RSS

Menggalas Bagasi

August 18

Kita ini manusia. Dibahu kita ini tergalasnya sebesar-besar tanggungjawab kepada sang pencipta dan sekecil-kecil amanah selaras akurnya kita sewaktu kita semua bersetuju dengan janji untuk lahir sebagai manusia. Semua orang, bagasinya sama – tetapi beratnya berlainan.

Berat ini yang kita kutip setiap hari dalam kehidupan. Beratnya berumahtangga, beratnya hidup sendiri, beratnya disakiti ataupun beratnya ditimpa musibah. Kadar keberatan ini tidak mempunyai nilai maksimum. Selagi kita hidup, kita akan sentiasa mengutip bebanan ini.

Sungguhpun begitu, berat dan bebanan ini boleh berkurang. Bagaimana caranya, kebanyakan kita tahu sendiri. Selesaikan masalah satu persatu, selaraskan kehidupan kita balik dan paling lazim berkongsi.

Tiada jaminan dalam perkongsian beban, masalah akan selesai. Berat mungkin sama tapi “waktu rehat” yang dicuri semasa berkongsi itu menjadikan bebanan yang ada, tidaklah seberat mana, atau sebesar manusia lain.

Jangan sesekali merasakan apabila kita berkongsi masalah, kita ini manusia lemah. Malu dengan dunia kerana kegagalan ataupun ujian yang tuhan tentukan. Kerana sebenarnya dalam dunia ini, ada sahaja manusia separuh dewa yang prihatin dan ambil tahu akan kewujudan diri kita. Mereka itu mungkin keluarga kita, kenalan kita dari zaman sekolah hingga ke universiti atau rakan-rakan sekerja. Persepsi negatif yang ditanam hanya akan memakan diri dan remuk-redam itu hanya akan menyumbang kepada emosi yang lebih serabut. Kalau perlu dapatkan bantuan, pergi sahaja.

Kalau perlu dapatkan sokongan, mengapa tidak? Kita ini semua hidup dengan lingkaran aura yang mampu mempengaruhi perasaan dari yang pelik-pelik kepada yang lebih molek. Pernah tengok, sebagai contoh rancangan X-factor bila ada peserta yang mampu membawakan lagu dengan baik dan secara tidak langsung lift-up mood kita pada masa itu, ia membuatkan kita terasa hidup ini punya matlamat, kita boleh menjadi lebih baik dan emosi-emosi pelbagai lain. Situasi ini aku sifatkan sebagai “menyedut” aura. Kalau orang itu positif, kita secara tidak langsung terpalit aura positif yang sama dan rasa selesa dengan dia. Begitu juga sebaliknya. Tidak pernah aku dengar orang tengok cerita hantu seram, tetapi rasa bahagia tersenyum simpul dan rasa disayangi. Tak kena laku, kata orang Zambia.

Aku doakan jiwa-jiwa manusia yang membaca ini menjadi tabah dan terbuka. Akupun tidaklah kuat mana, tapi aku tahu aku ada tiang yang membantu tegakkan aku bila aku rebah. Beri peluang pada orang lain menjadi tiang untuk sokong kau, bila kau rasa rebah. Aku selalu sebut ini dalam perbualan “percaya kuasa tuhan”.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posted by on August 18, 2018 in Jiwa Retak

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Skip to toolbar