Laos : Bas Oh, Bas!

Nothern Bas Station, Vientiane

 

Bas ke Vang Vieng paling awal akan bertolak jam 11.00 pagi. Melihatkan kondisi bas, ia seperti Bas Ekspress Jebat di Melaka. Tidaklah menyedihkan sangat dan tidaklah hina sangat. Rasanya hanya aku dan Hadi sahaja pelancong luar. Satu muka pelancong Eropah pun aku tak nampak.

Di sini, kita kena rebut dahulu tempat duduk. 5 minit sebelum bas gerak baharulah konduktor bas akan menjual tiket. Lebih haru, ini adalah bas lompat dari Vientiane ke Lau Phrabang. Vang Vieng adalah salah satu destinasi bas berhenti sebelum meneruskan perjalanan ke Lau Phrabang. Sebagai bekalan, aku membeli air teh perasa gandum dan Hadi pula membeli teh perasa lemon. Bila bas bergerak,saat itulah pengalaman baru tercipta.

Vang Vieng adalah salah satu tempat pelancongan tepi gunung yang sangat santai dan menenangkan. Ia terletak kira-kira 155km dari Vientiane. Selalunya pelancong akan ke sini untuk ke Blue Lagoon atau ‘tubing’. Tubing ialah melepek dalam tayar dan membiarkan diri menyusur sungai. Tapi aku tidak berhasrat melakukan itu kerana aku tidak tahu berenang dan aku datang bulan. Backpackers biasanya memilih untuk berehat semalam di sini sebelum menyambung perjalanan lebih kurang 4-5 jam ke Lau Phrabang.

Jalanraya di sini sangat menyedihkan. Tidak banyak yang berturap dan tiada perhentian rehat untuk melepaskan hajat. Mujur aku berhati-hati dengan kadar air yang aku minum supaya tidak gelisah dalam perjalanan. Berbalik kisah bas…5 minit keluar sahaja dari perhentian bas ini singgah dideretan kedai di bahu jalan. Berdasarkan ramai yang turun membeli bekalan,aku andaikan mereka bersedia dengan bekalan makanan sebelum perjalanan yang panjang itu diteruskan. Kami hanya duduk memerhati dari dalam bas.

Hampir semua membawa naik “baguette” – sejenis roti panjang yang pada aku keras dan tak sedap. Bas bergerak beberapa minit selepas itu dan tak sampai 5 minit berhenti mengisi minyak. Pada pengamatan aku, jika pemandu mengisi minyak dengan kuantiti yang agak banyak, mereka akan diberikan baucer saguhati berupa segelas ice-blended percuma. Bas ini mempunyai seorang pemandu dengan dibantu 2 orang co-pilot. Riak muka salah seorang co-pilot mendapat kupon dan menebus air itu sangat epik! Dia sangat gembira dengan air percuma itu sambil diperhatikan dengan perasaan biasa-biasa dua rakannya yang lain.

Bas bergerak kembali..Aku mencuci mata dengan suasana kehidupan di Laos yang tidak sibuk dan masih tradisional. Hadi sudah berlayar ke alam mimpi. Tak sampai 30 minit bas berhenti sekali lagi. Juga di bahu jalan deretan kedai. Masih ada yang turun beli baguette dan air minuman. Ia berhenti agak lama. Ada beras berkampit-kampit diisi diruang barang. Mungkin bas ini medium penghantar bekalan dikawasan pedalaman. Setelah semua itu selesai, bas bergerak dan berhenti kira-kira 100 meter dari lokasi tadi.

Aku mulalah berperasaan tidak mengerti dan takat amarah mula menaik.

“Silap-silap ada yang bawak ayam dengan kambing ni” kata Hadi.

Aku ingatkan dia berseloroh. Elok habis cakap seorang warganya masuk dan membawa “sekotak” ayam. Mahu ada 3 ekor dalam itu berdasarkan bunyi-bunyian yang terhasil. Muka hotlink aku tidak dapat disembunyikan lagi. Seorang gadis Lao memandang dan hanya melemparkan kuntuman senyum pada aku. Mungkin reaksi aku terhadap situasi itu pandangan biasa padanya. Bas meneruskan perjalanan. Aku mulai berpinar-pinar mata kemengantukan. Satu yang menarik, semua orang dibekalkan satu beg plastik kecil.

“Untuk siapa nak muntah tu..” kata aku pada Hadi yang terkujat bila disuakan beg plastik itu oleh seorang co-pilot.

Sekali lagi bas berhenti,kali ini dikawasan jualan-jualan makanan yang agak besar dan ramai. Di sini tiada siapa yang turun, tapi ada stok lain yang diisi diruangan barang. Uniknya, sampai 4 orang makcik peniaga naik bas dan menjual makanan dalam bas! Seorang jual air,seorang jual buah-buahan potong, seorang jual kueh-mueh dan telur yang dicucuk dengan lidi manakala seorang lagi menjual BAGUETTE!!. Ada lagi manusia yang beli. Kebulur sangat agaknya.

Selepas melintasi kawasan ini, bas mula memasuki zon pergunungan. Di kiri kanan jalan bukit dan gunung-ganang. Jalannya sangat menduga dan menyedihkan. Buat kedua kalinya aku bersyukur dengan jalanraya di Malaysia. Kali pertama ialah pengalaman aku di Padang,Indonesia. Ohai, bas berhenti lagi. Kali ini kiri kanan semua semak samun. Apapun tak ada!

“Kalau tak silap I, diorang berhenti nak kencing nie”kata Hadi.

“Hah,serius!? Semak samun semua nie nak tala kat mana?” Ambik kau..yang perempuan mula masuk semak. Yang lelaki selamba membuka zip. Aku alihkan pandangan aku ke arah paling indah – muka Hadi. Mujur tak berhenti lama. Bontot dah mula kematu. Bas agak sempit. Aku nak gerakkan kaki pun terbatas. Sudah hampir 3 jam perjalanan, satu papan tanda menunjukkan kilometer pun aku tak nampak. Agak-agak aku mulai selesa dan hampir lena,bas berhenti lagi!!!

Mujur dikawasan kampung yang penuh menjual ikan bilis dan belacan. Aku tak boleh tahan. Alang-alang ada tempat buang air yang semenggah,baik aku selesakan diri. Itupun kena bayar 2000 kip (dalam 40 sen). Perjalanan diteruskan…Hadi berkali-kali meminta aku tidak mengeluh. Aku tak salahkan dia pun. Ketidakselesaan itu mungkin membuatkan dia juga merasa tak senang dengan reaksi aku. Kami rasa,kami salah ambil bas. Bas yang semenggah mungkin bertolak lebih lambat. Ini yang terbaik..lalu sahajalah walaupun tidak selesa. Rasanya perjalanan dari Siem Reap ke Phnom Penh 15 kali tidak seteruk ini. Akhirnya,setelah hampir 5 jam perjalanan kami diberhentikan di sisi jalan. Ini Vang Vien katanya..

Aku dan Hadi dalam bas..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *