RSS

Nukilan Buat Keluarga Jauhku…

July 31

Agak lama aku tidak menulis. Bukan kerana tiada apa untuk dikenang – sangat banyak. Tapi aku tidak mampu untuk menulis dengan baik. Banyak catatan yang aku buat, aku padam kembali kerana setiap kali aku baca balik aku akan rasa sedih dan tidak selesa.

Ramai yang tahu minggu lepas aku terbang ke Brunei kerana seorang yang aku anggap seperti keluarga dan bapa, sakit. Sebenarnya, aku sudah dimaklumkan oleh Emy, anaknya pada hari Ahad lagi tetapi disebabkan faktor kekangan masa aku terpaksa bertangguh untuk pulang segera. Tiada siapa-siapa suruh atau paksa. Memang hati aku meronta-ronta untuk ke sana. Oh, aku sangat bersyukur sebab Hadi memahami semua ini dan mengizinkan aku pergi. In fact, dia suruh aku pergi Ahad petang itu juga tetapi aku perlu menyelesaikan hal kerja terlebih dahulu. Mujurlah urusan tiket selesai juga dan aku sempat meninggalkan beberapa pesanan kerja kepada staf promo sebelum aku berangkat ke sana.

Menunggu Khamis sangat menyesakkan…Hari-hari aku berdoa semoga Uncle Zainal bertambah sihat. Isnin berlalu…Selasa….dan kemudiannya Rabu. Serabut dalam hati, tak payah cakap. Badan sahaja di Malaysia, jiwa sudah lama sampai Brunei. Aku bertuah kerana mempunyai beberapa kenalan rapat yang memahami dan menghulurkan sokongan moral. Juga ada malaikat dalam kalangan manusia yang melakukan lebih dari apa yang aku bayangkan membuatkan aku bertambah yakin – sebenarnya ada lagi manusia yang berjiwa luhur. Terima kasih untuk semua itu #domo …

Balik sahaja di rumah pada hari Rabu itu, aku terus kemas barang. Travel light sahaja. Aku habiskan masa dengan anak-anak dan bercadang untuk ke KLIA 2 pukul 11:00 malam. Tapi disebabkan anak-anak tersangatlah aktif, Hadi mahu menghantar aku ke lapangan terbang dan mengharapkan anak akan tidur sepanjang perjalanan balik dari menghantar aku nanti. Flight ke Brunei ialah pada pukul 6:30 pagi dan aku ada masa yang panjang untuk duduk bertenang sementara menanti pagi. Bertemankan kopi panas, aku menghabiskan masa dengan melayan sosial media dan termenung. Aku cuba juga untuk lelap, tapi gagal. Sampaikan sepanjang penerbangan, aku masih okay dan langsung tidak rasa letih.

Aku disambut oleh Emy dan keluarganya. Kemudiannya aku dibawa makan ke satu tempat yang memang Emy tahu, aku suka makan di situ iaitu Restoran CA Mohammad. Mee goreng di sini, sumpah sedap – sama seperti yang aku rasa kali terakhir 10 tahun lalu. Kemudiannya, baharulah kami ke Jerudung Park Medical Center (JPMC) untuk melawat Uncle Zainal.

Aku tak boleh explain perasaan aku macam mana. Yang nyata aku rasa sedih dan juga gembira. Sangat indescribable feelings. Uncle Zainal sangat gembira melihat aku terpacul di situ. Macam-macam perkara yang kami sembangkan. Aku banyak crack jokes untuk ceriakan suasana. Dia tidak habis-habis memberi arahan kepada Emy untuk membawa aku makanlah, berjalanlah dan lain-lain padahal kunjungan aku kali ini memang untuk melawat dia semata-mata. Oh, sempat juga dia request untuk dibawakan cocktail, ikan masak asam dan ayam goreng. Bapa angkat aku ini pemakan – macam anak angkatnya juga hahaha…

Petang itu juga dia dibawa ke RIPAS untuk menjalani proses dialisis di sana. Proses itu mengambil masa selama 4 jam. Sementara itu, Emy dan suami menguruskan anak mereka yang kebetulan tidak sihat manakala aku dan Aunty Mahani sempat melepas lelah sementara di deretan kerusi di ruang hospital. Malang sekali, anak Emy terpaksa ditahan di wad. Jadi suami Emy terpaksa tinggal dan menguruskan anak mereka sementara aku dan Emy terus bergegas ke rumah makcik Emy untuk mengambil cocktail yang dipesan oleh Uncle Zainal. Oh, memang sedap, macam hotel. Dengan penuh tak malu, 3 kali aku tambah.

Petang itu sekali lagi kami melawat Uncle Zainal. Selepas dialisis, dia akan dipindahkan kembali ke JPMC. Aku dan Emy makan malam di kantin hospital sahaja. Eh, sorrylah…macam banyak cerita makan ni. Makanan di Brunei sedap-sedap dan kalau aku lama di sini, memang balik Hadi pun tak kenal. Ok, sambung…aku minta Butter Prawn. Yup..yummeh giler! Sambil makan, aku dan Emy banyak bersembang hal-hal lama. Biasalah…kami lama tak berjumpa. Bersembang di What’s-app pun sekali-sekala sahaja. Malam itu, aku tidur dirumahnya di Meragang seorang diri kerana Emy kena kembali ke RIPAS menguruskan keluarganya pula.

Keesokan harinya, Emy ambil aku di rumah dan kami kemudian menuju ke Sengkurong untuk mengambil ibunya. Kami kemudiannya bersarapan bersama dan singgah ke pasar untuk membeli sedikit barang dapur. Hari ini aku akan ke JPMC dengan Aunty Mahani manakala Emy kembali ke RIPAS untuk menemani anaknya di sana. Seperti semalam, setiap tengah hari dan malam aku akan datang melawat Uncle Zainal. Tetapi petang itu Uncle Zainal mula rasa tidak selesa kerana diberi banyak ubat. Aku lihat reading semuanya okay. Tapi okay aku itu bukanlah bertaraf arif perubatan. Tapi hati aku kuat kata okay. Malamnya aku balik ke Meragang dan bermula tengah malam – semuanya jadi lain.

Emy text aku dan kami bersembang lama. Dia mahu ke JPMC kerana dia tidak sedap hati. Oksigen bapanya dikhabarkan semakin berkurangan dan terpaksa di intubate. Aku cuba meyakinkan dia semuanya okay dan hanya mainan perasaan sahaja. Tetapi apabila dia memberitahu hatinya sendiri rasa tidak tenang, dengan aku-aku sekali jatuh panik dan risau. Sudahlah dengan tiada teksi, Grab dan Uber – itulah sejenis pasrah yang merengsakan sebab aku tak boleh duduk diam. Aku mesej Matzin, abang kepada Uncle Zainal in case dia ada dapat latest information berkenaan adiknya. Tapi sampai subuh hanya setakat delivered, tapi tidak dibaca. Itulah malam yang sangat panjang – sama situasinya seperti malam pertama yang aku lalui selepas kehilangan Cahaya Balqis.

Pagi itu, Matzin memberitahu rupanya dia ke JPMC sekitar 4:00 pagi selepas mendapat berita dari salah seorang adik-beradiknya. Uncle Zainal kemudiannya dikatakan kembali stabil dan bacaan oksigennya juga semakin baik. Haih, bila aku tanya kenapa tidak bawa aku sama, jawapannya tak mahu ganggu aku berehat! Haih dan haih sangat… Tapi dia berjanji untuk membawa aku ke hospital pada pukul 9:00 pagi nanti.

Jadinya pukul 9:00 pagi tepat dia sampai. Aku sudah kenal Matzin lama – hampir 12 tahun. Tapi kali terakhir kami berjumpa ialah pada tahun 2006/2007 kalau tak silap. Sepanjang tempoh itu, tidaklah langsung putus hubungan. Ada juga bertanya khabar dan berutus salam sekali dua. Kemudian senyap sepi. Rasanya ramai kawan-kawan yang kenal Matzin ini, bekas staf RTB. Siapa yang kerap terlibat menerbitkan rancangan MoU RTM-RTB pasti kenal dia.

Aku langsung tidak terasa betapa lamanya masa memisahkan kami. Rindu tak payah cakap, memang teruja sesungguhnya. Bercerita macam biasa, bersembang bergelak-ketawa dan sesekali bila bersembang pasal adiknya, suasana tidak serancak sebelum itu. Dia pasti 100x lebih sedih. Itu adiknya manakala aku hanya outsider. Berkesudahan, kami menyejukkan hati sesama sendiri. Masa melawat Uncle Zainal dalam ICU, kami masuk bersama dan kami jugalah yang sibuk bertanya pada staf bertugas tentang status Uncle Zainal dan apa step seterusnya. Aku dapat rasa bonding antara dua beradik ini sangat kuat. Sebenarnya banyak aje cerita yang pernah Uncle Zainal cerita tentang mereka berdua tetapi hari itu aku jadi Dory.

Pertemuan itu juga menyedarkan apa yang membuat aku sangat selesa dengan Matzin. Aku boleh jadi diri aku sendiri dan kimia kami kuat walaupun umur berbeza 30 tahun. Cuma dia seolah tak dimakan usia sangat walapun kini sudah berusia 67 tahun manakala aku pula perubahan memang drastik zahir batin. Cuma bila dia cakap aku nampak kurus tu, terapung la 15 ribu kaki dari paras laut sekejap.

Sedar tak sedar, aku sudah 4 hari berada di bumi Brunei dan aku harus kembali ke pangkuan keluarga di Kuala Lumpur. Sebelum balik, aku mahu melawat Uncle Zainal dahulu. Nasib aku baik kerana walaupun belum waktu melawat, aku dibenarkan masuk atas sebab aku kena balik ke Kuala Lumpur. Uncle Zainal masih belum sedar. Tapi aku tahu masih ada reaksi. Aku sangat positif sebenarnya. Sudah 3 hari aku ke sini dan aku tahan perasaan sedih yang aku rasa. Tapi hari ini aku gagal teruk. Sebaik keluar dari wad, aku menangis macam budak kecik. Aku sudah lalu benda ini tahun 2004 🙁

Aku kemudiannya dihantar ke lapangan terbang oleh Emy dan makciknya . Selepas urusan daftar masuk selesai, kami makan dahulu di Jollibee dan kemudian mereka beransur pergi kerana banyak perkara yang perlu diuruskan hari ini. Aku duduk seorang diri dan teresak-esak melayan emosi. Terima kasih kepada seorang kakak yang tiba-tiba datang menghulurkan tisu dan memberikan air mineral.

Apapun, dari kejauhan ini aku tetap doakan agar urusan Uncle Zainal dipermudahkan oleh yang maha kuasa. Aku tahu dia fighter. Aku percaya kuasa tuhan dan aku percaya pada keajaiban juga.

Kalau ikutkan hati, memang aku rasa nak lajakkan cuti tetapi aku tak boleh buat macam itu atas pelbagai faktor. Kasihan Hadi menguruskan anak seorang diri. Aku kena adil pada dia juga dan oh, aku rindu teruk dengan anak-anak dan ukelele 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posted by on July 31, 2018 in Macam-Macam Hal

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Skip to toolbar