Ohai, 2012!

Tepat jam 12.00 malam tadi, percikan bunga api membelah kepekatan malam di PJ Oldtown. Kemeriahan tembakan mercun dan dentuman bunga api sama hebatnya seperti malam sambutan Krismas yang lalu. Tetapi tidaklah sehebat 21 das meriam yang aku dengar bilakala membuat Istiadat Mengarak Panji-Panji ataupun sambutan hari kemerdekaan negara. Di depan koridor rumah, aku dan Hadi berdiri sambil tangan masing-masing mengacu telefon Samsung SII ke arah pancaran bunga api yang membakar langit malam.

“Selamat tahun baharu sayang…” kami mengutus ucap sesama sendiri dan beraksi mesra tanpa dipedulikan pelanggan restoran Sunraj dan remaja-remaja yang sibuk bersenam di padang.

Terus kami masuk rumah dan mengunci pintu sambil Hadi menonton Big Bang Theory dan aku sibuk memangkah Candy Crush. Tak berapa lama lepas itu, berdentam sebiji motor tergolek, betul-betul di depan rumah kami. Kaca bertaburan dijalan raya. Mujur penunggang tak cedera parah sangat. Masyarakat 1Malaysia yang prihatin keluar dari rumah masing-masing dan menghulur bantuan. Aku dan Hadi sekadar memerhati dari koridor rumah. Itulah sabitnya bawak motor macam pelesit dikawasan kejiranan aku yang bertuah ini. Nasib baik tak berlanggar dengan kereta-kereta jiran yang dipakir didepan rumah.

***

Tahun-tahun yang lalu, aku akan menulis tentang apa yang aku capai dan apa yang gagal aku capai. Tak kurang, azam apa yang akan dibawa ke depan. Yup, aku manusia berazam..Aku punya matlamat dan untuk mencapainya, halangan yang datang membuatkan aku separuh sawan. Tetapi Allah tetap memberikan apa yang aku hajatkan dalam pelbagai dugaan yang diturunkan itu. Tidak untuk tahun ini..Aku tidak punya masa untuk senaraikan semuanya dan menulis di sini sebab sejujurnya, aku sangat sibuk dengan pembacaan menjelang peperiksaan minggu depan. Masa untuk main game pun aku catu dengan adil dan saksama..Rasanya azam yang sempat aku khabarkan dalam Twitter ialah aku berazam untuk menambah elaun bulanan untuk mama..Itu aku akan cuba buat memandangkan elaun itu sudah hampir 5 tahun tak berganjak nilainya, sejak aku berkahwin.

Aku akan cuba memperbaiki diri sendiri dan menjaga perasaan aku sebaik-baiknya. Aku juga bertekad untuk tidak terjebak dengan mana-mana gajet terkini yang mencabar nafsu duniawi-walaupun dihasut dengan rakan-rakan yang kebanyakannya IT savvy. Cukuplah Blackberry dan Samsung SII serta laptop yang baru bertukar selepas yang lama patah dua selepas 5 tahun berkhidmat.

Aku mahu bercuti ke seluruh Malaysia atau ke destinasi lain yang belum pernah aku sampai. Aku mahu melihat budaya luar dan aku mahu meluaskan pemandangan aku melihat bumi tuhan. Kalau ada rezeki, aku teringin nak merasa main salji..Untuk mencapai semua itu, tabungan mesti mantap dan itu adalah perkara yang akan aku titik beratkan setiap kali ingin membeli barang bersifat kehendak.

Terima kasih pada rakan-rakan yang mengutus salam tahun baru. Utusan pertama datang dari rakan yang aku tak sangka, seawal 10.00 malam. Mengenali beliau, bukanlah jenis yang rajin nak berSMS BBM bagai nie. Selalunya telefon dan bercakap lebih mudah. Terima kasih, aku hargai itu. Ada yang sudah aku balas, dan ada yang menanti giliran. Tapi akan aku jawab semuanya. Selamat hari lahir pada yang lahir tarikh ini. Kalau tak silap, ada 8 rakan-rakan aku yang menyambutnya.

Ohai, 2012..Menurut ramalan master ini tahun aku..Aku sedaya upaya menjadikannya antara yang gemilang dalam sejarah hidup aku. Semoga aku berjaya dalan pelajaran, kerjaya dan hubungan duniawi yang sepanjang tahun lepas timur barat hala tujunya. Aku cuba untuk menjadi manusia penyabar dan pemaaf.

Aku dikelilingi dengan manusia yang hebat-hebat belaka, dari pelbagai latar. Ada yang benar-benar rapat dengan aku berubah hidupnya dan punya kereta berjenama hebat dengan usaha yang tanpa henti. Aku insaf..kerana dia yang mengajar aku cara untuk belajar dengan berkesan. Dia juga banyak menasihati aku kala aku mempunyai masalah perhubungan dengan Hadi zaman belajar dahulu. Dia juga membuka mata aku yang apa juga rintangan yang ada, usaha tanpa henti pasti membuahkan hasil. Aku mencuba mengambil semangat itu dan menghayun langkah 2012 dengan berani dan berhati-hati.

Jadi 2012…selamat datang dalam hidup aku untuk tempoh 365 hari lebih kurang (matematik lemah ya rakan-rakan..)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *