RSS

My “Bhai”

October 16

Hari ini aku mahu bercerita tentang seorang manusia yang sangat baik yang aku jumpa semasa aku bermusafir di bumi Ladakh. Aku masih ingat, antara niat kembara ke India adalah “Aku mengharapkan yang indah, bahagia dan baik-baik sahaja dalam kembara ini. Pelihara keselamatan dan kesihatan aku, temukan aku dengan manusia yang baik-baik dan jadikan aku lebih manusiawi selepas kembara ini berakhir.” Alhamdulillah…aku dapat dan rasa kesemua yang aku hajatkan ini. Aku sudah banyak kali bercerita sepintas lalu akan kisah aku dan dia dalam beberapa catatan yang lepas. Disebabkan panjang sangat hikayat kisah kami, maka aku dedikasikan catatan khas ini khusus untuk dia – Karma Sonam. Dia adalah pemandu yang membawa kami ke Nubra Valley dan Pangong Lake. Walaupun setakat 3 hari 2 malam aku kenal Karma, tetapi peristiwa demi peristiwa yang kami lalui di Ladakh membuatkan hubungan kami yang pada mulanya biasa-biasa menjadi akrab.

Catatan ini sudah lama bertangguh. Bukan sebab aku keputusan idea, tetapi aku tidak mahu kelihatan seolah-olah apa yang aku rasa seolah one way traffic sahaja. Bukan senang untuk membuatkan hubungan yang terpisah kerana batas masa dan lokasi ini kekal lama. Tambahan pula, asas perhubungan ini tidak dibina lama. Aku manusia yang percaya bukan jarak dan masa penyebab sesuatu hubungan menjadi lesu, sebab aku percaya semuanya berpunca dari hati dan komitmen. Jadi setelah beberapa minggu dan sesi video call, aku sangat yakin ini adalah satu perasaan yang harmoni dan bermakna untuk kedua-dua pihak. Semalam kami berbual dan sumpah, rasa rindu yang teramat. Hilang sekejap semua masalah yang aku ada bila bersembang dengan dia, walaupun line di Nubra Valley tidaklah cemerlang sangat. Itu yang pagi ini aku bertekad, apapun jadi – aku kena mula menulis kembali dan catatan khas untuk dia perlu disiapkan hari ini juga.

Ok, sambung cerita….

Kali pertama kami berjumpa ialah semasa dia datang ke Hotel Kusyu, tempat kami menginap untuk menguruskan permit aku dan Farah untuk ke Nubra Valley dan Pangong Lake. Lelaki Buddhist yang susur galurnya dari Tibet ini nampak serius dengan rupa parasnya yang sebegitu. Air mukanya berkarakter dan untuk first impression, aku rasa dia seorang yang super serious! Masa ini aku anggarkan umurnya dalam lingkungan 45 – 50 tahun. Aku tidak banyak bersembang pun dengan dia. Farah yang berhubungan dengan Karma sebelum kami ke India dan banyaknya mereka berdualah yang berbual. Aku memperkenalkan diri aku sebagai Abby sahaja. Mudahnya begitu, senang orang nak ingat.

Dalam pertemuan ini, dia hanya minta kami duit untuk menguruskan permit sahaja. Untuk kos perkhidmatan, selalunya kita kena beri deposit 50% sebelum trip bermula. Tapi dia langsung tak minta. Dari sini aku dan Farah sangat yakin yang dia ini manusia yang boleh kami percaya dan harap. Lagi pula, dia antara pemandu yang mendapat review yang baik dalam blog yang Farah rujuk untuk dapatkan maklumat tentang Ladakh. Disebabkan hotel yang kami duduk ini menghadapi masalah wifi, kami mohon dia tumpangkan kami ke pekan supaya kami dapat melepak di kedai makan yang mempunyai wifi.

Esoknya, baharulah pengembaraan dengan Karma bermula. Dia sampai lewat  20 minit di hotel untuk mengambil kami. Tidaklah lambat sangat pun, dan kami juga tidak kisah sangat. Sebabnya, pagi ini pagi terakhir kami bersarapan dengan berlatarbelakangkan jajaran Himalaya di hotel. Sementara menanti dia sampai, masih ada ruang untuk aku mengambil gambar pemandangan di kawasan ini. Sebaik sahaja dia sampai, dia mahu mengangkat beg kami untuk dimasukkan ke dalam keretanya. Aku tidak benarkan sebab beg aku “ada jin” dan berat semacam. Farah pun sama. Kami boleh pikul beg kami sendiri. Aku cuma beri dia bawa beg oren yang berisi makanan biskut Munchy’s keluaran Malaysia dan air mineral sahaja. Oh, aku hampir lupa, ada cerita menarik pasal peristiwa membeli biskut ini. Nanti-nantilah aku tulis pasal kisah itu.

Farah mahu duduk depan, jadi aku beralah dan duduk di belakang. Di situ aku nampak sebakul raga yang berisi segala jenis jus buah-buahan, epal, biskut, thermos, madu, hand sanitizer dan macam-macam lagi sebagai bekalan untuk kami berjalan nanti. Aku tengok raga piknik tu aje aku sudah riang. Aku membayangkan sudah ada aktiviti berhenti di tepi jalan sambil menikmati bekalan yang dibawa seperti mana yang selalu aku dan adik-adik lakukan setiap kali kami bercuti bersama-sama mama. Kata Karma, dia hanya akan bawa bakul ini kalau client yang dibawa tidak ramai sebab faktor ruang. Sempat dia tanya aku, adakah aku selesa kalau raga itu ada di situ? Mungkin selama ini dia dapat client yang banyak ragam, jadi dia risau raga itu mengganggu ruang aku. Eh, ok aje…aku sempat usha sebotol air botol aprikot keluaran tempatan. Ada satu aje – aku mahu yang itu!

[Dan-dan lagu Jab Koi Baat – DJ Chetas ft. Atif Aslam & Shirley Setia menemani catatan ini].

Sebelum memulakan perjalanan, aku nampak dia bertafakur sebentar dan membaca doa. Ok, masa ini aku yakin aku bersama orang yang baik dan beriman. Perjalanan ke Nubra Valley awalnya tidak ubah seperti perjalanan dengan menaiki bas dari Srinagar-Kargil-Leh. Kami merentas bukit dan gunung-ganang. Aku perasan ada USB pendrive dalam kereta dia dan sebelum itu aku dan Farah sudah bersembang-sembang semoga ada lagu yang familiar dia akan pasang nanti. Tak kisahlah, lagu barat atau lagu Hindi. Hambik kau….30 minit pertama ialah lagu-lagu keagamaan dan chanting! Farah sudah biasa dengar semasa di ke Nepal tahun lepas. Ini pertama kami untuk aku. Kemudian baharulah lagu-lagu Hindi menemani perjalanan kami. Karma dan Farah banyak bersembang. Tentang Tibet, tentang India, tentang wilayah autonomi, Nepal, Himalaya dan macam-macam topik yang aku tidak berapa familiar. Aku hanya mendengar sepintas lalu dan sibuk mengambil gambar.

Karma sudah beritahu semasa dalam perjalanan tadi, sekiranya kami terasa hendak berhenti di mana-mana untuk bergambar, beritahu sahaja dan dia akan berhenti mengikut kehendak kami sepenuhnya. Aku hanya meminta dia berhenti sekali sahaja, sebab aku rasa seolah-olah tempat yang aku nampak itu aku pernah sampai dalam mimpi. Dia sentiasa melayan kami dan rajin bercerita. Jadi tidaklah bosan perjalanan berjam-jam yang kami lalui ini. Lagu-lagu Hindi yang berkumandang juga adalah lagu yang sama diulang berkali-kali. Ada satu lagu tu, seolah-olah menyebut nama aku – Baini Baini Baini. Jadi setiap kali lagu itu keluar, aku akan ketawa dan suruh Farah dengar sebutannya.

Adalah juga kami bersembang pasal lagu-lagu Hindi. Tahulah sikit, tapi setakat tahu ajelah dan hafal tidak. Pertama kali nampak Karma tergelak besar ialah semasa aku nyanyi baris pertama lagu Phir Bhi Dil Hai Hindustani. Lepas itu aku berhenti sebab aku yakin apa yang aku sebut tu salah hahahaha! Sempat aku pasang lagu Dil Diyan Gallan yang ada dalam handphone aku, sebab itu ajelah lagu Hindi yang agak baharu yang aku tahu, tetapi tidak hafal juga konsepnya.

Ingat tak catatan semasa aku di Khardung La, masa aku ambil gambar dan video salji macam kanak-kanak riang tu? Selepas bersejuk-sejuk mengambil gambar, Karma buatkan kami berdua air teh halia madu panas sebelum kami meneruskan perjalanan ke Nubra Valley. Itulah air teh halia madu paling sedap pernah aku minum, kalah Paparich atau Hainaan Hometown. Selepas itu, dia ada cakap something pasal salji tidak turun dalam bulan September dan dia rasa macam salji akan turun makin banyak sehari dua ini. Kami memanglah rasa seronok tengok salji memutih, rupa-rupanya apa yang kami fikirkan langsung tak sama dengan apa yang dia fikir.

Ketika kami sampai hotel di Nubra Valley, dia tanya sama ada kami mahu dia buatkan lagi air tersebut lagi atau tidak. Of course aku merengek-rengek mahu sebab cuaca tengah sejuk. Dapat air panas memang best. Tersengih-sengih dia buatkan kami air dan aku sempat rakam situasi itu. Tapi itulah…aku masih tidak rasa pandai bersembang dengan dia masa ini. Ketika petang itu kami melepak di halaman hotel, pun masih ais aku tidak cair lagi. Aku lebih kusyuk memangkah Candy Crush daripada bersembang dengan dia. Mungkin kerana akupun agak pemalu dan senyap, maka dia tidak banyak bersembang dengan aku. Cuma malam itu ketika aku bersejuk-sejuk di balkoni untuk mendapat capaian internet yang laju dia menegur aku kerana risaukan aku terbeku di luar itu. Sweet sangat hahaha…

****

Keesokan harinya kami meneruskan perjalanan untuk ke Pangong Lake. Seperti semalam, diawal pemanduan Karma akan memasang lagu-lagu keagamaan dan chanting dan kemudian baharulah lagu-lagu Hindi akan menemani perjalanan kami. Sebelum itu, dia bertafakur beberapa minit sebelum kami bertolak. Aku dan Farah hanya baca doa dalam hati sahaja 🙂

Bila lagu Baini, Baini, Baini keluar lagi, seperti semalam aku akan tergelak dan terus bersembang dengan Farah. Karma mulai pelik kenapa Farah panggil aku Baini, padahal aku suruh dia panggil aku Abby. Sejak itu, babai Abby…dia panggil aku Baini. Lupa pulak aku di India. Tak sulit sangat untuk mereka menyebut dan mengingat nama aku yang sebenar. Bila lagu Dil Diyan Gallan nyanyian Atif Aslam berkumandang, dia akan kuatkan volume sebab dia tahu aku suka lagu itu. Sudah dapat mata hati bergula-gula dah mamat ni.

Untuk cerita lebih terperinci, boleh baca balik di sini. Dipendekkan cerita, kami sampai di Pangong Lake dalam keadaan jalan untuk balik ke Leh ditutup kerana salji turun dengan dahsyatnya. Telefon aku pula terjatuh dan terus fade to black dan malam itu aku, Farah dan Karma melepak di dewan makan. Di sinilah punca semua cerita…

Ia bermula dengan pertanyaan penuh sopan, adakah kami berdua okay dan memerlukan tabung oksigen sebab dia nak beri tabung itu pada tetamu hotel yang terkena Accute Mountain Sickness. Bila kami kata okay dan tak kisah, dia keluar dari dewan itu untuk menghulurkan bantuan kepada tetamu yang tidak sihat sementara aku dan Farah tetap setia menanti makan malam kami yang tak siap-siap lagi. Kemudian, Karma datang balik dan duduk bersembang dengan kami. Dan kami mula bercerita panjang….Dalam dia rupanya dia sudah observe kami berdua sejak di Khardung La lagi.

Ketika kami berdua sakan bergambar dalam keadaan salji mulai turun dengan lebat, dia memerhatikan kami sama ada kami berdua ada tanda-tanda AMS atau tidak. Bila dia perhati dari kereta kami ketawa-ketawa bergambar macam masuk air, dia positif sikit kami okay – tapi masih monitor lagi mana tahu tiba-tiba kami rebah ke, apa ke. Kemudian masa kami sudah masuk kereta dan minum air panas, baharulah dia yakin yang kondisi kami berdua okay sahaja. Dan ketika dia beritahu pasal salji mulai turun, rupanya dia sudah ada rasa yang kemungkinan jalan balik esok akan ditutup. Masa dia berhenti semalam, dia sudah mula bertanya orang kampung di mana dia boleh dapatkan bekalan diesel. Kami berdua memang beruntung kerana dapat pemandu yang bertanggungjawab seperti dia.

Kali ini, aku dan Karma mulai rancak bersembang. Tentang keluarga..tentang agama..tentang perbezaan dan tentang hubungan manusiawi dalam keadaan berbeza agama, kepercayaan, budaya dan bangsa. Rupanya ada juga dalam kalangan keluarga Karma yang berkahwin dengan orang Islam dan dia juga memberitahu, ada juga orang Tibet yang menganut agama Islam. Dalam tak sedar, aku banyak dapat ilmu baharu dengan bersembang dengan Karma. Dialah yang memberitahu aku ada 3 jenis Buddha. Masa ini aku dan Farah memang terdiam macam kena kuliah sebab kami tak tahu langsung.

Kemudian kami bersembang tentang Islam. Dia bertanya tentang konsep makanan halal untuk orang Islam. Apakah perbezaan antara daging halal dan jhatka? Ha, korang pun tak tahukan? Tak apa, akupun tak mahu terangkan sebab panjang sangat. Google ajelah kalau mahu tahu lebih. Cuma aku dan Farah merengek la yang kami sudah lama tak makan binatang hahahaha. Jadi, Karma cakap, esok dia akan bawa kami ke restoran halal di Leh.

Kemudian kami bersembang ke jajahan peribadi dan keluarga. Aku cerita pada dia tentang arwah Cahaya Balqis, anak-anak, suami, keluarga dan adik-beradik. Terdiam dia bila dengar cerita aku sebab aku boleh gelak-gelak lagi cerita pasal kisah sedih hidup aku. Dan dia tak sangka aku boleh bersembang rupanya…

Kemudian dia cerita tentang diri dia pula. Aku ingat ceritanya, tetapi cukuplah untuk ingatan aku dan Farah sahaja (kot perempuan tu ingat). Entah macam mana dari cerita gitu-gini tiba-tiba terkeluarlah statement dia rasa aku macam adik dia. Akupun cakap dia pun macam abang aku juga. Umur Karma baharu 39 tahun dan dia sebaya dengan kakak aku. Memang logik sangat kalau dia jadi abang aku yang berlainan mak bapak. Perbualan ini dari gelak ketawa mulai mendatar menjadi serius dan emotional.

Oh, Farah sempat rekod sedikit perbualan ala-ala Jejak Kasih ini. Serius…penuh kejujuran antara kedua-dua pihak. Aku tersedih juga masa itu. Keikhlasan dan rasa happy tu, kami sama-sama rasa! Karma nampak sangat terharu dan aku ingat dia cakap something like dia jumpa ramai orang dalam 15 tahun dia bawa manusia menjelajah Ladakh tapi ini pertama kali dia dapat family dan family baru dia pula seorang Muslim! Dia bersyukur tak berhenti-henti. Aku dan Farah tergelak-gelak juga sebab jujurnya aku tak sangka aku akan close dengan Karma dan tak sangka ada sisi lain yang kami nampak di sini. Mungkin inilah hikmahnya telefon aku rosak petang tadi. Kalau tidak, aku tak rasa aku akan bersembang dan mengenali dia dengan lebih rapat. Selesai makan, kami bertiga melepak seketika sebelum balik ke bilik. Karma agak risau sebab suhu malam itu sangat sejuk memandangkan kami berdua memang tak biasa hidup dalam suhu sebegitu. Jenuh dia tinggalkan pesanan penaja sampai aku repeat apa dia pesan, baharu dia nampak puas hati hahaha…

***********

Hari ini jalan untuk balik ke Leh ditutup. Boleh baca details di sini.

Jadi pagi ini bermula dalam keadaan aku sudah ada abang di sini… (tiba-tiba..). Aku terfikir juga kot apa yang jadi semalam itu sebab aku tengah mabuk chai masala atau betul-betul kejadian. So, memang today is a new day for both of us. Ia bermula dengan dia mendapatkan maklumat tentang jalan balik ke Leh yang ditutup – kembali dengan penuh serba-salah memberitahu tentang pertambahan kos dan diikuti dia mengambil 2 penumpang tambahan untuk kembali ke Leh kerana faktor kecemasan dan kemanusiaan.

Seperti biasa, dia akan mulakan perjalanan dengan memasang lagu keagamaan dan chanting. Sebaik sahaja rutin itu selesai. dia terus patching telefonnya dengan blutooth kereta dan keluarlah lagu yang aku selalu humming, tapi tak tahu dari mana aku dengar lagu tu – Jab Koi Baat. Terus aku ‘thank you bhaiyya’ kat situ juga dan dia tergelak kecil dengan perangai aku itu. Bila lagu Dil Diyan Gallan keluar, dia pasti akan sebut ‘this is Baini’s favorite song‘ seraya menguatkan volume 🙂

Sepanjang perjalanan, Karma akan sentiasa tanya, Baini Okay? Farah Okay? . Maklum sahaja ada 2 perempuan lain dalam kenderaan kami disebabkan masalah yang aku nyatakan tadi. Aku nak cerita pasal satu kenderaan dari Rajasthan yang rosak semasa kami menyusuri Pangong Lake. Dialah manusia yang paling sibuk membantu mamat tu, walaupun tak pernah kenal. Habis segala apa yang dia ada, dia offer pada mamat tu. Tayar, nat dan paling penting, kudrat dia. Masa dia cuba keluarkan tayar spare dari kereta dia, aku dan Farah cuba membantu tetapi dia tak bagi. Yang bestnya, selepas kereta itu selesai dibaiki, dia lupa untuk minta contact number mamat Rajasthan tu. Mujurlah Farah ada ambil gambar kereta berserta dengan nombor platnya sekali.

Sepanjang perjalanan, kami berhenti sekali di Rezang La War Memorial untuk minum teh halia madu panas untuk kali terakhir dan beberapa jam kemudian berhenti untuk makan tengah hari. Selepas itu, memang pecut tanpa henti. Memang laju dia bawa sebab nak kejar matahari. Perjalanan kami masih berbaki beratus-ratus kilometer dari tempat makan tengah hari tadi. Aku ada cerita dalam catatan lepas yang Karma mahu buat surprise iaitu bawa kami ke rumah isterinya di Nyoma. Dia mahu jamu kami dengan minum chai panas. Masa aku nampak anak-anak Karma berlari dan memeluknya, aku sudah rasa sedih sikit. Teringat anak-anak di rumah. Karma nampak sangat gembira. Dia banyak cerita pasal anak perempuannya kepada kami. Oh, dia ada 3 anak…2 lelaki dan satu perempuan.

 

Selepas bertemu keluarganya, perjalanan diteruskan. Walaupun masih jauh berbaki beratus kilometer, dia nampak gembira dan yakin. Aku percaya dalam perjalanan yang jauh,kita kena buat pilot happy. Kalau dia happy, maka insya Allah perjalanan itu akan selamat. Ketika kami berada 50km lagi untuk sampai ke Leh, boleh dikatakan semua kereta yang berkonvoi dengan kami berhenti untuk berehat dan melepas hajat. Sementara Karma ke bilik air, aku dan Farah bersembang sebentar. Kami bercadang untuk mengajak dia makan malam bersama. Inilah masa untuk kami beri penghargaan pada dia pula. Tapi, itupun kalau dia mahu dan dia kena hantar 2 perempuan ini balik ke hotel mereka dahulu.

Esok, kami akan bertolak balik dari Leh – Srinagar – Amritsar dan perlu bertolak dari hotel pukul 4:30 pagi. Aku lebih prefer kalau Karma sahaja yang hantar kami sebab agak payah untuk cari teksi pada pukul 4:30 pagi. Tapi aku dan Farah terfikirkan satu benda yang sama – dia tentu letih dan mahukah dia menghantar kami subuh esok? Job dia dengan kami berakhir malam ini! Penuh yakin aku cakap, ‘dia abang aku..dia akan hantar.’

Karma kemudian mendapatkan kami dan kami bersembang seketika. Dia sangat happy sebab 50km terakhir ini jalannya lebih bersifat dari jalan off-road yang kami lalui. Tak sempat aku dan Farah bertanya, dia sudah mulakan dahulu. Dia mahu membawa kami makan makanan halal bersama selepas menghantar 2 perempuan itu balik ke hotel. Of course aku dan Farah rasa gembira sebab perancangan yang ada dalam kepala kami semua sama. Selepas take a quick break seketika, perjalanan balik ke Leh ini diteruskan kembali. Kali ini aku duduk di depan dan kami bersembang santai.

Kami sampai di Leh sekitar pukul 8:30 malam seperti yang dijangkakan. Selepas menghantar 2 manusia itu ke hotel, Karma membawa kami ke satu restoran halal yang menjual makanan Kashmiri iaitu Wazwan. Tapi itulah, nasib kami. Malam itu tiada makanan berunsurkan binatang dan telur yang dijual. Aku tak pasti kerana awal Muharram atau sebab malam itu bulan mengambang penuh. Maka kami memilih untuk makan naan, nasi dan berlaukkan mushroom paneer something. Sekali lagi kami harus menjadi vegetarian walaupun berada di restoran halal. Super stress!

Baharulah aku nampak Karma makan dengan tenang dan berselera di sini. Aku tak rasa dia sempat sarapan kerana masalah pagi tadi sementara makan tengah hari pula dia makan dalam keadaan tergesa-gesa. Kami bersembang-sembang dan mengingat kenangan silam (silam sangat….3 hari 2 malam punya cerita). Alang-alang bersembang kencang, tentu lebih indah kalau dapat kopi panas. Entah apalah masalah kemaslahatan restoran ini…hari itu juga mereka membuat keputusan untuk tidak menjual air panas! Aku dengan Karma serentak berpandangan sesama sendiri dan kening Ziana tak berapa nak runcing itu mulai terangkat. Aku kemudiannya terus bangun dan mencapai botol Coke di peti ais mereka. Jadilah…

Sudah santai-santai itu, baharulah aku bertanya dengan penuh sopan, bolehkah hantar kami subuh esok ke lapangan terbang? Yes, of course i will send you..Yes! Lega..selesai satu masalah. Sekarang ini masalah mencari hotel pula. Hampir 3 hotel yang kami pergi, semuanya penuh. Kalau tak penuh, mahal yang mengarut-ngarut. Akhirnya kami jumpa juga satu hotel yang available. Sebenarnya aku sudah tahap mana-mana pun tak apa, sebab aku kesian sangat dengan abang aku yang memang nampak sangat penat, lunyai dan barai. Jadi bila kami bersetuju untuk menginap di sini tanpa tawar harga, dia berbisik pada kami sewaktu kami keluarkan beg dari bonet kereta – sepatutnya kami tawar dahulu sebelum bersetuju. Haih…masih dia fikirkan hal kami juga. Aku nak aje cakap hotel kat Malaysia mana ada tawar-menawar harga ni tapi aku sendiri sudah penat. Selesai urusan hotel, dia kemudiannya balik dan kami terus masuk bilik dan berehat.

**********

Aku bangun tidur pukul 3:30 pagi. Mandi, bersiap dan kemas beg kerana pagi ini kami akan balik ke Amritsar. Penerbangan kami dijadualkan pada pukul 7:10 pagi, jadi kami perlu ada di lapangan terbang 2 jam sebelum waktu itu. Aku mulai rasa sedih subuh itu..sedih sebab teringatkan kenangan di Pangong Lake. Macam tak percaya percutian aku bakal berakhir beberapa hari lagi. Farah sudah turun awal. 4:20 pagi baharulah aku terhegeh-hegeh turun. Rupa-rupanya Karma sudah sampai. Kami saling berbalas-balas senyum dan ucap selamat sesama sendiri. Pagi itu kami tidak rancak sangat bersembang. Aku rasa Karma sangat letih dan hari ini, dia sudah ada client untuk ke Nubra Valley. Disebabkan lapangan terbang yang dikongsi bersama tentera ini belum dibuka, Karma mahu bawa kami minum dahulu. Sayangnya, semua kedai masih belum buka subuh itu. Sudahnya, dia memberhentikan kereta di tepi jalan dan kami bersembang lagi sementara masih ada kesempatan bersama. Biasalah dialog, hope to see you again, please come to Leh, please come to Malaysia dan lain-lain dialog perpisahan. Hmmm…aku akan rindukan teh halia madu panas yang dia buat…Dia tergelak kecil dan nampak sedih. Haih…

Kami memang sudah tolak tepi kos pengangkutan untuk ke lapangan terbang. Hmm…dia langsung tak mahu ambik duit tu. ‘You’re my sister, Baini’ – lafaz yang menjadi soneta setiap kali aku teringatkan dia. Pagi itu aku sedar apa yang berlaku semalam bukannya mimpi dan dia memang abang yang reliable, seperti yang dia janjikan pada aku di dewan makan di Pangong Lake. Dan kami mengucap salam pisah sebelum dia meninggalkan aku dan Farah yang mulai kesejukan di Lapangan Terbang Leh. Mujurlah pagi, tidaklah emosional sangat sebab baru reboot.

****

Sudah beberapa minggu berlalu, aku dan Karma masih berhubungan. Rindu tetap ada..sumpah aku tak tipu. Dia buat aku rasa seolah-olah aku ada abang dan yang paling penting, dia buat aku rasa langit hanya sempadan. Paling asas, hormat-menghormati antara satu sama lain dan percaya pada kuasa tuhan. Oh, dia sudah dapat balik tayar yang dia pinjamkan kepada pemandu dari Rajasthan itu. Aku sebenarnya tak sabar mahu kenalkan dia dengan Hadi, sayangnya setiap kali kami video-call, Hadi tiada dengan aku. Mana tahu ada rezeki aku ke sana lagi dengan Hadi. Alah, alangkan Jepun pun aku sampai masa rindu menggila pada Nakatani san. Insya Allah, India aku boleh gagahkan lagi.

Thanks brother…we are not related by blood but by heart. You are also family in my heart forever.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posted by on October 16, 2018 in Famili, Untuk Dikenang

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Skip to toolbar