Laos : Dari Vang Vieng ke Vientiane..

Bas ini membawa aku dari Vang Vieng ke Vientiane

 

Pengalaman separa ngeri menaiki bas dari Vientiane ke Vang Vieng yang lepas membuatkan aku lebih berhati-hati untuk memilih bas. Kami membeli tiket di rumah tamu sahaja kerana mereka ada menjadi orang tengah menjual tiket bas. Kali ini kami memilih bas mini. Harapan sangat tinggi…semoga yang naik bersama kami kali ini biarlah tidak membawa ayam dan membeli baguette!

Selepas sarapan dan memulangkan motorsikal sewa, kami menanti van perantara yang akan membawa kami ke stesyen bas berhampiran. Janjinya jam 8.30 pagi. Hampir jam 10.00 pagi van tak sampai-sampai. Muka aku memang dah baran. Aku dapat rasa pemilik rumah tamu itu sendiri seram sejuk dengan reaksi aku yang menunggu masa nak meletup. Bukannya apa, aku takut tertinggal atau ditinggalkan atas kesilapan orang lain. Rupa-rupanya bas mini yang kami naiki masih dalam perjalanan ke stesyen bas, belum sampai pun lagi.

Apapun aku lega kerana bas mini ini selesa dan bersifat bas persiaran. Harganya masih sama dengan bas lompat yang aku naik dulu. Perjalanan tidak banyak kali berhenti dan pemandu bas memberhentikan bas di restoran untuk penumpang melepas hajat. Ia dibawa laju, dan kami sampai di Vientiane tepat pada masa yang dijadualkan. Cumanya bas tidak berhenti di stesyen bas, ia berhenti di stadium. Apalah punya sengal!

Kali ini kami menanti tuk-tuk, tapi tak ada satu pun yang berpemandu. Pelik..! Hari ini hari terakhir di Laos dan jadual sangat padat. Sebolehnya kami cuba untuk sampai ke tempat-tempat menarik yang ada di sini. Oleh kerana malas nak menunggu, kami mengambil keputusan untuk berjalan mencari Inner City Hotel, tempat untuk berlabuh malam ini. Mujur tak jauh sangat..Daftar masuk – kemaskan diri – dan terus keluar balik!

Lao National Cultural Hall..
Grand Canyon!

 

Kami menyewa tuk-tuk untuk membawa pusing bandar dengan harga 150,000 kip (RM 60). Itu pun kami terpaksa membatalkan hasrat ke Buddha Park kerana ia agak jauh, 45 minit perjalanan. Dalam keadaan orang balik kerja dan mengejar masa, kami hanya memilih beberapa tempat yang menarik sahaja. Apapun, misi pertama ialah ke “pasainee” – pejabat pos. Jujur aku katakan kalau aku menetap lama di sini aku boleh bertutur dalam bahasa mereka kerana bahasa Lao mudah untuk difahami. Tulisan aje aku gagal teruk. Agak mengujakan bila aku terjumpa Restoran Grand Canyon, restoran kegemaran aku. Sayangnya tak halal.

Pilih saja nak pergi mana..
Pejabat pos..

 

Urusan di pejabat pos sangat lancar. Tak perlu beratur di kaunter kerana setem boleh dibeli di kaunter pertanyaan. Setem ke Malaysia berharga 9000 kip (+-RM3.60). ¬†Aku tak hantar poskad kepada sesiapa, hatta diri aku sendiri. Satu kerana poskad di sini sangat tak menarik. Dua, aku tiada perasaan ūüôĀ

Misi pertama, kami ke Pha That Luang. Sekadar bergambar di luar. Memang kami agak terkejar-kejar hari ini. Pha That Luang ataupun Great Stupa adalah monumen nasional dan juga simbol negara Laos yang bersalutkan emas. Untuk bacaan lanjut, sila baca di sini.

Pha That Luang..

 

Kemudia kami terus ke Phatuxai. Ia juga dikenali sebagai Victory Gate atau Gate of Triumph. Menurut Hadi, US memberi sejumlah dana untuk Laos membuat lapangan terbang. Namun ia digunakan untuk membuat Phatuxai. Phatuxai ini adalah bagi menghormati pejuang Lao yang mati dalam beberapa siri peperangan. Memang bijak.. Agak semput juga aku menaiki tangga untuk ke puncak, tapi berbaloi. Di beberapa tingkat ada kedai cenderamata untuk sesiapa yang berminat. Apapun, sila tawar-menawar. Untuk bacaan lanjut tentang Phatuxai, sila baca di sini.

Phatuxai..
Pemandangan dari atas bumbung Phatuxai
Ruang legar dalam Phatuxai

 

Di luar Phatuxai, terletaknya Phatuxay Park. Apa yang menarik di sini ialah adanya sebuah ‘gong perdamaian’ yang diberikan oleh kerajaan Indonesia sebagai tanda persahabatan barangkali. Cukuplah dulu…aku agak mengantuk kala ini.

Gong Perdamaian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *