Krabi : Happy Birthday, Benny Part 1

Memang sudah menjadi tabiat aku tidak akan berkerja pada hari lahir aku, hari lahir suami dan hari ulang tahun perkahwinan kami. Aku akan pergi bercuti bersama-sama keluarga atau cuti duduk rumah. Tahun lepas, aku sambut hari lahir aku di Pattaya, Thailand. Tahun ini, sekali lagi aku memilih bumi Thailand tetapi kali ini aku dan suami ke Krabi.

Aku pernah ke sana sekali pada tahun 2014 dengan menaiki kereta. Memang best! Tapi masa itu aku tidaklah rasa Krabi tu best sangat untuk ulang pergi. Disebabkan aku dan Hadi mahukan tempat yang kami pernah pergi supaya kami tidak banyak berjalan, maka kami pilih Krabi. Sangkanya tidaklah kami beriya-iya berjalan sementelah kami sudah merasa berjalan ke sana. Oh, salah besar..itu akan kalian dapatkan dalam pembacaan yang lebih mendalam sama ada dalam post ini atau rangkaian post berkenaan percutian ini.

Umum berpendapat bercuti ke luar negara itu mahal. Orang berduit, berwang, beruk dan ber ber lain sahaja yang mampu untuk ke sana. Salah! Salah besar… Cuti mana yang tak perlu keluar duit? Cuti dalam negara pun kena ada duit. Ringkasnya beginilah…untuk percutian 4 hari 3 malam, tambang kapal terbang pergi balik + bagasi + hotel untuk seorang aku berjaya dapat dengan harga RM460 sahaja. Ya, terima kasih Airasia kerana menjadikannya nyata.

Kalau anda sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi, berderet agen perlancongan yang akan menyapa dan menawarkan perkhidmatan teksi untuk ke hotel. Kami di sapa gadis manis ini, Ameena namanya kalau tak silap. Memang dia pandai tarik pelanggan. Cakap melayu pun handal. Jadi proses urus niaga kami sangat mudah. Ringkasnya, kami ambil perkhidmatan teksi pergi dan balik dari syarikat dia sahaja. Harganya sangat berbaloi, tapi aku tak ingat berapa. Yang pasti, memang aku dan Hadi sahaja dalam van itu.

Kami menginap di Aonang Mountai View Hotel. Oh, tuhan…cantiknya hotel ini. Memang aku terasa macam mewah sangat. Sangat berbaloi. Biliknya agak besar, siap ada kabinet dapur. Sayangnya, cerek takde! Ini aku akan tulis dapat catatan yang lain sebab kisahnya sangat rumit hahaha.. 🙂

Hotel ini agak ke dalam, tapi dekat dengan masjid dan deretan kedai makanan halal. Sebenarnya aku agak terkejut juga sebab kunjungan kali ini tak seperti Krabi beberapa tahun lalu. Kedai halal melambak-lambak sepanjang jalan. Dulu, sedikit azab juga nak mencari kedai makan yang halal. Apapun, kami kena cari motor sewa dahulu. Sayangnya semua motor sewa milik hotel ini sudah habis di sewa orang. Takde masalah, kami hanya perlu berjalan dalam 300 meter sebelum berjumpa jalan besar. Pasti banyak kedai yang menawarkan khidmat sewa motor.

Kami akhirnya menyewa motor di Aonny Massage & Body Scrub. Kos sewa sehari ialah 250 Baht. Aonny sangat ramah. Bila nak ambil gambar, siap minta take 5 untuk dia berbedak kejap.

Misi pertama ialah mencari kedai jahit sebab Hadi mahu tempah sut. Kemudian baharulah kami mencari kedai untuk makan malam. Aku sangat lapar. Hujan rintik-rintik membasahi bumi Krabi malam itu dan aku agak kebuluran. Masih, misi mencari nasi padrik sotong yang sedap seperti di Koh Samui itu gagal.

Selepas makan, kami balik ke hotel. Esok-esok ajelah meronda. Aku sedikit mengantuk. Namun disebabkan capaian wifi hanya boleh didapati di lobi hotel sahaja, aku habiskan dekat 30 minit di situ.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *