Menelan Realiti 1 – Pemeriksaan Pasca Hilang Cahaya..

Hari ini setelah hampir 2 minggu berlalu. Aku menjejakkan kaki ke PPUM dengan perasaan yang sangat kusut dan kecamuk. Hari ini dijadualkan pemeriksaan selepas episod keguguran Cahaya Balqis (yang belum lagi aku kuat untuk lalu sebenar-benarnya..). Ini pun bergenang-genang airmata tapi aku gagahkan juga sebab selagi aku tak berhadapan dengan realiti, sampai bila-bila aku akan tersangkut di fasa yang sama. Paling buruk, potensi meroyan tentu ada dan aku tak mahu menjadi sebahagian statistik. Aku waras…cuba mustahil aku dapat telan semua benda ini sekelip mata dan berlagak ianya tak pernah berlaku.

Menunggu satu benda yang rutin. Aku menunggu giliran nombor dipanggil, sambil menunggu Hadi parking kereta. Setiap pelusuk Bahagian Ginekologi itu sudah mesra benar di mata aku. Berbulan-bulan aku berulang ke sini. Tapi hari ini aku datang untuk tujuan yang lain. Aku tak tahu berapa gelen airmata aku turun masa menunggu..masa masuk ke bilik doktor dan masa-masa yang lain. Doktor memeriksa fail aku. Setiap soalan aku jawap, dan aku radiasi di situ. Aku tak boleh berhenti menangis. Mungkin dia sedar ada sesuatu yang tak kena, dia minta Hadi keluar dari bilik sebentar.

Dia doktor yang baik dan prihatin. Satu-persatu dia bertanya dan aku tahu dia faham apa yang aku rasa. Melihatkan dia hampir bergenang saja sudah buat  aku hujan tanpa ditahan. Ada beberapa perkara sensitif yang ditanya. Aku menjawap sewajarnya dan aku menolak dengan baik. Aku jujur dengan pertanyaan sang doktor. Jawapan aku  memang jawapan orang yang redha, bukannya skrip drama swasta dan sinetron seberang.

Aku sebenarnya ada semua jawapan pada persoalan yang diberi. Cuma aku belum ada masa untuk melaluinya seperti biasanya orang lain melalui kehilangan anak. Tiada temujanji dengan gynea lagi, sehinggalah aku hamil sekali lagi. Itupun dinasihatkan memberi ruang antara 3-6 bulan supaya badan aku benar-benar pulih. Dia minta aku banyakkan bersabar…Perkara norma yang diucap untuk menenangkan orang yang melalui pengalaman seperti ini. Sebelum semuanya usai, dia memberi reference letter untuk aku majukan pada bahagian ********. Temujanji minggu depan sudah aku dapatkan.

Aku belum cukup kuat untuk tulis pasal peristiwa aku hilang Cahaya Baqis..Mungkin esok lusa. Ini permulaan pertama aku menulis untuk melalui ujian ini dengan setabahnya – tanpa menyalahkan tuhan, takdir dan diri sendiri

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 Replies to “Menelan Realiti 1 – Pemeriksaan Pasca Hilang Cahaya..”

  1. salam ziarah.. saya tidak mengenali puan.. tapi saya berdoa puan akan sihat kembali. Bersyukur puan ada juga pengalaman mengandung berbanding diri saya:) Insyallah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *