Aku terus tidur sampai pukul 11.00 malam. Bunyi WA mengejutkan aku. Terus aku minta bantuan kot ada kawan-kawan yang belum tidur untuk tampalkan koyok besar di belakang. Katayama san bagi…caring sangat dia tu.

Terima kasih AJ in the house kerana dengan pantas dia datang bilik. Kak Dilla pula pinjamkan Yoko-Yoko.  Legalah sikit…tapi aku masih sakit nk gerakkan badan. Packing baju pun setakat campak-campak aje dulu. Esok satu hal nak fikir nak heret beg ini macam mana.

Pagi ini aku teruskan berdoa panjang agar dapat seat belah kanan pula. Semoga cuaca menyebelahi kami agar aku dapat merasa melihat Gunung Fuji depan mata.

Di lobi Panasonic Center
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *