RSS

Ohai, India – Dari Srinagar – Kargil – Leh…

October 03

19 September 2018 – Pagi terakhir di Kashmir Inn. Sedih sikit sebab di sini kami jumpa chai masala paling sedap dalam dunia (setakat tarikh ini). Bas ke Kargil akan bertolak pada pukul 8:00 pagi, jadi kami perlu ada di stesen bas pada pukul 7:30 pagi. Tak jauh sangat, lebih kurang 5 kilometer. Tapi pemandu tuk-tuk ni pun satu hal. Dah bagitahu, kami nak ke stesen bas, haih dia boleh nak tinggalkan kami di kawasan teksi sapu untuk ke Jammu! Tak pasal pagi-pagi ini kena mulakan dengan episod penegasan diri.

Sampai sahaja di stesen bas, aku dan Farah bersembang-sembang pasal bas yang bakal kami naiki – super deluxe tajuknya. Aku dengan penuh yakin tunjukkan bas yang baharu sikit, yang aku nampak semalam berbanding bas-bas lain yang sudah agak lama rupa parasnya. Sebaik sahaja Farah maklumkan imaginasi aku itu tersasar dari realiti, kami berdekah-dekah ketawa pagi itu. Kami adalah manusia pertama yang sampai di stesen bas. Masa nak letak beg pun masih ketawa tak henti-henti. Belum lagi tengok tempat duduk belakang penuh dengan guni-guni. Bas ini boleh memuatkan 25 orang katanya. Bila aku tengok balik, macam mustahil sebab ini bukan bas panjang. Ok, abaikan. Kebetulan, ada sekumpulan lelaki dari Malaysia menaiki bas yang sama. Ok, ada geng lepak. Mereka juga akan ke Leh dan menyewa motor di sana.

Perjalanan dari Srinagar ke Kargil dianggarkan mengambil masa antara 7 ke 8 jam. Selepas 1 jam 30 minit perjalanan, bas berhenti seketika untuk minum pagi. Di belakang kawasan perhentian tersebut, adanya satu sungai yang cantik, macam di Pahalgam. Disebabkan kami telah dipukau suasana semalam, ia nampak biasa-biasa sahaja. Geng lelaki itulah yang super excited sebab mereka baharu sampai semalam dari New Delhi. Terus aku tunjukkan gambar-gambar di Pahalgam kepada mereka.

Sepanjang perjalanan ke Kargil, bas ini akan merentas gunung dan melalui Zojila Pass. Aku difahamkan, Zojila Pass adalah antara laluan berbahaya di India. Aku sudah membayangkan bas akan melalui lereng-lereng gunung dan tayar bas hanya beberapa nanometer sahaja dari gaung. Permandangan sepanjang jalan, Subhanallah, cantik sangat. Seperti di Pahalgam, tetapi aku dapat melihat suasana petempatan manusia di kawasan gunung. Bila sudah nampak puncak gunung bersalji, kamera tanpa henti aku ketik untuk mendapatkan gambar yang terbaik.

Sebenarnya, masa di Malaysia lagi aku sudah bayangkan alangkah seronoknya kalau bas dapat berhenti untuk aku mengambil gambar di Zojila Pass. Mungkin Law of Attraction, mungkin rezeki kami semua. Bas terpaksa berhenti betul-betul di laluan tertinggi Zojila Pass kerana tanah runtuh dan di depan mata aku – gunung snow cap!!!! Hilang rasa muak, nak muntah, sebu dan laparudin yang aku rasa sebelum ini. Hampir sejam tersangkut tetapi aku tidak kisah langsung. Sempat kami berkenalan dengan seorang askar India yang bertugas di Siachen Glacier.

 

Perjalanan diteruskan kembali. Salah seorang dari geng lelaki memberikan aku pil tahan muntah. Tapi aku tolak sebab aku rasa macam boleh tahan lagi ni. Kami berhenti seketika di Drass  untuk makan tengah hari. Aku sebu. Setakat minta capati sahaja, itupun tak habis. Di sini, aku merasa chai masala mini yang sangat sedap dan segelas hanya berharga 10 rupees / 60 sen. Haih, nangis-nangis aku kenangkan harganya yang mampu milik itu berbanding kentin pejabat aku yang serba-serbi cekik darah.

Beberapa jam kemudian, kami sampai di Kargil. Mulalah drama kedua selepas edisi di Zojila Pass – bas diminta lalu lalauan bypass kerana ada perarakan awal Muharram. Pemandu bas sudah bertekak-tekak dengan polis sebab aku rasa dia tak tahu jalan itu, dan mungkin juga dia risau minyak tak cukup. Sepanjang perjalanan, bas tak pernah berhenti untuk isi minyak! Akhirnya pemandu mengalah. Jalan bypass pulak punyalah sempit hazab. Ada sekali, terpaksa berhenti di selekoh sebab berj laluan kenderaan lain untuk menggunakan jalan. Lepas itu, dia masuk kawasan yang dalam imaginasi aku macam tanah lapang di El Paso…sesat sekejap. Akhirnya jumpa juga jalan kebenaran. Sebelum berpisah, pemandu meminta kami berada di stesen bas Kargil pada pukul 5:30 pagi. Tepat 6:00 pagi, tayar golek.

Dari stesen bas, kami berjalan kaki hampir 40 minit untuk ke Silk Route Hotel. Oh, bermulalah episod kesabaran diuji berkali-kali. Pertama kali dalam sejarah hidup aku,
1. Masuk hotel pintu yang hanya dibuka separuh.
2. Tidak ada orang jaga kaunter masuk.
3. Kunci daftar masuk bilik diberi oleh tetamu hotel yang sudah 12 hari tinggal di hotel. Difahamkan semua tempat tutup kerana menyambut awal Muharram. Tapi hotel kot…bukannya tak tahu kami akan daftar masuk hari ini sebab tempahan dibuat secara dalam talian.

p/s: Benny, jangan lupa kau kena buat posting pasal simptom-simptom hotel The Shining 🙂

Tapi bilik hotel memang selesa. Air panas dia memang terbaik. Suasana di Kargil sangat sejuk, lebih kurang 8 darjah selsius suhu malam itu. Aku sangat lapar, tapi kedai semua tutup. Mujur Farah ada bawa kopi segera, jadi tidaklah aku cranky sangat. Wifi laju kalau duduk lobi. Kami di tingkat 3 jadi tidaklah cemerlang sangat. Dalam pukul 10:00 malam macam tu, tiba-tiba wifi tidak berfungsi. Aku syak ada orang tutup, mungkin staff hotel. Terus aku turun lobi tepi sayangnya aku tak jumpa plug utama! Rupa-rupanya, plug itu sederet dengan plug lampu yang jauh kedudukannya dari modem. Haih, pelik betul. Selepas berjaya posting beberapa updates di Facebook, aku terus tidur sebab esok kena bangun awal. Risau sedikit kerana awal Muharram, mungkin tiada orang yang berkerja. Kami kena dapatkan teksi juga. Tak sanggup aku nak berjalan kaki dan bersejuk-sejuk pagi esok. Mujur pemilik hotel berjanji akan membantu kami mendapatkan teksi untuk ke stesen bas.

20 September 2018, tepat pukul 4:50 pagi, teksi kami tiba. Bukan teksi pun, dia macam saudara-mara pemilik hotel yang diminta untuk menghantar kami ke stesen bas oleh pemilik hotel. Bil hotel pun kena bayar dekat dia. Inipun punca bajet lari, mahu bayaran dengan tunai. Padahal dalam website tidak dinyatakan pun kena bayar secara tunai. Pengesahan hotel, semuanya kami gunakan kad kredit. Takpelah, malas nak bertekak-tekak disubuh syafie.

