RSS

Ohai, India – Pangong Lake!

October 05

Hari ini kami akan ke Pangong Lake. Karma ada ceritakan akan tempat ini adalah antara lokasi dalam filem 3 Idiots lakonan Aamir Khan. Alahai, Kak Benny ni sejenis gagal dalam arena perfileman Bollywood. Bukannya tak minat. Tetapi sejak kecil,mama tak berapa galakkan sebab satu, durasi lama sangat. Kedua kebanyakan filem Hindi kala aku membesar dahulu lebih banyak mengkhayalkan sahaja ceritanya. Hmmm….betullah tu. Jujurnya, tak eksaited sangat pasal lokasi filem – tak pergi pun tak apa kaedahnya. Aku hanya mahu meneruskan pengembaraan dan melihat apa lagi pemandangan indah yang bakal aku kecap.

Kami bergerak tepat pukul 9:00 pagi. Cuaca agak mendung. Karma ada cakap pasal semalam bersalji, mungkin jalan akan ditutup kalau salji semakin banyak turun. Ini adalah kali pertama salji turun dalam bulan September. Mujur aku dan Farah ada bawa baju sejuk – tapi asas ajelah. Yang beriya-iya macam mahu duduk di Eskimo tu tidaklah pula kami bawa. Sebagai persediaan menahan sejuk, aku pakai 3 helai baju dan 3 helai seluar serentak. Apa ada, itu aku belasah seadanya.

Cuaca tidak sebaik semalam. Mendung memayungi perjalanan kami. Kalau buka tingkap, memang terasa angin sejuk menampar muka. Pemandangan masih cantik dan mana ada ruang bergambar yang cantik, kami akan berhenti. Kali ini kami tidak perlu merengek kerana Karma seolah-olah faham jenis suasana bergambar macam mana yang kami mahukan. Ada juga kami berhenti dan sekali lagi kami dimanjakan dengan teh halia madu panas dan hirisan epal. Haih, baik sangat awak ni.

Kami berhenti makan di Durbuk. Salji mulai turun dengan lebat. Agak sejuk. Tetapi dua perempuan yang baru pertama kali main salji ini peduli apa. Kami bergambar, mengambil video dengan riang dan terjerit-jerit ‘snow! snow!’ macam nampak lori aiskrim. Sudah puas bersejuk dan bergambar, baharulah kami masuk dan memesan makanan.

 

Kali ini aku memang cakap ‘please join us’ pada Karma. Dia mengiyakan tetapi meminta kami untuk tidak membayar apa yang dia makan dan minum. Ini kerana seolah menjadi mutual understanding setiap pemandu yang membawa pelancong akan diberi makan dan minum secara percuma. Kalau bawa ke hotel pun sama kaedahnya cuma mereka mungkin akan berkongsi lojing dengan pemandu yang lain. Menu wajib tengah hari di mana-mana juga lokasi di Ladakh ialah nasi putih, kuah dhal, aloo gobi dan bawang. Aloo gobi ialah kentang dan kobis bunga dimasak ala-ala kari kering. Aku memang tak tahu menghargai dhal. Aku terus minta Karma tanyakan kot ada telur, gorengkanlah barang 2 biji untuk aku. Karma memesan chomin. Chomin ini kalau bahasa mudahnya ialah mee goreng mamak – versi basic giler, kosong dan pucat – tapi nampak macam sedap. Tengkuk aku mulai tegak bila makanan dia sampai, terasa macam nak rasa barang sesudu dua. Tapi aku batalkan sebab tak sempat aku minta, dia sudah tuang segala sos jalapeno dan sos cili pada mi itu. Ok bye jawabnya…

Di sini, kami juga sempat mencuba butter salt tea yang rupa parasnya macam teh tarik tapi rasanya masin dan bermentega. Serius, satu sedut aje. Tak lalu tekak aku menerimanya. Farah memang steady…secawan habis. Perasaan dia semasa berusaha menghabiskan air itu biarlah menjadi kenangan masin bermentega untuk dirinya. Selalunya, mereka akan minum air ini untuk memanaskan badan. Pertama kali aku dengar ada air teh mentega masin tu. Selain itu, kami sempat bersembang dan berkenalan dengan seorang kakitangan Border Roads Organization (BRO). Banyak juga yang kami tanyakan tentang penyelenggaraan jalan dan skop kerja mereka. Akan datang, aku akan tuliskan tentang kata-kata khidmat BRO yang ada pada batu jalan yang membuatkan kita rasa seronok menanti batu jalan seterusnya.

Perjalanan diteruskan lagi dan salji semakin lebat turun. Kami berdua masih dalam mode suka sebab salji turun. Haih, tak sedar diri betul! Takpe, abaikan dahulu masalah esok. Perjalanan kami masih jauh.

 

Sebaik kami melalui pemeriksaan permit di satu kawasan yang tidak aku ingat namanya, banyak kenderaan yang tersangkut. Rupa-rupanya, jalan balik ke Leh telah ditutup kerana tanah runtuh dan salji tebal. Makan masa satu atau dua hari juga untuk jalan dibuka semula. Jadi, semua pelancong yang datang arah Pangong Lake dan mahu balik ke Leh, kena bermalam di kawasan itu atau balik semua ke Pangong Lake. Dalam hati, aku rasa susah hati juga sebab kalau esok jalan masih ditutup, bermakna nasib kami juga sama seperti manusia yang lain di sini. Jalan untuk ke Pangong Lake pula masih okay, boleh aje lalu dengan aman. Apapun, Karma mulai memperlahankan pemanduan dan berhenti untuk mendapatkan maklumat dari orang tempatan atau pemandu lain. Dia risau tentang diesel. Kami tak nampak sebenarnya dalam fikiran dia, dia sudah fikir jauh macam mana keadaannya kalau jalan masih tutup esok.

Kami menyusuri Panggong Lake dengan tenang. Masa ini, aku rasa biasa aje. Ala, ada tasik…ada gunung belakang tu bersalji tetapi ditutup kabus. Serius aku rasa – Oh, inikah Pangong Lake? Kami sempat melalui satu restoran yang dinamakan 3 Idiots Restaurant. Karma tanya, mahu berhenti atau tidak. Dengan yakin kami jawab, maybe tomorrow. Jujurnya, tak rasa macam nak singgah pun. Kedai makan aje kot. Maafkanlah kami berdua yang tidak faham signifikan 3 Idiots ini tuan-tuan dan puan-puan.

Kami terus mencari hotel untuk bermalam. Tak pasti apa nama hotel ini kerana ia baru sangat-sangat dibuka. Selepas tawar-menawar harga berlaku, kami bersetuju untuk daftar masuk. Masa ini, memang terasa sejuk aje kawasan ini. Bilik kami, betul-betul mengadap Pangong Lake dan jajaran Himalaya cemerlang di depan mata. Tapi ada satu insiden kecemasan berlaku, telefon aku terjatuh dan terus fade to black…Oh, tuhan…terdiam aku seketika. Tetapi aku tidaklah terus hiba, hilang mood atau rasa percutian ini telah tercalar. Aku tenang dan redha. Semua ini aku dapat dari Karma la…dia punya positif, lain macam sikit.

Seperti hotel semalam di Nubra Valley, bekalan elektrik pun ada jadualnya. Tetapi di sini lain, wifi langsung tak ada. Mana nak ada…Kami berada pada ketinggian 4,250 meter / 13,940 kaki  dari paras laut! Boleh berdarah hidung kalau tidak biasa dengan suhu dan ketinggian ini. Tak apalah, alang-alang telefon akupun sudah jahanam. Kami kemudiannya bergambar di depan Pangong Lake. Macam aku beritahu tadi, aku rasa biasa aje. Tak nampak amazing sangat sebab berkabus (kau tunggulah esok!). Bergambarlah kami seadanya dan kembali ke hotel.

Tetapi kami bertiga tidak terus masuk bilik. Kami melepak dalam kereta dan bersembang-sembang sesama sendiri. Sekali lagi aku rasa macam ada dalam kelas Dr. Munis untuk belajar pasal Perang Dunia, hubungan antarabangsa, religion and society dan lain-lain yang sangat ilmiah. Tiba-tiba, Karma bertanyakan tentang signifikan nombor 786. Ha, soalan ini aku yang jawab sebab Farah tak tahu. Tak payahlah aku cerita apa yang aku beritahu Karma, rasanya ramai yang boleh agak. Cuma aku bagitahu dia, aku tidak percayakan nombor tapi aku percaya pada aura warna yang mampu membawa mode positif. Kan aku sudah bagitahu tadi, Karma ini manusia yang sangat positif. Dari perbualan inilah aku dan Karma mula mesra alam.

Kami kemudiannya masuk bilik masing-masing dan menanti waktu untuk makan malam. Bila sejuk-sejuk ni, manusia cepat lapar. Aku sempat terlena dalam sejam dan Farah rupanya sudah lapan ratus kali keluar masuk ke dewan makan untuk usha makanan sudah sedia atau belum. Cuma aku tersedar sekejap sebab macam ada kecoh-kecoh di lobi. Mungkin orang sakit, mungkin bilik kena rembat atau masalah-masalah lain. Lantakkan…aku dan Farah terus ke dewan makan. Nampaknya makan malam kami belum sedia lagi. Disebabkan hari semakin gelap dan kesejukan yang sebenarnya mula dirasakan, aku terus ke dapur dan bertanyakan jika mereka boleh sediakan chai masala untuk aku dan Farah. Oh, abang nan helok itu terus tunjukkan flask dan aku layan diri tanpa malu. Kuncinya – berbalas-balas senyum macam di lapangan terbang Srinagar yang lalu. Jadi aku dan Farah bersembang di ruang makan sementara menanti makan malam disediakan. Agak lama kami menunggu, masih juga tidak siap. Jadi, salah seorang dari penjaga hotel memberikan kami sup kosong panas yang aku rasa sangat sedap – kalah sup Pizza Hut. Padahal sup bengong aje…ada hirisan lobak merah yang super kecil, kentang pun sama dan sayur-sayur sikit. Tapi aku rasa macam sedap sangat dah tu. Mungkin sebab sejuk, dapat pula sup panas memang indah.

Kak Benny hampir beku masa ini..sejuk giler!

 

Tidak lama kemudian, Karma masuk ke dewan makan. Kami bersembang kembali. Sebelum itu, dia dengan penuh sopan dan berhati-hati bertanyakan tentang diri kami. Dia tanya, kami okay ke tak? Perlu selimut tambahan atau tidak dan yang paling penting, adakah kami berdua memerlukan tabung oksigen. Aku dan Farah rasa macam okay. Tidaklah rasa senak, sebu, pening atau tanda-tanda Accute Mountain Sickness (AMS). Macam masuk air aje perangai kami di sini. Dia nampak macam risau bila aku kata, aku ni semput. Tapi jujurnya di sini aku rasa sihat dan bahagia. Rupa-rupanya kekecohan yang kami dengar tadi adalah kerana ada 2 tetamu yang datang dengan motor mengalami AMS dan salah seorang dari mereka nampak sangat tidak sihat. Jadi Karma mahu menawarkan tabung oksigen yang dia bawa untuk kami, kepada tetamu yang sakit itu. Aku dan Farah benarkan sahaja sebab bayangkan naik motor bersejuk meredah salji macam itu, tentu dia beku tahap dewa. Ok, aku berhenti di sini dahulu sebab cerita aku dengan Karma ini panjang dan di dewan inilah punca semua cerita.

Malam itu, aku dan Farah tidur bertemankan selimut tambahan. Keseluruhan 3 selimut tebal dan aku masih rasa sejuk sampai menggigil. Suhu masa ini kalau tak silap antara -5 hingga -7 darjah selsius. Habis semua baju yang aku bawa, aku pakai. Seluar sampai 3 lapis dan Benny masih menggigil sejuk! Ada sekali aku terjaga, aku rasa macam jantung terberhenti sebab terlalu sejuk. Dalam hati hanya berdoa, cepatlah pagi…nak balik! Tapi esok sangat menduga, tidak seperti yang aku bayangkan!

Sekian dahulu.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Skip to toolbar