RSS

Ohai, India – Cabaran Balik Dari Pangong Lake ke Leh!

October 06

25 September 2018 – Pantasnya masa berlalu, aku sudah 11 hari berada di India. Kembara ini akan berakhir beberapa hari sahaja lagi. Pagi ini suasana lain macam sedikit. Di kawasan Pangong Lake, terbentang indah nan menawan Himalaya yang semalam ditutup kabus – yang aku rasakan pemandangan biasa. Aku hampir sebak pagi itu dengan apa yang aku nampak. Subhanallah…sangat cantik Pangong Lake pagi ini. Aku tatap kiri dan kanan tanpa berhenti. Yang semalam aku tak nampak, kian jelas struktur dan blend warna yang sangat cemerlang pada penglihatan. Aku mengambil gambar sepuas-puasnya kerana aku tahu, entah bila-bila aku akan sampai lagi ke sini. Kemudian, selepas bersiap-siap aku terus ke dewan makan untuk bersarapan.

Seperti baris pertama, suasana pagi ini lain macam sedikit. Aku dan Farah menantikan sarapan pagi sambil bersembang kecil tentang pengalaman tidur dalam kesejukan melampau malam tadi. Mujur jantung masing-masing kuat. Karma kemudiannya datang dan menyertai kami. Dia khuatir jalan semalam tutup. Sempat dia tanya, kalau tutup macam mana? Kena bermalam di sini kaedahnya. “I know you will figure something for us” , lebih kurang macam itulah dialog Farah. Karma nampak macam susah hati dan bertemankan seorang pemandu pelancong lain, dia pergi mendapatkan maklumat tentang jalan yang ditutup semalam. Kami berdua perlu balik ke Leh hari ini juga kerana esok akan mengejar penerbangan pagi ke Srinagar dan seterusnya petang itu ke Amritsar. Aku tenang sahaja, tetapi dalam kepala otak sibuk buat matematik cukup atau tidak duit kami nak beli 2 tiket kapal terbang baharu kalau terlepas penerbangan esok. Dengan duit hotel lagi, semua itu memerlukan tunai. Dikawasan ini mana ada bank untuk keluarkan duit kalau terdesak. Kalau ikut positif, aku yakin jalan itu akan dibuka, tetapi mungkin tengah hari atau petang macam itulah sebab cuaca sangat cemerlang pagi ini. Tapi kalau tak buka juga macam mana? Tambahan pula berbahaya untuk memandu pada waktu malam di kawasan itu. Kami kena adil pada Karma juga.

Gambar ini sangat cantik sebab awan terbelah dan matahari menyimbah sinarannya menerangi tasik

 

Sementara menanti Karma balik, aku terus mengadap Pangong Lake. Aku tatap sepuas dan sepenuhnya gunung yang bersalji, tasik yang tenang dan membiarkan matahari membakar muka. Rindu matahari! Selepas sejuk macam dalam peti ais semalam, aku mahu bersahabat dengan matahari tanpa prejudis.

Agak lama Karma dan rakan-rakannya keluar. Mereka kemudiannya balik dan aku sudah mula rasa kelainan sebab Karma tidak seperti semalam (ada sesuatu terjadi antara aku dan dia semalam.) Dia nampak serba salah dan terdesak untuk memberitahu aku sesuatu. Masa itu Farah ada di dalam bilik. Karma memberitahu, jika kami mahu balik hari ini, dia terpaksa melalui satu jalan lain yang mana jalan ini pelancong (non Indian citizen) tidak dibenarkan masuk. Macam kawasan larangan la kisahnya. Jalan ini adalah Land of Actual Control antara India dan China. Tetapi dia sudah mendapatkan surat dari pihak polis di tempat jalan yang ditutup semalam itu kerana situasi kami ini jatuh di bawah kategori darurat dan kecemasan. Mujurlah ada beberapa pemandu lain juga mempunyai client dengan kes yang sama seperti kami. Logik akalnya, kalau beramai-ramai kenderaan ini berkonvoi melalui kawasan terlarang itu, kemungkinan besar kami tidak akan menghadapi masalah merentas sempadan.

Daaan…kami diminta untuk membayar 5000 rupees untuk kos tambahan ini kerana perjalanan adalah sejauh 350km berbanding 150km jalan asal yang ditutup itu! Nak ke sini sahaja makan masa 4-5 jam kalau seganda perjalanan, mahu 10 jam nak sampai ke Leh! Kos ini meliputi kos diesel dan upah pemandu. Aku terus berjumpa Farah dan berbincang tentang hal ini. Bayar ajelah…kalau tidak, lagi banyak kos yang kami kena tanggung kalau masih berkeras untuk menunggu jalan dibuka kembali. Aku dan Farah sudah bersiap sejak pukul 7:30 pagi lagi sebenarnya. Perancangan asal, kami sepatutnya bergerak awal dan terus balik Leh. Sejurus aku memberitahu Karma kami setuju dengan keputusan balik hari ini, dia terus balik ke biliknya dan bersiap-siap. Kesian dia, tak makan lagi. Paratha yang sampai semasa dia melepak dengan kami pagi tadi tidak bersentuh kerana dia terus keluar mendapatkan maklumat jalan.

Aku dan Farah kemudiannya terus menunggu di dalam kereta. Ketika kami bertiga berada di dalam kereta, Karma bertanya pada kami tentang keputusan melalui jalan jauh ini. Kemudian dia bertanya, ingat tak semalam tentang tetamu yang bermotorsikal, yang terkena AMS semalam? Kisahnya…jalan masih ditutup. Mereka terpaksa tinggalkan motor di hotel dan balik ke Leh. Jadi mereka mahu menumpang kenderaan kami untuk kembali ke Leh. Jadi, adakah aku dan Farah kisah kalau dia ambil client tambahan? Kalau kami tidak setuju, dia tidak akan buat macam itu. Dipendekkan cerita, kami bersetuju. Logik persetujuan mengambil kira faktor kecemasan kedua-dua manusia tadi dan mungkin jika ada warga tempatan dalam kereta kami, tidaklah kami menghadapi masalah merentasi sempadan kelak.

Baharulah nampak Karma tenang balik sebab Karma ni, dia sangat manusiawi. Dia banyak fikir orang sebelum fikir diri dia sendiri. Dan of course, dapatlah dia duit lebih sikit dengan bawa 2 orang tambahan dalam keadaan kecemasan seperti ini. Jadi lambatlah sedikit kami bergerak kerana semua pemandu yang menginap di hotel ini bersetuju untuk konvoi bersama.

Di sinilah pengembaraan sebenar-benarnya bermula. Kami menyusuri Pangong Lake dan aku sudah rasa macam peserta Camel Trophy 4×4. Jalan melambung-lambung, dengan minah sebelah ni sibuk ambil gambar padahal dia duduk di tengah. Menderita aje rasa jiwa aku. Tapi pemandangan memang amazing. Cantik sangat-sangat. Tidak jauh sangat kenderaan bergerak, di depan kelihatan satu kenderaan dari Rajasthan berhenti di tepi jalan. Rupa-rupanya tayar keretanya pecah dan paling kesian, itu tayar spare!

Semua kenderaan yang lalu akan berhenti untuk membantu. Tetapi manusia yang paling sibuk – Karma! Dialah yang punggah beg-beg kami semua untuk keluarkan tayar spare dan beri pada pemandu dari Rajasthan itu. Dia jugalah yang terbaring menggodek-godek kereta kawan tu menukar apa yang patut. Sementara itu, kami berempat (dan dan jadi 4 orang) sibuk bergambar sebab tempat yang kereta rosak itu, betul-betul di kelok tasik yang kirinya India, kanannya China. Tiba-tiba datang seorang macik yang feeling-feeling “yu kenot enter this area padayappa amende” aku malas nak layan. Farah la, dengan lagak calit kuku berbalas pantun dengan macik tu. Aku ambil gambar dan video sepuas-puasnya.

 

 

Selepas selesai membantu, kami semua meneruskan perjalanan. Yang banyak bersembang, 2 perempuan tadi dengan Karma. Mereka aje faham bahasa sesama sendiri, kami diam ajelah. Sekali-sekala, Karma akan tanya Farah okay? Baini okay? Dan kemudian malaikat lalu…Tidak lama kemudian, semua kenderaan berhenti kerana pemandangan yang sangat cantik ada di sini. Semua orang bergambar sampai semak tempat itu. Aku nak bergambar pun payah.

Ok, sambung perjalanan…jauh lagi ni, beratus-ratus kilometer. Dari tempat kami berhenti itu sahaja, dianggarkan lebih kurang 50 kilometer akan menyusuri Pangong Lake. Masih sejuk, tetapi tidak seperti semalam. Dari dalam kereta, aku hanya menikmati pemandangan dan bersembang dengan diri aku sendiri. Terasa sangat cepatnya masa berlalu di sini. Aku belum puas lagi duduk di kawasan ini. Beberapa jam kemudian, Karma berhenti dan seperti biasa, dia akan buat air teh halia madu panas untuk kami (termasuklah tambahan 2 manusia lagi tu.) Disebabkan cawan hanya ada 2, aku dan Farah berkongsi air, yang dua lagi pun sama manakala Karma menggunakan botol madu yang kebetulan habis untuk membancuh air untuk dirinya. Dikawasan itu juga, adanya Kumaon Memorial dan aku sempat singgah untuk melihat apa yang ada di sana.

Oleh kerana perjalanan yang super lama dan jauh, aku cuba untuk tidur. Tapi memang standard tidur ayam ajelah. Bila ada trivia atau info tentang kawasan yang kami lalu Karma akan bercakap dalam bahasa Inggeris. Mungkin dia consider juga kami yang tak tahu dia sembang apa. Masih, dia akan tanya aku dan Farah okey atau tidak bila lama kami tidak bersuara. Kami kemudiannya berhenti makan di satu tempat yang entah apa namanya. Cantik kawasan ini…penuh salji. Tak sangka ada kedai makan! Nasib la pakcik tu sebab semua kenderaan berhenti makan di sini. Aku ternampak ada satu brader makan maggi, terus aku pesan maggi. Itulah antara maggi paling sedap pernah aku makan selama hayat ini. Mungkin sebab lapar sangat dan sejuk. Sempat pekena chai masala panas secawan sebelum kami meneruskan perjalanan. Ada lebih kurang 220km lari untuk sampai ke Leh. Kalau ikut kira-kira kasar, dalam pukul 8:30 malam kami akan sampai Leh.

Seriously, kedai makan belakang tu, di tepi gunung.

 

Kenderaan dipandu laju. Tawakal dan percaya sahajalah pada pemandu kami. Pemandangan tetap cantik. Tapi cantik gambar tak akan sama dengan cantik mata yang nampak secara berdepan. Jadi, aku hayati sahajalah suasana yang ada. Nasib kami baik sebab dalam perjalanan balik ini, kami nampak kuda liar dan sekumpulan nomad dengan gembalaan kambingnya sekali.

Tidak lama kemudian, kami sampai di Nyoma. Tiba-tiba, Karma kata dia mahu buat surprise untuk kami. Ah, sudah..apa pulak? Rupa-rupanya rumah isterinya hanya 5 minit sahaja dari kawasan ini. Dia mohon singgah 10 minit untuk jumpa keluarga dia dan mahu jamu kami dengan chai panas. Aku dengan Farah dah seronok dah. Ada sekali, Karma tunjukkan gambar dalam telefonnya dan aku perasan ada client yang dia bawa pergi ke rumahnya. Aku ingatkan rumah dia di Tibetian Settlement di Leh. Rupa-rupanya, isteri Karma mengajar di boarding school khusus untuk kanak-kanak Tibet dan nomad di Nyoma. Jadi mereka sekeluarga jarang berjumpa kecuali masa musim sejuk kerana waktu itu, baharulah mereka sekeluarga akan duduk di Leh bersama-sama. Oh, touching sangat…aku sempat merakam beberapa moment mereka anak-beranak. Selepas secawan chai panas, aku mengambil kesempatan untuk bergambar bersama keluarga Karma dan kami kembali meneruskan perjalanan.

 

Kalau boleh, aku nak ceritakan semua apa yang terjadi sepanjang perjalanan balik bermula dari Nyoma sampailah kami tiba di Leh. Mungkin kalau aku ada masa, aku buatlah sebab cerita itu mempunyai pelbagai perasa. Ada seronok, terhibur, menakutkan, seram, mood lari dan sengal tahap tertinggi. Itulah kenangan aku dan Farah yang pasti akan membuatkan kami berdekah-dekah ketawa mengenang ristaan kembara kami ini sambil mengulang “visa entry ada satu lagi ni”. Dipendekkan cerita, kami sampai Leh pada pukul 8:30 malam seperti yang dianggarkan dan semuanya tenang kembali. Esok, aku akan meninggalkan Ladakh. Ya, rasa sedih yang susah untuk aku ungkapkan.

Secara rasminya, catatan pengalaman harian 11 hari kembara ke Utara India berakhir di sini. Baki 3 hari hanya transit dari Amritsar ke Kuala Lumpur sahaja dan tiada lokasi menarik yang kami kunjungi. Semuanya sudah kami pergi awal-awal sampai di Amritsar 2 minggu lalu. Tetapi jangan risau, masih ada catatan dari India yang tertunda yang mahu aku kenang dan kongsikan.

Boleh dikatakan sepanjang aku berada di India, apa yang aku hajatkan, aku dapat. Mungkin kerana aku musafir (terima kasih kak Intan atas maklumat ini) dan mungkin kerana Allah memahami apa yang aku mahu. Aku mahu tengok puncak gunung snow cap – aku dapat depan mata masa di Zojila Pass. Aku mahu lihat pemandangan yang cantik-cantik, setiap hari aku dapat dan aku terdetik mahu lihat jumpa keluarga Karma bila lihat gambar – pun aku dapat. Kalau aku insist nak tengok snow leopard, silap-silap aku nampak juga tapi mujurlah tidak terasa macam itu. Paling utama, aku mohon ditemukan dengan manusia yang baik-baik di sini dan Alhamdulillah….aku jumpa, ramai!

Kata-kata terakhir sebelum kalam ini ditutup adalah khusus untuk Farah… “visa entry ada satu lagi ni 🙂 “.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posted by on October 6, 2018 in Macam-Macam Hal

1 Comment

One response to “Ohai, India – Cabaran Balik Dari Pangong Lake ke Leh!

  1. Nur Hidayati Amin

    October 7, 2018 at 10:13 am

    Menarik beb..

     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Skip to toolbar