Seperti biasa, kami manusia paling awal. Tepat 6:00 pagi, tayar golek. Rupanya pemandu bas tidur dalam bas itu sahaja. Aku menjangkakan akan menikmati panorama seperti semalam. Jadi aku tidur sahajalah dalam bas. Kami sepatutnya berhenti untuk bersarapan kira-kira satu jam selepas perjalanan dari Kargil. Tapi kedai semua tutup! Terpaksalah kami semua berlapar. Selang beberapa jam, bas berhenti di satu kawasan yang macam rumah tinggal pun ada, rumah tak siap pun ada. Aku memang lapar giler sebab malam semalam tak makan apa. Tapi aku cuak juga nak makan. Terus aku capai biskut dan lihat tarikh luput. Selamaaat….aku capai cokelat Cadbury pula. Pun selamaaat. Ada satu pakcik Buddhist yang bersama-sama kami, dia sangat baik. Aku tanyalah dia makan apa. Dia cakap, dia makan paratha. Ok, aku minta dia pesankan untuk aku dan Farah. Sampai sahaja makanan, dia hulur pada aku. Eh, dia order dahulu…dialah patut makan. Dia kata takpe, dia suruh aku makan. 3 carik aje aku makan. Pedas giler! Sudahnya Farah yang habiskan. Dia cakap, paling sedap dalam dunia. Hmmm…tapi chai masala dia memang terbaik. Dan satu cawan kecil 10 rupees sahaja walaupun dia meniaga di kawasan yang pandang keliling semua gunung aje. Yang geng lelaki lagi best, diorang beli biskut expired dan tawakal aje makan. Bila aku cakap biskut tu dah expired, salah seorang jawab ‘dah lapar sangat,kak. Makan ajelah. Paling-paling jadi taik’. Lantaklah…dia tak kisahkah kot sementara jadi taik tu, 3 hari badan boleh merana. Sudahlah datang untuk bercuti. Buat rosak mood aje kalau sakit.


Selepas sarapan, bas terus bertolak ke Leh. Aku dan Farah bergilir-gilir ambil gambar. Tak sama macam semalam, hari ini dapat gambar cold desert, gunung-ganang pelbagai warna dan struktur muka bumi yang sering aku nampak seperti dalam atlas. Ada sekali, bas terpaksa berhenti sebab tanah runtuh dan batu besar menghalang jalan. Mujur tak lama sangat.

Selepas 8 jam perjalanan, kami sampai di Leh. Apapun, kami isi perut dahulu. Aku makan nasi goreng telur dan chai masala. Rasanya, chai masala memang minuman wajib aku di sini. Selepas makan, kami menaiki van untuk ke hotel. Yang ini memang menduga…wifi down! Sudah 2 hari katanya. Kami memang nekad, kalau malam ini takde wifi, esok kami nak cari hotel lain. Kami kemudiannya berjalan ke pekan berhampiran dan melepak di restoran yang ada wifi. Di sana, Farah menghubungi pemilik hotel dan juga pemandu yang akan membawa kami ke Nubra Valley, 22 September nanti. Wifi di kafe ini memang sendu. What’sapp sahaja okay, FB haram tak loading. Aku hanya maklumkan pada keluarga yang aku sudah selamat sampai sahaja.

21 September 2019 – Selamat pagi, Leh! Sejuk amat di sini. Selepas mandi, aku dan Farah terus keluar mencari hotel lain. Yang penting, kena ada wifi. Rupa-rupanya seluruh kawasan ini menghadapi masalah wifi down. Jadi Farah terpaksa meminjam telefon hotel untuk berhubung dengan pemandu yang akan membawa kami ke Nubra Valley. Pemandu itu, namanya Karma Sonam. Dia datang hotel untuk mengambil passport kami untuk urusan menguruskan permit masuk. Alang-alang, aku dan Farah minta ditumpangkan ke pekan untuk mencari kafe yang ada wifi.

Fuuuuh….sebaik sahaja dapat line, Benny segar semula. Hampir 3 jam melepak dan upadate perkembangan diri di Facebook. Mujurlah wifi di sini sedikit laju. Tiba-tiba, wifi hilang! Rupa-rupanya bekalan elektrik terputus. Haih, macam-macam hal. Oh, tujuan kami bermalam di Leh adalah untuk acclimatization untuk membiasakan badan dengan suhu baharu dan mengelakkan terkena Accute Mountain Sickness kerana tempat yang bakal kami pergi itu kedudukannya tinggi. Kot badan tak biasa, berdarah hidung, berbuih-buih pulak mulut ditempat orang. Alhamdulillah..kami berdua macam okay aje.

Setakat itu dahulu, nantikan esok catatan ke Nubra Valley.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Skip to toolbar