Kyujitsu! – Ohai, Kyoto!

Semalam ialah hari jalan-jalan seKyoto. Semalam tiada kelas, jadi hari ini aktiviti bebas. Mulanya memang aku bercadang untuk belasah tidur seharian sebab penat sangat seminggu ini asyik berjalan kaki bepuluh-puluh ribu tapak. Tetapi kerana galakan kawan-kawan dan Hadi pun minta aku consider balik, maka aku pun tabahkan hati, kuatkan iman dan gagahkan badan.

Ada beberapa pilihan aktiviti pada hari ini. 1) Tidur dan aktiviti bebas 2)Mount Rokku 3) Kyoto dan 4) Kobe. Majoriti mahu ke Kyoto. Pada mulanya aku, AJ in the house dan Leza bercadang untuk ke Mount Rokku. Terasa ingin menikmati alam semulajadi dan gunung-ganang di sini. Tapi bila aku bandingkan kos dan baca review, macam rushing dan tak cukup masa aje. Oh, agak mahal…

Jadi aku bersetuju untuk ikut majoriti umat ke Kyoto. Pukul 4.30 pagi aku sudah bangun dan bersiap-siap dan turun ke lobi pada pukul 5.15 pagi. Sudah 2 hari aku tak masak disebabkan kelas habis lewat. Untuk tanak nasi aje ambil masa antara 2-4 jam disebabkan kadar penggunaan elektrik di sini rendah. Tak mampu aku nak menunggu.

Sekitar 5.50 pagi, kami semua ke Stesen Sannomiya untuk ke Kyoto. Tiket berharga 1080 yen sehala. Aku memang mengalami kesukaran untuk membaca peta dan membeli tiket. Semuanya rakan-rakan yang tolong. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam. Walaupun penat, aku tak pula rasa nak tidur. Aku menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.

Sampai sahaja di Kyoto, kami membeli tiket bas whole day ride dengan harga 500 yen. Kalau nk beli runcit-runcit, kadar naik bas lebih kurang 230 yen sekali naik. Sekali aje senang. Apapun, jangan convert kepada RM, kalau tak konfem tak makan, konfem tak berjalan. Seterusnya kami menaiki bas dan ke Kiyomizudera, turun Ninenzaka, Sannenzaka dan melepak sebentar di Starbucks…Inilah Starbucks paling klasik yang pernah aku tengok. Tapi aku tak beli air di sini. Starbucks Malaysia pun aku harapkan 30% diskaun guna kad abam loyer inikan pula kopi 550 yen! Aku sekadar beli air di vending machine sahaja. Kadar air antara 100 yen – 180 yen. Air kosong aku bawa, 2x refill. Kyoto panas…dengan berjalan lagi. Memang harus banyak minum air.

Kami kemudiannya naik bas dan berpisah kepada 2 kumpulan. Satu kumpulan ke temple (aku tak ingat nama) manakala aku, AJ, Kak Su dan Leza ke Kyoto Imperial Palace. Sebelum itu kami singgah di Subway untuk membeli makanan. Aku beli roti inti telur aje. Harga dalam 360 yen. Tapi tak makan di situ, sebaliknya kami berjalan lebih kurang 2 kilometer untuk ke Imperial Kyoto Palace. Kami cuma singgah rehat untuk makan di tepi sungai untuk makan tengah hari sambil memberi ruang kepada AJ untuk solat – di situ sahaja. Sangat student, sangat tourist.

Masuk di Kyoto Imperial Palace adalah percuma. Pemeriksaan beg dibuat oleh pegawai keselamatan dipintu masuk. Risau juga kalau-kalau ada barangan yang aku bawa tidak lepas semasa pemeriksaan. Dengan mempamerkan wajah riang ria dan kerjasama yang baik, kami berjaya masuk. Nasib aku baik sebab compartment yang ada bahan yang tidak dibenarkan itu dia tidak perasan. Beg aku ada banyak zip ya tuan puan.

Apapun, aku cari tandas dulu. Berbotol-botol air sudah aku minum. Kemudian top-up air kosong dan baharulah kami bergambar dengan gembira. Tetapi tidak semua kawasan yang boleb kita masuk. Justeru, kami di luar-luar sahaja. Sebenarnya kalau sudah lama di sini, kita akan nampak rupa paras kesenian Jepun ini sama sahaja.

Kami kemudiannya berjalan ke stesen yang berhampiran untuk balik kembali ke Stesen Kyoto. Di situ kami perlu ambil tren untuk ke Bamboo Forest. Dalam 6 stesen lebih kurang. Sorry nama stesen aku gagal. Kos tiket ialah 240 yen sehala.

Kalau sampai awal, aku nasihatkan sewalah basikal. Sewa basikal berharga 1000 yen. Kami sampai pada pukul 2.30 petang. Basikal boleh disewa secara seharian atau 2 hari. Masa kami bagitahu nak sewa basikal, penjaga kaunter tu pesan kena pulangkan  sebelum pukul 5.00 petang.  Aku memang dah tak kuasa nak berjalan kaki. Agak jauh dari satu tempat ke tempat yang lain. Di sini misinya bergambar. Tetapi orang sangat ramai. Memang tidaklah kami berjalan-jalan di pokok-pokok buluh tu. Cukup sekadar di tepi jalan. Kebanyakan gambar yang aku post adalah gambar yang diambil oleh AJ dan Christine.

Kami meronda-ronda hampir diseluruh kawasan di situ. Paling tak menahan siap nyanyi lagu Pok-Pok Bujang Lapok lagi semasa kayuhan santai dibuat. Selalunya aku akan kayuh dibelakang sekali. Maklum sahaja, aku banyak pit stop 🙂

Kami kemudiannya naik tren untuk ke Stesen Kyoto. Kalau ikutkan boleh sahaja naik bas, alang-alang sudah ada tiket bas. Tapi tak kuasa nak menunggu. Sampai Stesen Kyoto, kami terus beli tiket untuk ke Sannomiya dan di sinilah panik badak jadi sekejap. Kami salah naik tren! Patah balik ke Stesen Kyoto dan akhirnya sampai juga ke Sannomiya. Konon-konon nak lajak ke Kobe, tapi kaki aku dah minta maaf zahir batin. Penat, pancit, badak Jumanji semua ada!

Sebagai penutup, aku ingin katakan bahawa dengan melawat Kyoto sebenarnya kita lebih memahami budaya dan warisan Jepun. Aktiviti hari ini adalah sebahagian pelajaran secara tidak langsung yang berjaya aku kutip alang-alang ada peluang ke sini.

Sekian dahulu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *