Ohai, Kota Tinggi..

Oleh kerana misi mencari penginapan gagal teruk di Desaru, kami kemudiannya mengisi minyak dan terus menuju ke Kota Tinggi. Kami sama-sama blur sebab ini kali pertama kami roadtrip ke selatan. Hanya berpandukan carian Google sahaja perjalanan ini berpaksi. Dalam perjalanan, terjumpa papan tanda Kota Johor Lama. Jadi kami terus ke sana. Kalau berjalan, baik dalam negara ataupun luar, aku cenderung untuk melihat tapak sejarah, kubur lama dan ciri-ciri budaya yang menjadikan satu-satu kawasan itu unik.  Mujur minat ini dikongsi bersama 🙂

Kami sampai di Muzium Kota Johor lama agak lewat. Ini disebabkan faktor trafik dan geografi kawasan ini sendiri yang menyebabkan pemanduan lebih santai dan berhati-hati. Ketika tiba di sini, cuaca agak gelap seolah mahu hujan. Hampir maghrib juga menyebabkan aku tidak masuk ke kawasan ini berlama-lama. Maklum aje keadaan fizikal yang tak mengizinkan. Menurut blog ini Kota Johor Lama bermula seawal 1540 sebagai pusat perdagangan yang terpenting semasa di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah II. Antara barang dagangan yang di bawa ke negeri Johor ketika itu adalah rempah ratus. Menurut sejarah, pusat perdagangan ini merupakan antara kubu yang terbaik di antara kubu- kubu yang lain di pesisiran lembah Sungai Johor. Bentuk geografi yang semulajadi telah menjadikan benteng pertahanan di Kota Johor Lama menjadi antara kubu yang terbaik dan memudahkan untuk mengawal perairan daripada musuh. Sayangnya, zaman kegemilangan Kota Johor Lama hanya dapat bertahan selama 48 tahun sahaja selepas ditakhluki Portugis pada tahun 1584. Seluruh kota ini telah di bakar dan dimusnahkan, manakala segala senjata telah dirampas. Semenjak daripada peristiwa itu, Kota Johor Lama tidak boleh lagi di gunakan dan telah mencatatkan sejarah pada hari ini.

Mujur line Digi di sini lebih cemerlang dari Maxis yang semakin gampang servisnya. Di sini kami mula memikirkan dengan serius destinasi seterusnya sebab hari semakin gelap dan Hadi juga seakan keletihan separuh hari memandu. Apa yang hampir dikawasan ini ialah Hutan Lipur Panti. Kata Hadi, dia pernah berkursus di situ. Jadahnya ke sana dalam keadaan hampir maghrib. Akhirnya kami ambil keputusan untun mencari tempat untuk bermalam di Tanjung Sedili. Cadangnya mahu mencuba nasib di Jason Bay. Sayangnya manusia yang bertanggungjawab menjaga tempat itu gagal dihubungi. Mungkin rezeki kami, ada juga bilik kosong di Mutiara Motor Beach Resort. Hadi sangat letih, kasihan dia..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *