Menelan Realiti 2 – Balik Ke PJ Oldtown

16 hari berlalu…

Hari ini hari pertama Ramadan. Seawal pagi bersahur bersama mama, Hadi dan adik-adik. Sempat merencana aktiviti diwaktu siangnya supaya tidak terasa panjang Ramadan pertama ini. Jadi siang itu kami ke Hulu Langat dan Carrefour Ampang kerana aku mahu membeli beberapa busana baru sempena hari baru.

Berbuka puasa di rumah mama. Sangat meriah…Anak-anak saudara suara mereka sahaja memecah senja di Taman Permata. Mungkin sudah tidak sabar memecahkan puasa pertama dengan jayanya. Menu juga istimewa. Mama masak ketam masak lemak, ikan masak taucu, ayam masak merah dan baki udang tempoyak sahur tadi turut menjadi juadah berbuka. Belum masuk Roti John dari Bazar Ramadhan yang memeriahkan meja makan kami tadi.

Selepas berbuka, Hadi mahu pulang ke PJ. Kain baju perlu dibasuh, rumah perlu dijenguk sementelah sejak ketiadaan Cahaya Balqis aku hanya berpantang dirumah mama. Aku tak tahu berapa kali aku menangis. Berapa kali juga Hadi tanyakan, boleh tak nak balik PJ? Aku kena tempuh semua ini. Lagi cepat lagi baik. Dan aku kembali dengan setiap sudut membuat aku menderita. Ya Tuhan…aku rindukan detik aku mengandungkan anak itu. Teringat saat aku berinteraksi dengannya sewaktu aku sibuk menyiapkan assignment. Di PC inilah aku bersembang dengannya, aku minta dia bersabar dengan kesibukan aku. Aku mohon dia menjadi anak yang bijak kerana aku mengandungkannya masa aku membuat sarjana. Yang kerap, aku minta dia menjadi manusia yang simpati dan empati. Ada rasa, dan bertanggungjawab 🙁 Tapi itu semua kisah lama..

Hari-hari aku berdoa supaya perasaan kehilangan ini tidak membunuh jiwa aku. Dari satu sudut, aku menjadi manusia yang kuat. Tapi disudut yang lain, aku akan barai juga dengan rasa kehilangan itu. Mungkin ini normal..mungkin aku harus bersabar lebih.

“Selalu bersama, habiskan malam walau tanpa bintang – Anang dan Auriel”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *