RSS

Ohai, India – 14 Hari Telah Berlalu

September 30

Tamatlah sudah kembara 14 hari ke Utara India. Satu pengalaman perjalanan yang sukar untuk dilupakan. Beri sedikit untuk aku susun catatan pengalaman itu buat bingkisan ingatan dan rujukan kepada mereka yang berminat berkunjung ke sana.

Sejak meninggalkan bumi Ladakh, setiap mimpi aku sentiasa disapa jajaran Himalaya dengan salji putih menutup permukaannya. Beberapa tempat dalam mimpi yang berulang, berjaya aku jejaki lokasinya di sana. Dejavu menyulam realiti dan aku tidak asing di halaman itu.

Oh, tiada lagi malam sejuk melampau dibawah paras negatif selsius. Tiada jua tidur merengekkan selimut tambahan kepada penjaga rumah inap dan paling utama, tiada lagi kegigihan bersejuk di balkoni untuk mendapat capaian wifi yang kuat. Sekali-sekala, terasa rindu menikmati chai masala panas yang kalau di Malaysia, ais sentiasa mengiringi air yang aku hirup. Beberapa tatacara hidup akan aku baiki disebabkan pengalaman yang aku dapat di sini.

Hmmm…tidak boleh tidak, aku rindukan abang aku di sana. Aku sentiasa membelek gambar dan video cerita kami di sana. Bila teringatkan gelak besarnya saat aku menyanyikan satu lagu Hindi, aku pasti tersenyum sendiri. Itu semua berlaku kerana handphone aku rosak. Kalau tidak, aku lebih kerap membelek handphone dan memangkah Candy Crush berbanding menjalin hubungan dengan manusia. Kalau boleh, aku tidak mahu terikat emosi dengan mana-mana manusia yang susah untuk aku bertemu bila kembara ini berakhir. Tapi siapalah aku untuk menjadi orang lain kerana hakikatnya, aku akan sentiasa mudah rapat dengan mana-mana manusia yang mempunyai kimia dengan aku. Akan ada posting khas kisah adik-beradik yang berbeza ibu dan bapa ini.

Kembali ke pangkuan keluarga, terasa sangat bersyukur dan menghapus rasa rindu yang 14 hari ditanggung. Anak-anak semakin berat dan lasak! Kedua-duanya sentiasa berada berdekatan aku, seolah mereka juga merasa kehilangan yang sama dan enggan berenggang. Cuma aku terpaksa tinggalkan mereka sementara dirumah mama untuk mengemas rumah yang macam tongkang pecah. Tak apalah…esok kita jumpa lagi.

Sejak petang semalam #ukenamedmorrisey #ukenamedmorrizen sudah mula aku petik dan mencuba beberapa lagu Hindi yang kerap aku dengar di sana. Aku bukanlah penggemar setia lagu-lagu Hindi, tetapi tahu jugalah satu dua lagu. Aku perlukan masa untuk memperbaiki sebutan sebelum merekodkan lagu itu untuk tontotan awam. Tambahan pula, ukulele itu bunyinya aneh, tidak seindah #ukenamedAB yang aku simpan dipejabat. Berapa kali tuning pun, bunyinya menyakitkan jiwa sejak dia dipulangkan kepada aku oleh manusia yang meminjam bertahun-tahun lamanya (pinjam la sangat…).

Jadi, mana lagi selepas ini?

Hajat sebesar-besar hajat ialah Pakistan. Aku ambil masa 3 tahun untuk buat simpanan ke India. Jadi tabung babi khas, khusus untuk kembara akan datang sudah boleh aku mulakan kembali. Doakan semoga impian ini menjadi realiti.

Setakat ini dahulu…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posted by on September 30, 2018 in Catatan Dari India

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Skip to toolbar