Lipan Jahat

Mula-mula aku dengan konfiden ingatkan gigitan ular
Mula-mula aku dengan konfiden ingatkan gigitan ular

 

Itu adalah pengalaman pertama aku digigit lipan. Bara atau tidak, wallahualam. Tapi sakitnya memang membuatkan aku mengongoi-ngongoi semalaman. Siapa yang pernah cakap ‘kerana cinta aku sanggup redah lautan api’ kepada boifren yang tak tentu jadi laki memang patut kena sedas dengan lipan ni. Kemudian kalau kenyataan cinta kau tak berubah makanya memang kebal engkau ni!

Kisahnya begini….

Malam itu kami bermalam di rumah mertua. Sekitar pukul 2.30 pagi begitu, kala aku sendiri sedang lena-lena ayam. Mimpi pun tak berapa memberangsangkan. Tiba-tiba aku tersentap, tangan terasa bisa dan perasaan seolah digigit/dipatuk kuat melanda. Aku bingkas bangun dan kejutkan Hadi, minta dia buka lampu. Tangan terasa berdarah dan bisa mula menjalar. Serentak aku menyelongkar tempat tidur dan cuba mencari pemangsa yang bertanggungjawab. Tak jumpa!

Aku tunjukkan kesan gigitan pada Hadi. ‘Lipas ni..’ kata beliau separa terpisat-pisat. Aku tak puas hati. Jujur aku cakap, aku rasa macam kena patuk ular! Aku mulai tak sedap hati. Aku risaukan Eskandar yang masih tidur, takut-takut perkara yang sama terkena pada dia.

Hadi ajak tidur balik. Aku tahu dia mengantuk, tapi aku sudah dibayangi perasaan yang pelbagai. Hadi suruh sapu minyak hangat. Langsung tak mengubah apa-apa. Tambah sakit adalah. Dalam setengah jam selepas itu memang aku dah tak boleh tahan. Aku dah teresak-esak kat ruang tamu rumah. Hadi sudah kejutkan mak dan abah manakala adik-adik yang lain ada yang terjaga dari tidur sebab kecoh-kecoh di luar.

Tangan makin sakit, makin bengkak. Eskandar kami keluarkan dari bilik, biar dia tidur di ruang tamu sahaja. Kepada adik Hadi yang terjaga, kami minta jagakan Eskandar sebentar sementara kami mencari klinik 24 jam. Mujur jumpa di Cheng. Kenalah suntik sedas. Masa nak suntik tu, doktor siap cakap, ‘tahan ya Puan, sakit sikit ni’ tapi apapun aku tak rasa. Rasa sakit kena gigit tu lebih dominan.

Ini surut sikit. sebelumnya lebih besar dan gebu
Ini surut sikit. sebelumnya lebih besar dan gebu

 

Balik dari klinik, Hadi terus lelap. Kesian dia, entah berapa kali aku minta maaf sebab susahkan dia subuh-subuh begitu. Aku sendiri sudah tak boleh tidur. Nak tidur di lantai, memang badan tak mampu dah. Makin berat ni cepat sakit belakang. Sudahnya aku tidur duduk di sofa. Tak lena sangat, dan leher sakit serupa zirafah. Tangan pula makin bengkak dan sembab. Mujur tak biru. Ada yang cakap mungkin kena gigit labah-labah ni. Dalam hati aku mengharap gigitan labah-labah ini datang dengan sedikit super power juga. Juga aku mengharapkan diberi petunjuk pemangsa apakah yang mengokak tangan ini…Itu banyak kali aku sebutkan dalam hati. Berilah petunjuk..berilah petunjuk.

Petang sebelum balik KL, adik ipar tunjukkan bangkai seekor lipan. Lagak Grissom, aku menyukat saiz lipan dan diameter gigi lipan. Nyatanya berpadanan dengan bekas pada tangan. Handal bukan…tanpa makmal dan gajet-gajet aku sudah selesaikan satu misteri.

Lipan jahat...
Lipan jahat…

 

Apa pun aku bersyukur sebab aku yang kena…bukan Hadi, bukan Eskandar. Itu juga pengorbanan. Itu jelas cinta 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *